Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

JOHARI GHANI – MENTERI KEWANGAN KEDUA ATAU MENTERI WP?

Ketika ini ramai sekali yang bercakap mengenai rombakan kabinet yang dijangka akan dilakukan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebaik berakhirnya PRK Pelangai pada 7 Oktober ini.

Berbagai jangkaan dan ramalan tentang rombakan itu boleh didengar di mana-mana pada waktu ini.

Beberapa pemimpin, baik PH dan BN juga tidak terkecuali bercakap mengenai rombakan tersebut.

Yang disebut-sebut bakal berpindah atau ditukarkan ke kementerian baru, semuanya menyerahkan kepada Perdana Menteri dan menyatakan kesediaan memikul apa saja portfolio yang diamanahkan.

Yang akan dinaikkan pangkat pun sama juga nadanya.

Dalam ramai-ramai pemimpin yang memberi komen mengenai rombakan kabinet, ulasan oleh Naib Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Ghani barangkali paling menarik sekali.

Di antara tiga Naib Presiden UMNO, Johari adalah satu-satunya yang tiada jawatan dalam kerajaan.

Dua lagi Naib Presiden UMNO – Khaled Nordin ialah Menteri Pengajian Tinggi, manakala Wan Rosdy Wan Ismail pula adalah Menteri Besar Pahang.

Dalam reaksinya mengenai rombakan kabinet, Johari berkata, “sama ada Perdana Menteri hendak buat rombakan (Kabinet) atau tidak, itu hak mutlak Perdana Menteri.

“Saya berpandangan begini. Mesti dalam mana-mana kerajaan, Perdana Menteri mesti ada dia punya keputusan eksklusif.

“Kita tidak boleh memberi sebarang tekanan kepada Perdana Menteri sebab kita semua sudah pilih dia (Anwar) sebagai Perdana Menteri, kita sokong dia.”

Tambahnya, semua pihak juga tidak harus memberikan tekanan kepada Perdana Menteri dengan mengambil kira bahawa Kerajaan Perpaduan ini baharu sahaja mencecah tempoh 10 bulan.

“Dalam 10 bulan ini kita berdepan dengan ekonomi global yang besar di samping kita juga berdepan dengan cara yang sesuai untuk bekerja dengan parti-parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ini adalah salah satu daripada perubahan yang perlu kita lalui. Saya rasa kalau bagi masa secukupnya hingga akhir tahun 2027, saya ingat kita akan nampak dan menilai keberkesanan kerajaan perpaduan dalam mentadbir negara,” ujarnya lagi.

Agak tepat pandangan Johari agar jangan ada mana-mana pihak memberi tekanan kepada Anwar dalam isu rombakan tersebut, sebaliknya serahkan sepenuhnya kepada Anwar membuat apa jua keputusan.

Sesuai dengan saranannya itu, Johari sendiri pun jelas tidak memperlihatkan dirinya cuba menekan Anwar, walaupun banyak pihak berpandangan, atas kedudukannya sebagai Naib Presiden UMNO, beliau sewajarnya duduk dalam kabinet sebagai salah seorang menteri.

Cuma, dengan kenyataan Johari agar tiada sesiapa menekan Anwar ini lebih membuatkan namanya tidak dilupai Anwar dalam rombakan kali ini.

Dengarnya, kalau tidak Menteri Kewangan Kedua, jawatan Menteri Wilayah Persekutuan bakal menunggu untuk jatuh ke ribanya. – ShahbudinHusin 02/10/2023.

5 2 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

56 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
56
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x