Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

TIDAK CADANG PENGAMPUNAN ATAU PENGURANGAN HUKUMAN KEPADA NAJIB, SYABAS KERAJAAN PIMPINAN ANWAR KERANA TAK KOMPROMI DENGAN SKANDAL 1MDB

Berdasarkan pendedahan yang berpandukan surat yang ditandatangani Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zalha Mustafa yang dihantar kepada Najib Razak oleh peguam Shafee Abdullah semalam, adalah terbukti bahawa kerajaan madani melalui Lembaga Pengampunan tidak pernah sama sekali mencadangkan pengampunan penuh atau pengurangan hukuman kepada bekas Perdana Menteri itu.

Surat yang dibacakan oleh peguam Najib itu mendedahkan Lembaga Pengampunan tidak menasihati Agong untuk mengurangkan hukuman atau memberi pengampunan kepada bekas Perdana Menteri ke-6 itu.

Shafee berkata, pemakluman dalam surat yang dibuat oleh Dr Zaliha itu menyebut bahawa Lembaga Pengampunan, berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, pada 29 Januari, telah menasihati Agong supaya Najib meneruskan baki hukuman yang diterimanya.

Bagaimanapun, kata Shafee, surat itu juga menyebut titah Agong bahawa “adalah munasabah pada hemat beta, belas kasihan patut diberi kepada Najib.”

Surat itu, menurut Shafee mengandungi perintah Al-Sultan Abdullah yang menjalankan kuasa baginda di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan serta kuasa-kuasa lain, supaya hukuman terhadap Najib dikurangkan separuh dan denda dikurangkan kepada RM50 juta.

Perkara 42 ialah berkaitan kuasa pengampunan dan kuasa membentuk Lembaga Pengampunan.

Shafee berkata, surat yang ditandatangani oleh Dr Zaliha itu diterima oleh Najib sebagai pihak yang terlibat dalam pengampunan tersebut.

Dalam hal berkaitan, Shafee juga membayangkan Al-Sultan Abdullah sebenarnya mahu memberikan pengampunan penuh kepada Najib.

“Saya diberitahu dan saya yakin ia berlaku. 

“Jika tidak saya tidak berani beritahu kamu, bahawa pada 29 Januari itu, Agong memikirkan untuk memberikan pengampunan penuh kepada Najib.

“Tetapi baginda mahukan kepastian,” dakwa Shafee.

Beliau seterusnya mendakwa, Agong kemudian memberikan kertas undi kepada “empat” anggota tidak tetap Lembaga Pengampunan supaya menjawab soalan sama ada pengampunan penuh patut diberikan atau tidak kepada Najib.

Shafee bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu apa keputusan undian itu tetapi ia kemudian membawa kepada keputusan hukuman Najib diringankan, tanpa pengampunan penuh.

Katanya, apa yang berlaku itu menunjukkan Agong mempunyai hak mutlak untuk memutuskan pengampunan tetapi baginda memilih untuk mendengar pandangan pihak lain.

Sekarang sudah jelas lagi nyata, berdasarkan apa yang disebut Shafee itu, ia menunjukkan kerajaan tidak pernah mencadangkan pengurangan hukuman, jauh sekali untuk mengesyorkan pengampunan penuh kepada Najib.

Apa yang dicadangkan kerajaan ialah Najib perlu menghabiskan baki hukuman penjara yang diterimanya sebagaimana dijatuhkan mahkamah.

Tiada lain yang boleh serta sesuai diungkapkan kepada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim dalam hal ini, melainkan segunung ucapan tahniah dan syabas.

Dengan pendirian agar Najib perlu menghabiskan baki hukumannya, ertinya kerajaan tidak sama sekali berkompromi dengan skandal 1MDB, meski UMNO ketika ini merupakan sebahagian daripada kerajaan.

Ini baru betul-betul madani.

Ini juga mengesahkan kenyataan Anwar beberapa hari lalu bahawa Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO tidak pernah memberi kata dua kepadanya dalam isu pengampunan Najib.

Tahniah sekali lagi, pendirian seperti inilah yang rakyat mahu. – ShahbudinHusin 08/02/2024.

4.3 3 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

20 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
20
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x