Kata Anwar Ibrahim, kejatuhan nilai mata wang ringgit malaysia bukan berpunca daripada negara mempunyai seorang Menteri Kewangan yang tidak bekerja sepenuh masa.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Mohd Syahir Che Sulaiman sebelum ini berkaitan isu tersebut.
Video ucapan lama beliau yang ketika menjadi Ketua Pembangkang mengkritik kenaikan nilai ringgit dengan menyalahkan kerajaan sudah banyak bertebaran di pelbagai platform media sosial.
Soalnya, di mana pihak-pihak lain dalam mempertahankan Anwar?
Selain Rafizi Ramli yang antara lain berkata, kejatuhan nilai ringgit ketika ini turut membawa kebaikan dan menyebabkan beliau dikecam kerana dilihat bertentangan dengan pendiriannya ketika menjadi pembangkang dahulu, tiada menteri lain bersuara mempertahankan Perdana Menteri.
Kata Menteri Ekonomi itu, pendapatan negara terutama sektor minyak meningkat berikutan harganya diniagakan dalam nilai dolar Amerika.
“Lebih tinggi harga minyak dan ringgit yang lemah bermakna lebih banyak duit kita dapat, namun bagi eksport kita adalah sebaliknya,” ujar beliau lagi.
Selain tiada menteri, di mana juga pelbagai jentera dan agensi yang sepatutnya menangkis serangan berkaitan kejatuhan ringgit ini?
Sebelum ini, dalam banyak isu yang timbul, jika kita teliti, sebahagian daripadanya juga tidak berjawwb selama berhari-haru sehingga akhirnya Anwar sendiri tampil menjawabnya.
Untuk berapa lama lagi terpaksa Anwar sendiri, di sebaliknya kesibukannya ke sana sini dengan pelbagai program, terpaksa tampil membela dan mempertahankan dirinya? – ShahbudinHusin 01/06/2023.