Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

IDEA KJ HAPUSKAN PENCEN PENJAWAT AWAM HANYA JADIKAN BEKERJA DENGAN KERAJAAN TIDAK LAGI DIMINATI

Sebagai tanda sokongan terhadap cadangan menghapuskan pencen untuk Ahli Parlimen dan ahli politik yang berkhidmat dalam kerajaan, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bukan saja setuju sepenuhnya terhadap perkara itu, malah juga mahukan pencen untuk penjawat awam turut dihapuskan.

Bagaimanapun, kata beliau, cadangannya itu hanya untuk pengambilan baharu penjawat awam saja, bukan terkait mereka yang sedang dalam perkhidmatan ketika ini.

Khairy Jamaluddin atau KJ dilaporkan melontarkan idea penghapusan pencen penjawat awam itu sebagai jalan untuk membantu mengimbangi kedudukan fiskal negara.

Sebagai gantinya, mereka dikehendaki melakukan caruman dengan KWSP, sama seperti pekerja sektor swasta.

Dalam hal ini, mereka yang cuba berbahas berkaitan isu pencen hendaklah jangan terbabas dalam melontarkan idea masing-masing.

Ini kerana cadangan asal penghapusan itu hahyalah untuk ahli-ahli Ahli Parlimen dan ahli-ahli politik yang memegang jawatan menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik saja, tanpa menyentuh sama sekali penjawat awam.

Ini kerana, selain pencen mereka besar jumlahnya, syarat memperolehi pencen juga amat mudah iaitu hanya perlu berkhidmat selama tiga tahun atau 36 bulan saja dengan kerajaan.

Dengan itu, ramai yang melihat pembayaran pencen itu akan memakan jumlah wang negara yang besar, lebih-lebih lagi jika setiap lima tahun bila diadakan PRU berlaku pula pertukaran kerajaan.

Dengan itu, kewajaran untuk dihapuskan pencen tersebut ada munasabahnya.

Namun demikian, idea tambahan KJ agar penjawat awam baru yang diambil bekerja juga harus tidak lagi diberi pencen adalah cadangan yang amat keterlaluan.

Pertamanya, gaji penjawat awam di negara ini boleh dikira masih rendah berbanding sektor swasta, terutama pekerja bawahan dan pasukan beruniform.

Adanya pencen merupakan tarikan untuk mereka bekerja dengan kerajaan berikutan lebih terjamin masa depan selepas bersara nanti.

Tetapi, memandangkan gaji mereka masih relatif rendah, pencen yang menunggu setelah berusia 55 tahun juga tidaklah setinggi mana.

Jadi, kenapa benda sebegini mahu dimansuhkan?

Kedua, sekitar 90 peratus pekerja sektor awam adalah merupakan orang Melayu yang merupakan penduduk majoriti negara ini.

Di mana-mana negara pun di dunia ini, pekerja sektor awam adalah dikuasai oleh penduduk majoritinya, tetapi dalam konteks negara kita, tidaklah pula ada sekatan untuk kaum-kaum lain bekerja dengan kerajaan.

Dengan mencadangkan penghapusan pencen itu, ia seperti meletakkan KJ tiada keprihatinan terhadap orang Melayu sendiri yang merupakan penduduk majoriti negara ini.

Ketiga, dengan tiada lagi pencen bagi sektor awam, ini sekaligus akan menjadikan bekerja dengan kerajaan bukan lagi sesuatu yang menarik untuk diceburi.

Sudahlah gaji lebih rendah berbanding sektor swasta, kemudian pencen pula dihapuskan, siapa akhirnya mahu bekerja dengan kerajaan?

Kecuali jika kerajaan mampu menawarkan skim gaji yang setaraf dengan sektor swasta, barulah minat itu mampu diwujudkan kembali.

Soalnya, mampukah kerajaan menggubal gaji yang tinggi itu dan tidak mungkinkah jika ia dilakukan, kosnya barangkali lebih tinggi lagi berbanding membayar pencen? – ShahbudinHusin 28/09/2023.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

26 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
26
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x