Berikutan keputusan Lembaga Pengampunan WP berkaitan Najib Razak diumumkan secara rasmi petang semalam, MT UMNO pagi tadi mengadakan mesyuarat MT khas secara mengejut lagi tergempar sebagai respon kepada keputusan tersebut.
Susulan itu, Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera yang djangka dihadiri 2,000 pimpinan daripada 191 bahagian UMNO di seluruh dan dijadual berlangsung hari ini, turut ditangguhkan.
Gambarannya seolah-olah UMNO benar-benar tidak puas hati dengan keputusan Lembaga Pengampunan itu sehingga kolokium yang menjadi medan untuk mencambah idea bagi kepentingan ekonomi orang Melayu tidak lagi dilihat sepenting berbanding memperjuangkan nasib Najib.
Gambarannya juga tentulah ada sesuatu keputusan yang besar dan mengejut akan diambil oleh MT berikutan hanya pengampunan separuh, bukan pengampunan penuh diterima Najib.
Logiknya, kalau tiada sesuatu besar bakal diputuskan, kenapa perlu ditangguhkan Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera yang dijangka dihadiri 2,000 peserta?
Tetapi, apakah keputusan mesyuarat khas MT UMNO itu?
Berikut adalah kenyataan media berkaitan mesyuarat khas tersebut.
UMNO mengambil maklum tentang keputusan Lembaga Pengampunan berhubung permohonan mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Kita menghormati keputusan dan hak mutlak yang telah diambil oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mu’stain Billah.
Sementara kita mendukung Perlembagaan Persekutuan, UMNO terkesan dan bersedih dengan keputusan tersebut.
UMNO akan tetap meneruskan usaha-usaha mendapatkan pembelaan terhadap bekas Presiden parti sesuai dengan laras undang-undang negara di samping berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang mahukan usaha pembelaan Dato’ Seri Najib diteruskan.
UMNO ingin menegaskan, pembelaan terhadap Dato’ Seri Najib dibuat kerana merasakan beliau tidak mendapat keadilan seawal proses perbicaraan.
Sehubungan itu, UMNO berharap atas prinsip keadilan, Perdana Menteri akan sama-sama menjunjung semangat ini.
Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO
3 Februari 2024.
Ada nampak apa-apa yang besar, mengejutkan dan luar biasa?
Ternampak jelas lagi nyata bahawa tiada apa-apa yang mengejutkan dan luar biasa daripada keputusan mesyuarat khas MT UMNO pagi tadi.
Yang ada hanya luahan rasa sedih, akur terhadap hak Agong dalam membuat keputusan dan akan terus memperjuangkan pembebasan Najib.
Langsung tiada apa yang besar dan luar biasa diputuskan dan barangkali sebab itu hanya satu dua media saja yang melaporkan hasil keputusan mesyuarat khas MT UMNO itu.
Kalau sekadar keputusan seperti ini yang dirumuskan, apa perlunya sampai ditangguhkan Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera untuk memberi laluan dipentingkan mesyuarat khas MT UMNO?
Tidakkah sebenarnya mesyuarat khas MT UMNO itu boleh diadakan pada lain-lain waktu yang tidak bertembung dengan Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera?
Adakah semua ini hanya drama yang sengaja dipentaskan untuk mengambil hati keluarga dan penyokong Najib semata-mata?
Tipah tertipu lagikah kali ini? – ShahbudinHusin 03/02/2024.