Kurang 15 jam tempoh berkempen bagi PRK Parlimen Pulai yang akan tamat 11.59 malam ini, calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat terus giat melakukan “sentuhan akhir” bagi meraih sokongan pengundi.
Dalam tempoh akhir sebelum “menyerahkan nasibnya” kepada rakyat Pulai, aktiviti kempen beliau ditumpukan ke kawasan kubu kuat PH-Barisan Nasional (BN) bagi menyantuni rakyat.
Katanya, setakat malam tadi, hampir keseluruhan pusat daerah mengundi sudah disantuni dan pada hari terakhir ini, beliau dan jentera akan menziarah ke kawasan-kawasan panas.
“Alhamdulillah, kita lihat respons pengundi amat baik dan harap momentum ini dapat diterjemah menerusi undi dan keputusan esok (hari mengundi). Kita akan terus merayu sokongan rakyat.
“Malam ini kita akan adakan ceramah ‘grand finale’ yang akan dihadiri pemimpin PH-BN dan kita harap sentuhan akhir ini dapat menarik undi rakyat,” katanya kepada pemberita pada program bersama anak muda di Kampung Pasir Tampoi malam tadi.
Pada PRK Pulai, Suhaizan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar dan calon bebas Samsudin Mohamad Fauzi.
PRK bagi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup pada 23 Julai lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi kedua-dua PRK pada Sabtu ini.