Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

MENGEMIS JAM TELEFON

Baru-baru ini ketika saya sedang berjalan di kaki lima deretan kedai berdekatan rumah untuk pergi ke sebuah bank, seorang budak lelaki tiba-tiba berlari memintas saya dari belakang sambil menjerit-jerit kecil.

“Yeyyy, yeyyy…dapat 70 ringgit…dapat 70 ringgit,” katanya sambil menunjukkan wang dalam tangannya, lalu kemudian memberikan wang itu kepada seorang wanita dalam usia bawah 40-an yang ketika itu sedang duduk bersila di depan sebuah kedai serbaneka bersama tiga lagi kanak-kanak yang masih kecil.

Saya dspati kemudian wanita tersebut adalah ibu kepada semua kanak-kanak itu.

Seorang anak yang paling kecil berada di pangkuan wanita berkenaan.

Budak lelaki berusia dalam lingkungan 10 tahun yang berlari bersama wang 70 ringgit tadi adalah yang paling besar di antara kanak-kanak yang lain.

Di depan wanita itu duduk ada sebuah bekas yang didalamnya terdapat beberapa helai duit seringgit serta sejumlah bungkusan tisu di tepinya.

Melihat insiden itu, saya segera memperlahankan langkah dan pura-pura ingin singgah ke kedai serbaneka, tetapi sebenatnya untuk melihat apa yang terjadi seterusnya.

Apa yang paling menarik perhatian saya ialah jumlah 70 ringgit yang berjaya diperolehi budak lelaki itu yang pada fikiran saya amat besar jumlahnya dalam keadaan ekonomi tidak berapa baik, harga barang mahal dan nilai ringgit jatuh merudum ketika ini, meski saya tak pasti berapa lama masa diambil untuk budak lelaki itu memperolehi kutipan sebanyak itu.

Selepas budak lelaki tadi menghulurkan wang kepada ibunya, dia kemudian berkata – “mak, duit ni nak beli jam telefon.”

“Berapa harganya,” kata si ibu sambil wang itu disimpannya dalam beg kain yang ada di sebelahnya.

“120,” balas budak lelaki tadi dengan pantas.

Saya tak pernah mendengar istilah jam telefon sebelum ini, tetapi saya fikir yang dimaksudkan itu ialah jam pintar atau “smart watch” yang biasa dipakai kebanyakan orang, khususnya generasi muda sekarang ini.

Memandangkan harga yang disebut itu RM120, saya jangka ia pastilah buatan China yang tidak berapa berjenama.

Kalau yang ada jenama, tentulah hampir ribu riban harganya.

Saya ketika itu masih berdiri sambil pura-pura membaca pelbagai iklan dan poster di dinding kaca berhampiran pintu masuk kedai serbaneka tadi, tetapi mata dan telinga saya lebih terarah kepada mereka.

“Nanti esoklah kita beli,” kata si ibu kemudiannya.

Barangkali kerana gembira dengan jawapan ibunya, budak lelaki tadi berlari semula ke kawasan deretan kedai-kedai dengan di tangannya membawa sejumlah bungkusan tisu-tisu kecil untuk mencari lebih pendapatan lagi.

Kemudian sambil meneruskan langkah menuju ke bank yang hanya selang empat pintu dengan kedai serbaneka itu, fikiran saya jadi kacau dengan tiba-tiba.

Sebelum berurusan dengan bank, saya berfikir agak lama – rupa-rupanya ada orang sanggup duduk di kaki lima sambil mengharap ihsan orangramai dengan menjual tisu semata-mata kerana ingin membeli barang mewah, bukan disebabkan makan pun susah.

“Smart watch” bagi keluarga wanita berkenaan, bagi saya, pasti boleh dikategorikan sebagai barangan mewah kerana dengan ramai anak-anak yang masih kecil perlu diberi makan, membeli makanan jauh lebih penting lagi berbanding membeli jam telefon.

Tambah lagi jika sampai perlu meminta-minta sambil menjual tisu, sangat tak kena jika “smart watch” yang ingin dibeli.

Apakah mereka sanggup mengemis kerana siibu terlalu sayangkan anak lelakinya yang begitu teringin memakai jam telefon?

Selesai berurusan di bank, saya kemudian pergi membasahkan tekak di cafe bersebelahan, sambil ingin mencari tempat yang selesa untuk melayari internet dan membaca berita-berita semasa.

Tidak lama selepas saya duduk di cafe tersebut, seorang budak perempuan dalam usia enam atau tujuh tahun datang dengan membawa sebungkus tisu kecil lalu berkata – Encik, nak beli makanan?

Saya memandang wajahnya dengan simpati, lalu menghulurkan beberapa helai duit seringgit kepadanya.

Saya perasan budak perempuan itu adalah antara yang bersama dengan ibunya di depan kedai serbaneka tadi.

Tidak sampai sepuluh minit kemudian, budak lelaki yang berjaya mengutip hasil 70 ringgit tadi pula datang ke meja saya, juga dengan membawa sebungkus tisu kecil di tangannya, lalu berkata – Encik, nak beli makanan?

Saya percaya budak lelaki ini adalah abang kepada budak perempuan yang saya baru bersedekah kepadanya sebentar tadi.

Saya selalu ada perasaan simpati kepada budak-budak dan orang tua, lalu saya memberi beberapa helai duit seringgit kepada budak lelaki itu, tetapi jumlahnya lebih kecil daripada apa yang saya beri kepada budak perempuan sebelum ini.

Dalam hati saya kemudian berfikir, cerdik budak-budak ini – mereka menjual tisu tapi memberi alasan untuk membeli makanan.

Saya pasti, apabila disebut untuk membeli makanan, tambahan lagi budak kecil yang mengucapkannya, ramai akan jatuh simpati.

Tidak mustahil ramai yang memberi sedekah dengan jumlah yang lebih sedikit, mungkin sepuluh ringgit atau lebih daripada itu.

Sebab itu, hati saya berkata, patut mudah saja budak lelaki tadi memperolehi 70 ringgit daripada orangramai yang ditemuinya.

Rupa-rupanya bukan makanan yang mereka beli, tapi jam telefon yang sangat diidami.

Bahkan saya yakin dengan dua tiga pusing lagi meronda di kawasan deretan kedai di kawasan itu, cukuplah 120 ringgit yang diperlukannya untuk membeli jam telefon itu.

Kaya rupanya negara kita ini dan patutlah juga golongan seperti itu ada di hampir di semua lokasi perniagaan atau kawasan tumpuan orangramai. – ShahbudinHusin 07/02/2024.

5 2 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

10 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
10
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x