Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

LANGKAH DUBAI HANYA KHAYALAN, KALAU BENAR CUKUP JUMLAH, DI KEDAI MAMAK PUN BOLEH JATUHKAN KERAJAAN

Saya kadang-kadang hairan mengapa mereka dalam PH sendiri ikut teruja dengan gembar-gembur tidak benar kononnya ada Langkah Dubai untuk menjatuhkan kerajaan.

PN yang semakin kehilangan sokongan dan setakat ini sudah lima Ahli Parlimennya mengalih sokongan untuk mengukuhkan lagi kedudukan Anwar Ibrahim, tiba-tiba PH pula yang percaya kerajaan hendak dijatuhkan.

Beberapa orang menghubungi saya bertanya tentang kebenaran Langkah Dubai itu.

Saya sebenarnya sudah menulis sebelum ini bahawa kerja menggembar-gemburkan konon Anwar akan jatuh hanyalah kerja dua tiga orang TikTokers yang sebelumnya adalah penyokong setia dan makan atas tapak tangan Najib Razak.

Boleh baca di sini – https://shahbudindotcom.net/2023/12/25/hanya-tiktokers-sibuk-nak-jatuhkan-kerajaan.html

Tetapi setelah Najib jatuh, mereka jadi berterabur mencari arah dan hanya baru-baru ini saja muncul beria-ia menunjukkan sokongan kepada PN.

Tetapi, sepanjang risik-risik dengan beberapa pimpinan PN, mereka sendiri tidak pakai dan tidak peduli sangat dengan TikTokers berkenaan.

Kata mereka, TikTokers berkenaan lebih menunjukkan kecondongan kepada Tun Mahathir Mohamad, bukan pun kepada PN.

Begitu pun, siapa Tun Mahathir?

Ahli Parlimen bukan, ketua mana-mana parti pun bukan?

Hakikatnya, banyak pihak dalam PN sendiri tidak tahu menahu mengenai adanya Langkah Dubai yang diheboh-hebohkan itu, malah tidak peduli pun tentangnya.

Kata mereka, apa langkah pun untuk menjatuhkan kerajaan buat masa ini adalah tidak relevan untuk diusahakan kerana mustahil boleh dijadikan kenyataan.

Bahkan, tiada pun pimpinan PN yang berusaha ke arah itu, hanya dua tiga TikTokers berkenaan saja yang siang malam bercakap berkenaan dengannya, walhal mereka bukan Ahli Parlimen dan tidak bercampur dengan Ahli Parlimen blok pembangkang.

Langkah Dubai dihebohkan kononnya ketika ini Yang Dipertuan Agong sedang bercuti di sana dan beberapa Ahli Parlimen dikatakan berusaha bertemu baginda untuk merundingkan pertukaran kerajaan.

Kononnya ada beberapa Ahli Parlimen berada di Dubai, termasuk Azmin Ali, Hishammuddin Hussein dan Hamzah Zainuddin.

Memang Azmin diketahui berada di Dubai, tetapi sebagaimana dimuatkan dalam media sosialnya, beliau hanya bercuti bersama keluarganya.

Pokoknya beliau bukan Ahli Parlimen.

Hishammuddin Hussein juga menunjukkan di media sosialnya gambarnya sedang bercuti, tetapi tidak jelas di mana lokasinya.

Hamzah tidak dipastikan keberadaannya, ada yang mengatakan di Dubai dan apa juga mengatakan di London.

Beliau dikatakan sedang bercuti dengan keluarganya, sambil difahamkan ada urusan berjumpa anaknya yang belajar di London.

Bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri pula sedang menunaikan umrah di Mekah

Mahiaddin Md Yasin dilaporkan bercuti di London bersama keluarganya sehingga 25 Januari depan.

Pemimpin Pas, termasuk calon Perdana Menteri mereka, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pastinya kini lebih sibuk menangani banjir di Kelantan dan Terengganu berbanding keghairahan menukar kerajaan.

Jadi, siapa yang ada di Dubai dan bagaimana boleh wujud konon ada usaha ingin menjatuhkan kerajaan?

Dalam hal ini ini, kalau Agong sedang bercuti bersama keluarga baginda di Dubai, untuk apa baginda mahu menyerabutkan kepala dengan hal-hal lain yang boleh diselesaikan di dalam negara?

Nak tukar kerajaan, bawalah usul undi tidak percaya dalam Parlimen atau kumpulkan seramai 112 Ahli Parlimen dan kemudian tunggu saja dipanggil mengadap ke Istana Negara?

Kenapa perlu sampai kejar baginda hingga ke Dubai?

Kalau benar sudah ada cukup jumlah, berpakat sambil minum teh tarik di kedai mamak pun boleh dan tak perlu pergi sampai ke Dubai.

Dalam hal ini, PH jangan sesekali terperangkap serta turut terbuai dengan sebarang spekulasi adanya langkah untuk menjatuhkan kerajaan.

Yang nyata setakat ini, ia hampir mustahil berlaku kerana jumlah Ahli Parlimen yang menyokong PN makin berkurangan, bukannya bertambah.

Gembar-gembur kejatuhan kerajaan hanyalah khayalan mereka yang terbuang dan tidak bertuan, sedangkan pimpinan PN yang waras dan bergelar Ahli Parlimen tenang-tenang saja serta tidak peduli tentang perkara itu.

Peliknya, bagaimana pihak dalam kerajaan sendiri, termasuk J-Kom yang melihatnya seolah-olah bakal menjadi kenyataan?

Di sini saja J-Kom sudah terlihat gagal, ingatkan agensi tersebut makin berfungsi setelah pemergian Dr Agus? – ShahbudinHusin 30/12/2023.

2.5 4 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

13 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
13
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x