Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

APA YANG SUSAH SANGAT, MAHIADDIN UMUM UNDUR DIRI, LICINLAH PROSES PERALIHAN KUASA!!

Berdepan desakan yang kian meningkat yang mahukan beliau melepaskan jawatannya, Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin ternampak semakin sedar tentang realiti.

Ahli Parlimen Pagoh itu dilaporkan mengambil maklum dengan gesaan perlunya perubahan dalam kepimpinan parti yang didakwa ada kelompangan dan perlu dibaiki menjelang PRU16 akan datang.

Katanya, apa yang menjadi keutamaannya berkaitan perkara tersebut ialah agar peralihan pimpinan Bersatu berjalan dengan lancar jika beliau memutuskan untuk berundur diri.

Bagaimanapun, Mahiaddin dalam masa yang sama belum dapat mengesahkan sama ada ingin berundur atau masih mahu mempertahankan jawatannya dalam penilihan akan datang ini.

“Saya masih mempertimbangkan sama ada mempertahankan kedudukan atau sebaliknya pada pemilihan parti yang dijadualkan tahun depan,” katanya sebagaimana diinterbiu oleh sebuah portal berita.

Ini yang payah, sekejap mengatakan sedar tentang gesaan perubahan dan adanya kelompangan dalam parti yang perlu kepada peralihan kepimpinan yang lancar, tetapi di waktu yang sama, belum memutuskan pula sama ada ingin mempertahankan jawatan lagi atau tidak.

Jika Mahiaddin benar-benar sedar tentang perlunya perubahan dan mahu peralihan kepimpinan berjalan lancar, keputusan tidak lagi mempertahankan jawatannya perlu segera dimuktamadkan.

Peralihan kepimpinan dalam Bersatu tidak mungkin berjalan dengan lancar selagi Mahiaddin masih masih belum ada keputusan sama ada ingin mempertahankan jawatannya atau tidak.

Hanya jika beliau mengumumkan berundur dan tidak lagi mempertahankan jawatannya saja akan menjadikan proses peralihan boleh berjalan dengan lancar.

Dengan kedudukan Mahiaddin sudah tepu kerana pernah menduduki kerusi Perdana Menteri sebelum ini, selain ada kes mahkamah serta isu menantu yang melarikan diri, ini adalah asas paling kukuh perlunya beliau mengundurkan diri.

Jika Mahiaddin terus memimpin Bersatu, gabungan PN tiada harapan lagi di mata rakyat kerana era kegagalannya sebagai Perdana Menteri sebelum ini akan terus menjadi igauan ngeri kepada pengundi.

Untuk menggantikan tempatnya, tiada pemimpin lain yang lebih lagak dan sesuai untuk mengambil alih teraju kepimpinan Bersatu selain Hamzah Zainuddin.

Berjawatan Ketua Pembangkang di Parlimen, Ahli Parlimen Larut dan Setiausaha Agung PN/Bersatu ketika ini, beliaulah satu-satunya yang lebih layak untuk mengemudi blok pembangkang menghadapi PRU16 akan datang.

Timbalan Presiden Bersatu sekarang, Ahmad Faizal Azumu tidak sesuai menggantikan Mahiaddin kerana beliau tidak berkedudukan sebagai Ahli Parlimen, malah wibawanya pun lebih rendah jika dibandingkan dengan Hamzah.

Jadi, jika benar Mahiaddin mahu peralihan jawatan dalam Bersatu berjalan lancar dan mahu PN ada masa depan yang cerah mendepani PRU16 akan datang, beliau harus segera mengumumkan persaraannya dan tunjuklah nama Hamzah sebagai bakal penggantinya.

Apa yang susah sangat? – ShahbudinHusin 20/11/2023.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

16 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
16
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x