Kali ini saya benar-benar tidak faham apabila melihat masih tidak henti-henti pelbagai pihak menuntut kerajaan memberi penjelasan berkenaan keputusan mahkamah memberi DNAA kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
Di dalam Parlimen, di luar Parlimen dan di mana-mana saja seseorang yang berjawatan tertentu ada peluang untuk bercakap, itulah yang mereka luahkan.
Sehingga ada yang meminta Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bekas Peguam Negara dan Peguam Negara baru tampil memberi penjelasan di Parlimen.
Apa yang sebenarnya mereka masih tidak faham dengan DNAA Zahid Hamidi itu?
Dan apa lagi penjelasan yang mereka mahukan daripada kerajaan?
Sebagai makluman, sebaik saja Mahkamah Tinggi melepas tapi tidak membebaskan Zahid Hamidi dalam 47 kes mahkamah yang sedang dihadapinya berkaitan Yayasan Akalbudi, Anwar pada 6 September lalu, sudah pun tampil dengan penjelasan awalnya.
Katanya, beliau tidak memberi arahan kepada Peguam Negara untuk menghentikan kes berkenaan, sebaliknya ia adalah keputusan jabatan berkenaan.
Malah, menurut Perdana Menteri, beliau jika boleh, mahu menangguhkan permohanan Peguam Negara itu sehingga selepas selesai pilihan raya sekiranya mempunyai kuasa.
“Mereka nak tohmah, tohmahlah tetapi saya bercakap di sini untuk menjelaskan bahawa tidak ada arahan (kepada) Peguam Negara masa itu Tan Sri Idrus Harun (yang) terlibat dalam meneruskan pendakwaan.
“Tentunya saya sebagai Perdana Menteri tahu kesan dan tuduhan dilemparkan, saya terpaksa tanya panjang kepada Peguam Negara, kenapa keputusan begitu, mengapa sekarang?
“Jadi kalau tanya saya, kalau saya ada kuasa saya nak tangguh. Sebab apa? Saya nak lepaskan dulu semua pilihan raya ini, kemudian Peguam Negara jalankan (pendakwaan)
“Tetapi Peguam Negara tidak bersetuju, beliau kata tarikh awal mahkamah ialah empat hari bulan dan lima hari bulan ialah hari akhir beliau (Ahmad Zahid), jadi beliau menjalankan tanggungjawab, dia tidak mahu melepaskan tanggungjawab yang dia uruskan kepada yang lain, jadi saya tidak boleh menghalang,” kata Anwar lagi.
Berita penuh kenyataan Anwar itu ada di sini – https://www.utusan.com.my/nasional/2023/09/saya-kalau-boleh-mahu-tangguh-kes-ahmad-zahid-anwar/
Kemudian, Jabatan Peguam Negara juga menghuraikan hujah serta alasan mengapa permohonan menghentikan kes itu dilakukan.
Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan, Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang mengetuai pendakwaan dalam kes Yayasan Akalbudi memberi 11 hujah mengapa Ahmad Zahid perlu diberikan DNAA.
Semua 11 hujah dan alasan itu boleh dibaca di sini – https://www.hmetro.com.my/amp/utama/2023/09/1006280/11-alasan-mengapa-ahmad-zahid-dnaa-hujah-jabatan-peguam-negara
Seterusya apabila Peguam Negara baru, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh memulakan tugasnya pada 6 September, beliau juga mengeluarkan kenyataan media pada 8 September.
Secara mudahnya, beliau menjelaskan kes berkenaan perlu dihentikan buat sementara bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan.
Katanya, surat-surat representasi dan perkembangan lain yang memberikan fakta baru berkaitan perbicaraan kes Yayasan Akalbudi terhadap Ahmad Zahid Hamidi membuatkan perbicaraan perlu dihentikan sementara siasatan lanjut dibuat.
Dalam kenyataan medianya, Ahmad Terrirudin berkata peranan Jabatan Peguam Negara (AGC) adalah untuk memastikan proses undang-undang ditegakkan, bukan memastikan mana-mana tertuduh disabitkan “melalui apa cara sekalipun”.
“Tugas hakiki jabatan ini adalah untuk memastikan proses undang-undang ditegakkan sepenuhnya berlandaskan kata-kata yang dikenali sebagai Blackstone Ration, ‘It is better that ten guilty persons escape than that one innocent suffer’,” katanya lagi.
Ahmad Terirudin juga menyertakan sebab-sebab yang diberikan kepada mahkamah oleh jabatannya apabila memaklumkan keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan.
Antaranya adalah:
• Keterangan 15 saksi pembelaan (termasuk Zahid sendiri) yang perlu diteliti oleh pihak pendakwaan dan penyiasatan.
• Lanjutan daripada representasi yang dikemukakan Zahid, SPRM pada 20 Januari lalu memaklumkan kepada AGC bahawa penting untuk siasatan lanjut yang lebih terperinci, mendalam dan menyeluruh dibuat.
• Secara keseluruhan, Zahid menghantar enam surat representasi yang membangkitkan isu dan bukti baru yang memerlukan siasatan SPRM.
• Surat representasi menyentuh isu berkenaan siasatan yang dikatakan dibuat secara “terburu-buru, cuai, pramatang dan tidak lengkap”.
• Zahid mendakwa dia menjadi mangsa pendakwaan terpilih oleh kerajaan sebelum ini dan ia perlu disiasat pihak pendakwaan dan SPRM. Ia juga selari dengan rancangan kerajaan untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat isu yang dibangkitkan dalam memoir bekas peguam negara, Tommy Thomas.
• Memo dalaman yang dikatakan dikeluarkan AGC berkaitan kes tersebut yang tular di media sosial, yang penting kerana menyentuh secara langsung isu yang dibangkitkan Zahid melalui representasi yang dikemukakan dan menguatkan lagi alasan untuk siasatan secara meluruh terhadap Zahid.
• Bagi tidak menafikan hak Zahid dan memastikan tiada salah laku di sisi undang-undang berlaku, pertuduhan terhadapnya perlu dihentikan buat masa ini sehinggalah siasatan lebih menyeluruh dan lengkap selesai.
Berita penuh kenyataan Ahmad Terirudin itu boleh didapati di sini – https://m.malaysiakini.com/news/678547
Jika semua orang membaca ketiga-tiga kenyataan di atas, segala-galanya sudah terang lagi bersuluh ada di situ.
Hakikatnya, tiada apa-apa lagi perlu dijelaskan, baik oleh Jabatan Peguam Negara atau pun oleh Perdana Menteri
Jadi, yang tak habis-habis nak minta penjelasan lanjut itu, adakah mereka itu jenis rajin membaca?
Penjelasan apa lagi yang mereka mahu sebenarnya?
Kepada Anwar, jangan buang masa melayan benda-benda yang tidak perlu. – ShahbudinHusin 16/09/2023.