Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berpotensi meraih pelaburan bernilai RM216.04 bilion, hasil daripada lawatannya ke luar negara.
Beliau yang juga menteri kewangan memperincikan lawatan rasmi ke China pada 29 hingga 31 Mac lalu telah menjana nilai potensi pelaburan sebanyak RM170.07 bilion manakala misi di New York, Amerika Syarikat, bulan lalu pula meraih RM4.74 bilion.
Terbaru dalam lawatan rasmi dua hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), minggu lalu, Anwar berkata Malaysia mendapat pelaburan komited berjumlah RM40.6 bilion membabitkan sektor-sektor tenaga boleh diperbaharui, logistik dan aeroangkasa.
“Pelaburan terbesar adalah daripada Masdar iaitu pembangunan projek tenaga boleh dibaharui di Malaysia dengan kapasiti sehingga 10 gigawatt (GW) bernilai RM37.8 bilion.
“Selain itu, pelaburan komited berjumlah RM2.1 bilion adalah dalam sektor logistik dan RM709.1 juta bagi sektor aeroangkasa,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) yang meminta perdana menteri menyatakan hasil lawatan ke luar negara, termasuk pelaburan, kerjasama antara negara dan tahap keyakinan pelaburan asing terhadap Malaysia.
Anwar berkata, bagi meyakinkan pelaburan China yang turut membabitkan syarikat automotif, Geely, beliau akan turun sendiri ke Tanjung Malim esok untuk merealisasikan pelaburan di Lembah Teknologi Tinggi Automotif.
Untuk rekod, Anwar telah melakukan 17 lawatan ke luar negara sejak dilantik perdana menteri pada Nov tahun lalu.
Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/10/10/lawatan-pm-ke-luar-negara-raih-potensi-pelaburan-lebih-rm200-bilion/