Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

PESANAN BUAT UMNO – LEBIH BAIK TAK DAPAT BANYAK KERUSI, ASALKAN MAMPU MENANG SEMUANYA

Apa yang tidak boleh dinafikan mengenai trend atau kecenderungan pengundi ketika ini ialah mereka ingin terus menolak UMNO, walaupun setelah parti itu bekerjasama dengan PH dalam membentuk kerajaan perpaduan.

Sebagaimana dalam PRU15 lalu di mana UMNO hanya menang 26 kerusi Parlimen berbanding 54 kerusi pada PRU14 pada tahun 2018 dan Zahid Hamidi sendiri selaku Presiden UMNO sekadar mampu menang dengan majoriti 348 undi di Bagan Datuk, itu pun lawannya ialah Shamsul Iskandar Mohd Akin dari Melaka, trend penolakan itu dilihat masih berterusan hingga kini.

Keberadaan UMNO dalam kerajaan, disusuli dengan kuatnya sentiman kaum dan agama yang dimainkan oleh blok pembangkang, diikuti pula penerimaan dingin sesetengah pimpinannya sendiri terhadap kerjasama dengan PH, khususnya DAP, ternampak kedudukan parti itu tidak menjadi lebih baik sekarang ini

Dalam PRN enam negeri yang akan berlangsung tidak lama ini, peluang UMNO memenangi lebih banyak kerusi dijangka akan terus menipis.

Berbanding PH, peluang UMNO untuk memenangi banyak kerusi dilihat jauh lebih sukar lagi.

Atas sebab itu, keghairahan UMNO meminta tambahan kerusi di beberapa negeri bukanlah langkah yang tepat sebenarnya.

Di Selangor, daripada lima kerusi yang sedia dipegangnya, UMNO dilaporkan mahu menuntut tambahan sehingga 14 atau 15 kerusi.

Selain ingin bertanding di kerusi yang dimenangi Bersatu dan Pas, ada laporan menyebut UMNO turut mahukan kerusi yang sedia dimenangi PH seperti Sungai Kandis dan Hulu Selangor untuk diberikan kepada mereka.

Laporan lain pula memberitahu, UMNO juga menuntut kerusi Gombak Setia yang kini dipegang Hilman Idham daripada Bersatu, walaupun sebenarnya kerusi itu adalah milik PH kerana ketika Hilman memenanginya pada 2018 dulu adalah atas tiket PH yang menggunakan simbol PKR.

Hilman adalah bekas Setiausaha Politik Azmin Ali yang meninggalkan PKR selepas Langkah Sheraton dan kemudian menyertai Bersatu.

Di Negeri Sembilan, walaupun BN ada 16 kerusi yang dimenanginya pada PRU15 berbanding PKR 6, Amanah 3 dan DAP 11, tetapi mereka dikatakan masih mahu tambahan satu kerusi lagi dan bertukar satu kerusi yang lain dengan PH.

Alasan yang diberikan ialah untuk membolehkan calon MCA bertanding dan ini sudah tentu terpaksa mengambil kerusi yang sedia dimenangi oleh DAP.

Dilaporkan kerusi yang diminta BN untuk diserahkan kepada MCA itu adalah Chennah yang sekarang dipegang oleh Anthony Loke, Setiausaha Agung DAP.

Kerusi yang UMNO dikatakan ingin bertukar pula ialah Kuala Klawang yang kini dipegang wakil Amanah dan tujuan berbuat demikian adalah bagi membolehkan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias yang disebut-sebut sebagai calon berpotensi untuk jawatan Menteri Besar, dapat bertanding dengan selesa.

Membandingkan Selangor dengan Negeri Sembilan, satu persamaan sifat UMNO ialah “ketamakan tak bertepi” yang dimilikinya di mana di negeri yang mereka ada sedikit kerusi, tambahan kerusi yang diminta agak keterlaluan, manakala di negeri yang mereka sudah sedia ada banyak kerusi, mereka minta lagi tambahan dan pertukaran.

Kalau dengan meminta tambahan di Selangor atas alasan kerusi yang sedia dimenangi adalah sedikit, kenapa di Negeri Sembilan di mana UMNO memiliki lebih banyak kerusi berbanding komponen PH, mereka tidak mahu pula bersikap pemurah dengan memberi satu dua kerusi kepada PKR dan Amanah?

Dengan bersikap demikian, apakah UMNO boleh dianggap kawan yang baik?

Di Kedah dan Terengganu juga dilaporkan berlaku kekecamukan mengenai pembahagian kerusi antara PH dengan BN dengan antaranya tuntutan bertindih dan menuntut kerusi yang memang sedia dimenangi PKR atas alasan keseimbangan.

Hakikatnya, jika UMNO sedar dan benar-benar merasai denyut nadi rakyat yang tidak memihak kepada mereka ketika ini, meminta tambahan kerusi dalam PRN ini adalah umpama langkah “bunuh diri”.

Lebih baik UMNO bertanding sedikit atau hanya di kerusi-kerusi sedia dimenanginya saja, tetapi masih mampu menang sebahagian besar daripadanya, berbanding bertanding lebih banyak kerusi, namun akhirnya kalah semuanya.

Walaupun Anwar Ibrahim dan parti-parti dalam PH sepatutnya boleh berkeras enggan menyerahkan mana-mana kerusi yang sedia dimiliki kepada UMNO dengan hujah status quo tidak patut berubah serta kemungkinan kalah pula lebih tinggi, tentunya jauh lebih terpuji jika UMNO mendahului sedar diri tentang realiti wajah mereka sendiri. – ShahbudinHusin 03/07/2023.

5 2 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

65 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
65
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x