Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

INGATAN KEPADA DAP: AKTA P/RAYA PBT SUDAH DIMANSUH SEJAK 1976 LAGI

Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menjadi polemik sejak beberapa hari lalu sebenarnya tidak boleh dilaksanakan kerana peruntukkan mengenai pilihan raya itu dalam Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Akta 473) sudah dimansuhkan dan dihenti kuatkuasanya sejak 1976.

Ia selepas subseksyen 15(1) Akta Kerajaan Tempatan 1973 (Akta 171) yang memperuntukkan mengenai pilihan raya kerajaan tempatan dalam Akta 473 sudah tidak terpakai.

Malah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga tidak boleh melaksanakan Pilihan Raya PBT kerana Seksyen 10 Akta 171 menetapkan pelantikan keanggotaan Ahli Majlis PBT dibuat secara lantikan.

Menurut Pakar Perlembagaan, pemansuhan subseksyen 15(1) itu dibuat selepas kerajaan menimbangkan beberapa kajian dan laporan, termasuk Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja khusus bagi penambahbaikan sistem kerajaan tempatan dikenali sebagai Laporan Athi Nahappan.

Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata pemansuhan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira beberapa perkara yang dibangkitkan dalam Laporan Athi Nahappan, dan laporan lain.

Katanya, pertimbangan kerajaan ketika itu adalah berkaitan dengan isu perpaduan. 

“Pemansuhan itu membabitkan satu situasi yang mana kerajaan ketika itu mengutamakan perpaduan masyarakat berbanding proses memberi hak demokratik kepada pembayar cukai di kawasan PBT.

“Isu perpaduan ketika itu diberi perhatian di semua peringkat masyarakat, termasuk di PBT kerana negara baru menghadapi peristiwa berdarah 13 Mei 1969 yang mana berlakunya rusuhan kaum,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas mengenai polemik isu Pilihan Raya PBT susulan cadangan dibawa DAP Wilayah Persekutuan yang mahu ia dikendalikan semula di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.

Cadangan itu dikemukakan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai susulan rombakan Kabinet baru-baru ini, yang menyaksikan pelantikan menteri bagi portfolio Wilayah Persekutuan.

Muhammad Fathi berpendapat sebarang usaha mengembalikan pilihan raya secara berasingan seperti di negeri tertentu saja seperti Kuala Lumpur tidak sesuai dan bercanggah dengan prinsip demokrasi itu sendiri.

“Mana-mana pilihan raya perlu dilaksanakan secara bersepadu yang menjadi dasar di peringkat nasional, jadi walaupun wujud cadangan di Kuala Lumpur ia bukan satu langkah yang wajar,” katanya.

Isu mengenai Pilihan Raya PBT bukan baru. 

Pada 7 Julai 1971, Menteri Kerajaan Tempatan ketika itu, Datuk Ong Kee Hui menyatakan bahawa Pilihan Raya PBT tidak perlu diadakan kerana wujud pertindihan peranan di antara kerajaan negeri dan PBT. 

Kerajaan tempatan adalah kerajaan paling rendah dalam sistem kerajaan di Malaysia.

PBT adalah ‘kerajaan ketiga’ di bawah senarai negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Pilihan Raya PBT kali pertama diadakan pada tahun 1956 di Majlis Perbandaran Georgetown, manakala kali terakhir pada 1963. Ia berlandaskan Perkara 113(4), Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kerajaan negeri boleh memberi kuasa kepada SPR untuk menjalankan pilihan raya lain daripada Pilihan Raya Umum.

Mengulas isu sama, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengesahkan SPR tidak boleh melaksanakan Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan kerana pelantikan Ahli Majlis kini dibuat secara lantikan mengikut Seksyen 10 Akta 171 dan bukan lagi melalui pemilihan.

“SPR memang ada kuasa mengadakan Pilihan Raya PBT, namun apabila subseksyen 15(1) Akta 171 dimansuhkan dan dihenti kuasa pada 1976 maka ia tidak dapat dilaksanakan oleh SPR.

“Perlu difahami bahawa pilihan raya kerajaan tempatan berada di bawah bidang kuasa negeri, namun berdasarkan Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan, perubahan dasar berhubung dengan apa-apa cadangan untuk mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan hendaklah diputuskan terlebih dahulu oleh Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan,” katanya kepada BH.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika Pilihan Raya PBT mahu diadakan, maka satu pindaan undang-undang perlu dibuat dengan mengembalikan semula subseksyen 15(1) dalam Akta 171.

Akta 171 ketika ini tidak membenarkan pilihan raya itu dan sebarang penganjurannya tidak sah kerana bertentangan Perlembagaan.

Ditanya mengapa subseksyen 15(1) Akta 171 dimansuhkan, Wan Ahmad menjelaskan ia dilakukan susulan konfrontasi dengan Indonesia.

“Pada saya dengan kedudukan negara ketika ini adalah tidak sesuai untuk diadakan semula Pilihan Raya PBT kerana demografi penduduk yang tidak seimbang di kawasan bandar.

“Saya khuatir jika diadakan Pilihan Raya PBT akan menjurus kepada kemudaratan keharmonian apabila ia akan memberi kelebihan kepada satu-satu kaum sahaja,” katanya. 

Wan Ahmad yang juga Naib Presiden Persatuan Gerakan Qiam (QIAM) berkata, jika Pilihan Raya PBT mahu diadakan semula, ia perlu dilaksanakan di seluruh negara dan bukan dihadkan di bandar atau daerah tertentu saja.

Sumber – https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/12/1191329/pilihan-raya-pbt-mansuh-47-tahun-lalu

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

15 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
15
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x