Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

SEBAIKNYA NGA KOR MING BATAL SEGERA HASRAT TONJOLKAN KAMPUNG BARU CINA SEBAGAI TAPAK WARISAN DUNIA UNESCO

Sebagai langkah untuk meredakan kemarahan UMNO berikutan tindakannya mahu mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan dunia Unesco, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dengan segera cuba mengajak pemimpin parti itu untuk bertemu serta berbincang dengannya.

Katanya, langkah itu bagi mengelak salah faham dan memahami isu berkaitan.

Sebagau responnya, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi kemudian berkata, mereka sedia bertemu tetapi tetap menolak cadangan Nga Kor Ming itu.

Sebelum itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh dan Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dengan keras membantah hasrat untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan dunia Unesco.

Mereka menyifatkan cadangan Nga Kor Ming itu bersifat perkauman dan memecah-belahkan keharmonian masyarakat di negara ini.

Secara jujurnya, hasrat Nga Kor Ming itu memang tidak kena dan tidak sesuai, bukan saja dalam konteks perpaduan dan kepelbagaian kaum yang ada, bahkan juga tidak tepat dari dari segi sejarahnya.

Lebih tidak kena kerana kerajaan yang mentadbir negara ketika ini ialah kerajaan perpaduan yang tidak patut sama sekali menonjolkan keutamaan kepada sesuatu kaum saja.

Sebagai menteri di mana DAP berada di dalam kerajaan bersama pelbagai parti lain termasuk UMNO, Nga Kor Ming sepatutnya lebih berjiwa Malaysia daripada mengutamakan kaumnya saja.

Lagi pula, dalam konteks kampung, yang betul-betul boleh dianggap sebagai warisan ialah penempatan orang asli.

Selepas itu, barulah kampung-kampung tradisi yang didiami oleh orang Melayu.

Kampung Baru Cina hanya diwujudkan sekitar tahun 40-an dan 50-an sebagai kaedah membendung pengaruh dan simpati kaum Cina kepada pemberontak komunis.

Dengan itu, di mana logiknya Kampung Baru Cina mahu dijadikan tapak warisan dunia Unesco?

Oleh kerana DAP sudah berada dalam kerajaan, pemimpin-pemimpin parti itu seharusnya tidak terbawa-bawa secara keterlaluan dengan sentimen perkauman parti yang dianggotai dalam tindakan yang mahu diambil.

Berbuat demikian hanya mengesahkan lagi tanggapan umum, khususnya di hati orang-orang Melayu selama ini bahawa DAP adalah sebuah parti yang pekat chauvinis Cinanya.

Apabila sudah berada di dalam kerajaan dan menerajui kementerian, sebarang tindakan mestilah untuk kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum serta keturunan.

Dalam hal ini, adalah disarankan agar Nga Kor Ming menarik balik dan membatalkan saja secara serta-merta hasratnya ingin mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan dunia Unesco itu.

Selain tidak sesuai dan tidak menepati konteks warisan dunia, isu ini juga jika dibiarkan berterusan hanya memberi peluru kepada pihak pembangkang untuk menyerang dan melemahkan lagi sokongan orang Melayu kepada kerajaan.

Carilah benda lain yang bersifat kepelbagaian kaum dan melambangkan wajah Malaysia yang sebenar jika Nga Kor Ming ingin juga mencipta nama berjaya meletakkan sesuatu sebagai tapak warisan dunia Unesco sepanjang berpeluang memegang jawatan sebagai menteri.

Dalam konteks yang lebih luas, sudah sampai masanya untuk Nga Kor Ming segera berubah dengan memiliki jiwa Malaysia yang sebenar dalam jawatan kerajaan yang disandang jika mahu DAP diterima lebih lama dalam berada kerajaan dan tidak ditakuti, khususnya oleh orang-orang Melayu yang merupakan penduduk majoriti dan teras di negara ini. – ShahbudinHusin 12/02/2024.

5 1 vote
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

4 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
4
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x