Beberapa hari lalu, sahabat saya penulis Mohd Sayuti Omar atau MSO menulis satu artikel bertajuk – Siapa Perdana Menteri selepas Anwar Ibrahim?
Saya segera tercuit hati dengan tulisan beliau itu, lantaran saya juga terfikir isu yang sama sejak dua tiga minggu kebelakangan ini.
Cuma, berikutan Anwar belum lagi setahun memegang jawatan Perdana Menteri, saya merasakan agak terlalu awal jika saya menulis mengenai pengganti beliau buat masa sekarang ini.
Tetapi, terlanjur MSO sudah menulis mengenainya, maka saya berasakan tidak perlu lagi saya pendam apa yang saya rasa itu.
Siapa sebenarnya paling berpotensi untuk jadi Perdana Menteri selepas Anwar?
Anwar, sementara hampir pasti akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga PRU16 yang dijangka akan diadakan pada tahun 2027, PH dan BN juga dipercayai akan terus bekerjasama dalam menghadapi PRU tersebut.
Gabungan PH/BN secara realitinya adalah kerjasama paling ideal dan saling melengkapi, bukan saja bagi memimpin negara, tetapi juga untuk bertahan memenangi pilihan raya dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia ini.
PH dengan empat parti gabungan di dalamnya, begitu juga dengan BN hanya tinggal empat parti komponen bersamanya, tidak sesuai lagi bertanding secara sendirian, sebaliknya lebih cocok dan mantap jika saling bekerjasama antara satu sama lain.
Dalam masa yang sama, seiring dengan Bersatu yang makin melemah dengan seorang demi seorang Ahli Parlimennya memberi sokongan kepada Anwar, ini sekaligus akan memberi kesan yang ketara kepada kekuatan PN bagi menghadapi PRU16 akan datang.
Selain Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Labuan yang sudah berbuat demikian, difahamkan ada lagi lima atau enam Ahli Parlimen Bersatu lain yang condong untuk mengambil langkah yang sama.
Jika itu berlaku, PN dengan sendirinya tiada lagi masa depan yang cerah dan hanya Pas yang mampu bertahan di kerusi dan negeri sedia ada yang dimenanginya.
Lantaran perpecahan yang berterusan dalam Bersatu, selain beberapa pemimpinnya pula barangkali sudah didapati bersalah oleh mahkamah ketika PRU16 nanti dilangsungkan, sentimen Melayu/Islam yang didendang PN tidak lagi mampu menjelmakan kemenangan kepada gabungan itu.
Dengan yang demikian, PH/BN bersama sokongan daripada GPS dan GRS, lebih berpotensi untuk menang PRU16 dan dalam masa yang sama, Anwar pun kekal lagi sebagai Perdana Menteri bagi penggal yang kedua.
Memandangkan Anwar sudah berusia 80 tahun pada tahun 2027 ketika PRU16 diadakan, penggal tersebut mungkin yang terakhir baginya.
Dalam hal ini, penyerahan kuasa akan berlaku sama ada sebelum tiba PRU17 atau PRU17 itu Anwar tidak bertanding lagi, sekaligus terus bersara.
Pada ketika itu, pemimpin paling berpotensi untuk menjadi PM11 selepas Anwar tidak lain ialah Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
Selain ada rekod dua kali menjadi Timbalan Perdana Menteri serta banyak pengalaman menerajui beberapa kementerian, istimewanya Zahid Hamidi ialah beliau seorang pemimpin yang cekal dan berjaya mengatasi segala rintangan di hadapannya sejak memegang jawatan Presiden UMNO bermula 2018 lalu.
Beliau berjaya mengatasi semua rintangan di hadapannya, berjaya mengusir semua musuhnya dalam UMNO, membebaskan dirinya daripada igauan kes mahkamah, berjaya kembali memegang kuasa sebagai orang nombor dua dalam kerajaan dan kini hampir tidak tergugat lagi di kedudukan singgahsana kepresidenan parti Melayu itu untuk beberapa tahun akan datang.
Di samping cekal, tidak pernah putus asa, malah licik, Zahid Hamidi dan UMNO juga dikira berjasa besar dalam memastikan Anwar berjaya menjadi Perdana Menteri setelah berjuang selama 25 tahun lamanya.
Dengan demikian, dirasakan tidak sukar bagi penyokong PH menerima Zahid Hamidi sebagai PM11 bila tiba masanya nanti, meskipun bagi penyokong PH sekarang ini, rata-ratanya lebih cenderung mahukan sama ada Rafizi Ramli, Saifuddin Nasution Ismail atau Nurul Izzah Anwar menjadi Perdana Menteri selepas Anwar.
Tiga pemimpin tersebut dianggap pelapis paling berpotensi yang dirasa dan diharapkan oleh penyokong masing-masing akan memimpin negara ini selepas Anwar.
Bagi saya, meskipun ketiga-tiga mereka itu ada bakat kepimpinan yang baik, tetapi kesemuanya masih dikira mentah daripada segi pengalaman untuk mengambil alih kepimpinan negara sebagai sebagai PM11.
Mereka hanya sesuai jadi PM12, PM13, PM14 dan yang seterusnya, dalam erti kata lain selepas PM11 dirangkul Zahid Hamidi terlebih dahulu.
Firasat dan rasa hati saya dalam hal ini mungkin betul dan mungkin juga salah, bahkan barangkali ramai yang tidak setuju, tetapi kita boleh sama-sama simpan tulisan ini untuk melihat sama ada ia akhirnya akan menjadi kenyataan atau sebaliknya. –ShahbudinHusin 02/11/2023.