Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PMX SUKAR KEKALKAN KUASA, SEBAB UTAMANYA UMNO DIJANGKA KALAH LEBIH BANYAK KERUSI

Ketika pulang ke kampung sempena Hari Raya baru-baru ini dan sempat beraya di tiga negeri – Perak, Selangor dan Negeri Sembilan – antara pertanyaan yang kerap disuakan kepada saya oleh kawan-kawan dan saudara-mara ketika berbual-bual sambil menikmati pelbagai juadah raya ialah mampukah PMX bertahan lagi selepas PRU16 akan datang?

Soalan susulan berikutnya yang kerap menyusul pula – parti mana lebih berpotensi untuk menang paling banyak kerusi?

Meskipun PRU16 hanya akan diadakan pada 2027 iaitu lebih tiga tahun daripada sekarang, saya kira maksud di sebalik banyaknya soalan seperti itu ditanyakan adalah kerana ramai yang tidak begitu yakin lagi kerajaan yang ada sekarang mampu terus bertahan berdasarkan prestasi semasa serta banyaknya isu-isu dan serangan pihak lawan yang gagal ditangani dengan berkesan.

Perkembangan semasa, terutama daripada keputusan PRN enam negeri yang lalu, ternampak turut berlaku peralihan penyokong PH yang mula meninggalkan gabungan tersebut.

Secara logiknya, kalau ramai masih yakin kerajaan madani ini mampu terus bertahan, soalan seperti itu pastinya tidak perlu ditanyakan lagi.

Dalam semua soalan tersebut, berdasarkan penilaian saya yang selalu pergi ke banyak tempat dan bertemu ramai orang, sambil memerhati sikap kebanyakan rakyat terhadap kerajaan – secara jujur saya dapati – tidak mudah, bahkan mungkin amat sukar bagi PMX mempertahankan jawatannya untuk penggal kedua.

Meskipun PMX kini menerajui kerajaan dengan sokongan agak selesa – 147 Ahli Parlimen, ditambah lagi enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengalih sokongan – harus kita sedar bahawa dalam PRU15 lalu, tidak ada mana-mana parti atau gabungan yang menang dan mampu menubuhkan kerajaan secara sendirian.

Daripada 222 kerusi Parlimen yang ada dalam negara, PH hanya menang 82 kerusi, PN 74, BN 30 dan selebihnya dimenangi parti-parti lain, termasuk gabungan GRS di Sabah dan GPS di Sarawak.

Daripada 82 kerusi PH itu, DAP memiliki 40, PKR 31, Amanah 8, Upko 2 dan satu kerusi lagi atas nama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melalui persefahaman PH dengan Muda.

Bagi PN pula, daripada 74 kerusi Parlimen yang dimenanginya, 43 melalui kemenangan Pas dan 31 dimenangi oleh Bersatu.

Sementara daripada 30 kerusi yang dimenangi BN, 26 daripada adalah milik UMNO, MCA 2, MIC dan PBRS masing-masing 1 kerusi.

Berjayanya PMX menjadi Perdana Menteri, selain bukan kerana cukup jumlah yang dimenangi PH secara sendirian berhad untuk menubuhkan kerajaan, sebab utamanya adalah kerana beliau ditongkat oleh UMMO dan BN yang dipimpin “anak murid” bernama Ahmad Zahid Hamidi kepada “cikgu politiknya”, seterusnya datang pula menyusul sokongan daripada Sabah dan Sarawak.

Apa yang nyata, sementara PN dikuasai oleh Ahli-Ahli Parlimen Melayu, kekuatan Melayu di dalam kerajaan madani boleh dikata agak lemah kerana walaupun PKR ada 31 kerusi Parlimen, ia juga merangkumi kerusi yang dipegang oleh pemimpin daripada kaum Cina dan India.

Sebab itulah, sentimen Melayu/Islam terus menjadi sandaran PN menjelang PRU16 akan datang kerana kuasa Melayu melalui PKR, UMNO dan Amanah dalam kerajaan masih terlihat lemah jika dibandingkan dengan peratusan penduduk Melayu, tambahan lagi sentimen tersebut telah terbukti berjaya melonjakkan lagi kemenangan gabungan tersebut dalam PRN enam negeri pada Ogos tahun lalu.

Kini, setelah lebih setahun PMX menakhodai bahtera kerajaan madani, meskipun sokongan Ahli-Ahli Parlimen terus bertambah dengan enam Ahli Parlimen Bersatu turut hadir memberi sokongan, tetapi sokongan daripada rakyat, khususnya pengundi Melayu sama sekali tidak bertambah.

Yang bertambah hanyalah sokongan daripada Ahli Parlimen kepada PMX, itu pun terpaksa dibalas dengan peruntukan menjaga kawasan yang jumlahnya juta-jutaan.

Memandangkan rungutan dan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan bukan saja boleh didengar di mana-mana, kadang-kadang dalam rumah sendiri pun ia sudah mula kedengaran, khususnya berkaitan janji-janji PMX sebelum beroleh kuasa, adalah diragui PH mampu terus menang lebih daripada 82 kerusi dalam PRU16 akan datang.

Harus diingat, pada PRU14, PKR telah menang sebanyak 47 kerusi Parlimen dan ia merosot kepada hanya 31 pada PRU15 lalu.

Di dalam PH, hanya DAP dan Upko yang dirasakan mampu kekal menang sebagaimana pencapaian pada PRU15 lalu, namun PKR dan Amanah, dengan prestasi semasa kerajaan madani, makin berpotensi kehilangan lebih banyak kerusi lagi.

UMNO pula, di samping makin diasak dengan sentimen Melayu/Islam yang dimainkan PN, hubungan kerjasamanya dengan DAP dalam kerajaan madani pasti akan menjadi kelebihan lagi kepada PN untuk menambah bilangan kerusi kemenangan buat mereka.

Faktor kepimpinan Zahid Hamidi yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai “ala diktator” dengan kecenderungan suka memecat dan menggantung keahlian musuh-musuh politiknya, sebelum dan selepas PRU15 lalu, dilihat bakal memberi sumbangan kepada bertambahnya lagi penolakan pengundi kepada parti itu.

Apatah lagi jika mereka yang dipecat dan digantung itu kekal sebagai “pemimpin terbuang” dalam UMNO dan bebas membuat pilihan untuk bersama parti lain dalam PRU akan datang.

Keadaan di mana pada PRU14, UMNO menang 54 kerusi Parlimen, kemudian merosot kepada 26 kerusi pada PRU15, kekal lagi Zahid Hamidi memimpin UMNO pada PRU akan datang – percayalah – makin merosot lagi pencapaian yang mampu digapai, mungkin hanya tinggal 20 atau 16 kerusi saja lagi.

Dalam keadaan begitu, sementara PH sendiri dipercayai tidak mampu menang lebih daripada 80 kerusi, bagaimanakah PMX mampu terus bertahan dan melintas menuju penggal kedua?

JIka UMNO tidak lagi mampu menongkat PMX, sokongan Sabah dan Sarawak dengan sendirinya bukan lagi jaminan yang memberahikan.

Dalam konteks PN, khususnya Pas, parti itu diyakini makin bertambah kerusi kemenangannya berbanding 43 kerusi Parlimen yang diperolehi pada PRU15 lalu.

Ini bermakna, sama seperti keputusan PRU15 lalu dan sama ada kita suka atau tidak, Pas akan menjadi parti kekal dominan yang akan memenangi paling banyak kerusi berbanding semua parti yang lain.

Bersatu yang dibantu oleh Pas daripada segi jentera dan sokongan akar umbi didapati tiada masalah sama ada kekal dengan jumlah kemenangan kerusi sedia ada atau mungkin bertambah beberapa kerusi lagi.

Secara jujur juga ingin disimpulkan, berikutan jangkaan ketidakupayaan UMNO memenangi lebih banyak kerusi, di samping PH pula mustahil untuk berdiri sendiri untuk membentuk kerajaan, laluan yang ada di depan PMX untuk kekal berkuasa bukan saja sukar, bahkan lebih getir lagi.

Namun begitu, walaupun Pas diramal menang paling banyak kerusi, manakala Bersatu akan mengatasi UMNO sekali lagi daripada segi jumlah kerusi, tetapi PN juga tidak cukup kerusi untuk berdiri sendiri bagi membentuk kerajaan kerana kekurangan sokongan bukan Melayu.

Maka, sama seperti selepas keputusan PRU15 lalu, pembentukan kerajaan selepas PRU16 nanti pun akan melalui proses rundingan dan perebutan untuk mendapatkan sokongan terlebih dahulu. – ShahbudinHusin 15/04/2024.

5 1 vote
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

42 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
42
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x