Kata Khairy Jamaluddin atau KJ, UMNO akan bungkus pada PRN enam negeri akan datang ini.
Walaupun komen pendek “PRN UMNO bungkus” itu hanya sekadar reaksi kepada luahan Hishammuddin Hussein yang tidak senang dengan sindiran Zahid Hamidi dan Dr Asyraf Wajdi Dusuki terhadap mereka yang dipecat dan digantung daripada UMNO menjelang PAU2023 minggu ini, tetapi tidaklah sukar mematami maksud reaksi KJ itu.
Lebih kurang maksudnya – janganlah berlagak dan cuba nak sindir-sindir orang kerana UMNO akan kalah pada PRN akan datang ini.
Betulkah UMNO akan bungkus di enam negeri yang bakal diadakan PRN nanti?
Daripada enam negeri yang ada PRN itu, tiga negeri – Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan – diperintah oleh PH, manakala tiga negeri lagi – Kelantan, Terengganu dan Kedah – ditadbir oleh Pas atau PN sekarang ini.
Tiada satu negeri pun sedang ditadbir oleh UMNO/BN.
Oleh kerana UMNO/BN sekarang sudah bekerjasama dengan PH, bermakna hanya tiga negeri yang sekarang ditadbir PN saja boleh untuk mereka cuba untuk berangan-angan merampasnya.
Tapi, bolehkah UMNO/BN merampas Kelantan, Terengganu dan Kedah?
Melihat kepada situasi semasa di mana Pas yang bersama PN memang diakui kukuh di tiga negeri yang sedang ditadbirnya sekarang, memang diakui adalah sukar untuk UMNO/BN mampu melakukan kejutan.
KJ dalam hal ini menjangkakan UMNO akan kalah atau bungkus di tiga negeri tersebut.
Rasanya, selain KJ, majoriti kita yang mengikuti perkembangan semasa juga sependapat dengan beliau.
Ini bererti KJ sebenarnya memberi jawapan yang jujur bila menyebut “PRN UMNO bungkus” itu.
Bagi tiga negeri lain iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, melalui erti kerjasama yang sedia terjalin dalam konteks kerajaan perpaduan, UMNO/BN hanyalah berperanan sebagai pembantu untuk memastikan kerajaan sedia ada yang diterajui PH kekal berkuasa.
UMNO/BN bukan saja tidak boleh mahu merampas kuasa yang dipegang PH, malah juga tidak mudah untuk meminta lebih kerusi daripada jumlah yang mereka menangi pada PRU tahun 2018 lalu.
Ini kerana kerusi yang sedia dipegang oleh PH akan terus kekal ditandingi parti tersebut.
Hanya sejumlah kecil kerusi yang dipegang PN terbuka untuk ditandingi oleh UMNO/BN, itu pun perlu melalui proses rundingan dengan PH dengan mengambil kira parti mana yang lebih kuat dan siapa memperolehi lebih banyak undi pada PRU yang lepas.
Misalnya di Selangor di mana UMNO hanya menang lima kerusi pada PRU yang lepas, sudah tentu mustahil untuk mereka mendapat tambahan kerusi yang begitu banyak yang membolehkan parti itu berangan-angan jadi peneraju kuasa menggantikan PH.
Persoalannya, mampukah UMNO menang di semua kerusi Melayu yang ditandinginya di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dalam berhadapan dengan PN?
Sekali lqgi, perkiraan KJ ialah UMNO bungkus atau dalam erti kata lain akan kalah kepada PN.
Sama ada betul atau salah jangkaan KJ itu, apa yang lebih penting ialah semua ini harus menjadi cabaran buat UMNO untuk membuktikan sebaliknya.
UMNO tidak harus tersinggung atau kecil hati dengan kejujuran KJ, jadikanlah ia tangkal semangat untuk sekurang-kurangnya janganlah sampai kena bungkus ikat mati dan tiada langsung kerusi yang mampu dimenangi. – ShahbudinHusin 06/06/2023.