Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

SUSULAN DIKECAM DUA MENTERI, ANWAR MESTI TAMPIL PERTAHAN DR AKMAL

Selepas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memberi ancaman UMNO akan menerima padah pada PRU akan datang berikutan tindakan Ketua Pemuda parti itu, Dr Akmal Salleh bersuara aktif dalam isu stoking bertulis kalimah Allah, kini seorang lagi menteri kerajaan madani tampil menyerang beliau.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing adalah menteri kedua yang bersuara mengecam Dr Akmal atas keberaniannya berjuang mempertahankan kesucian Islam dan mahu tindakan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam penjualan stoking yang menghina Islam itu.

Dalam kecamannya terhadap Dr Akmal, Tiong meminta kepimpinan UMNO dan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh segera menegur atau bertindak terhadap Exco Kerajaan Negeri Melaka itu.

Katanya, Dr Akmal tidak harus dibiarkan menggunakan platform Pemuda UMNO untuk mengejar agenda peribadinya dengan membesar-besarkan isu stoking itu.

Tanpa berselindung, sama seperti Nga Kor Ming, Tiong juga menyifatkan sikap Dr Akmal akan menyebabkan UMNO terus ditolak rakyat.

Di waktu yang sama, Tiong juga cuba menghasut Ab Rauf dengan mendakwa, jika tidak diperbetulkan segera, tindakan Dr Akmal itu mungkin memberi kesan negatif kepada perkembangan politik Melaka pada masa hadapan.

Kepada kedua-dua menteri berkenaan, di mana salah dan silapnya tindakan Dr Akmal bersuara mempertahankan kesucian Islam dalam isu stoking kalimah Allah itu?

Sebagai pemimpin Islam, apakah salah beliau membela dan mempertahankan kesucian Islam sebagai agama persekutuan Malaysia?

Untuk rekod, dalam perkembangan terbaru, Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Sultan Johor juga turut menzahirkan rasa murka serta mahu tindakan “sekeras-kerasnya” diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

Sultan Ibrahim bertitah, kalimah Allah adalah kalimah yang dipandang sangat tinggi oleh umat Islam, justeru isu tersebut tidak seharusnya timbul.

Tunku Mahkota Ismail pula bertitah, isu stoking bertulis kalimah Allah ini tidak boleh dipandang ringan, seterusnya mahu tindakan tegas diambil bagi memastikan ia tidak berulang pada masa depan.

Dengan titah mulia dua Raja itu, ia secara langsung memberi petunjuk bahawa tindakan yang diambil oleh Dr Akmal adalah betul dan tepat.

Dalam hal berkaitan, yang belum kedengaran setakat ini hanya suara daripada Perdana Menteri saja lagi.

Berikutan dua menteri lantikan beliau secara langsung tampil mengecam Dr Akmal yang didapati bertindak dengan betul sebagai pemimpin Islam yang bertanggungjawab, adalah diharapkan Anwar Ibrahim tidak terlalu lama menyimpan suaranya.

Beliau perlu segera bersuara, bukan saja senada dengan Agong dan Pemangku Sultan Johor, bahkan perlu menzahirkan sikapnya mempertahankan tundakan yang dilakukan oleh Dr Akmal.

Bahkan Anwar juga wajar menegur dua menteri kabinet lantikannya itu agar tidak campurtangan dalam urusan pemimpin Islam mahu mempertahankan kesucian Islam.

Begitu juga dengan Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, beliau juga perlu menyokong dan mempertahankan tindakan Dr Akmal.

Kalau bukan pemimpin Islam yang tampil mempertahankan pemimpin Islam yang cuba membela kesucian Islam, bahkan senang-senang pula dipangkah oleh pemimpin bukan Islam, siapa lagi hendak disandarkan harapan?

Hello YAB…segeralah keluarkan suara!! – ShahbudinHusin 19/03/2024.

3 2 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

43 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
43
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x