Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

KALIMAH ALLAH – TAK ADA PASAL SENGAJA CARI PASAL, RAYUAN MESTI DIMASUKKAN SEMULA

Tak ada pasal cari pasal – itulah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan keadaan yang bergelora dalam negara berikutan munculnya isu kalimah Allah secara tiba-tiba sejak dua tiga hari kebelakangan ini.

Isu kalimah Allah yang muncul ini adalah kes mahkamah melibatkan Jill Ireland lawan Kementerian Dalam Negeri di mana Mahkamah Tinggi sebelum itu membuat keputusan yang memihak kepadanya dalam isu penggunaan nama Allah berikutan rampasan sejumlah cakera padat dan bahan penerbitan miliknya.

Susulan itu KDN telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Ia menjadi isu kerana KDN tak pasal-pasal dan tiba-tiba menarik balik rayuan yang sudah dimasukkan.

Persoalannya, kenapa KDN menarik balik rayuan dan tidak membiarkan proses perundangan melalui mahkamah terus berjalan, sedangkan mengikut perlembagaan, kalau kalah di Mahkamah Tinggi, rayuan boleh dilakukan di dua mahkamah lagi iaitu Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan?

Kenapa cari pasal dan mengaku kalah sebelum berjuang, walhal ini adalah isu yang melibatkan kesucian Islam?

Di mana logik dan asas kononnya penarikan balik rayuan itu hanya berkisar soal pentadbiran?

Dalam kes ini, KDN atau kerajaan sepatutnya bukan saja harus meneruskan rayuan demi menjaga kesuciaan kalimah Allah daripada kemungkinan disalahguna, bahkan sewajarnya lebih bersemangat dalam rayuan berdasarkan beberapa duluan atau “precedent” sebelum ini.

Dalam kes mahkamah melibatkan The Herald pada 2014, Mahkamah Persekutuan telah membuat ketetapan menolak permohonan Gereja Roman Katolik untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan majalah mingguan tersebut.

Walaupun keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Jill Ireland adalah berbeza darioada keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan The Herald, kerajaan atau KDN sepatutnya wajib terus melawan bukan saja di Mahkamah Rayuan, bahkan sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Lebih daripada itu, keputusan kabinet pada 1986 melalui Jawatankuasa Mengkaji Istilah/Perkataan Islam Di Dalam Al-Kitab Yang Tidak Boleh Digunakan yang dipengerusikan Tun Ghafar Baba telah juga membuat ketetapan nama Allah adalah antara istilah yang tidak boleh digunakan oleh agama lain.

Tidak cukuplah dua perkara itu menjadi sandaran paling kuat untuk kerajaan terus melawan dalam rayuan kes Jill Ireland?

Tetapi, malang sekali dan tak ada pasal tapi sengaja cari pasal, kerajaan dengan tiba-tiba membuat keputusan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Jill Ireland itu.

Sudah tentu ini menjadi persoalan dan tanda tanya, walhal sudah terbentang duluan yang cukup kuat untuk kerajaan terus berjuang dan melawan selagi nyawa belum terpisah daripada badan.

Oleh kerana disebut sebelum ini bahawa rayuan yang dibuat itu, antaranya adalah atas titah Sultan Johor dan Sultan Selangor, penarikan balik rayuan itu pastinya mencetuskan tanggapan jahat dalam pemikiran ramao orang – “titah” siapa pula yang mengarahkan demikian?

Ia sekaligus turut menyebabkan bercambahnya tohmahan bahawa kerajaan perpaduan ini tidak sensitif dalam hal ehwal berkaitan Islam dan kepentingan rakyat terbanyak di negara ini.

Meski Anwar Ibrahim semalam, selepas mesyuarat kabinet memutuskan bahawa kerajaan akan mengekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam iaitu kalimah itu tetap tidak boleh digunakan oleh mereka, isu ini sebenarnya tidak boleh lagi dianggap sudah selesai.

KDN dan kerajaan tidak ada pilihan lain melainkan mesti memasukkan semula rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Jill Ireland itu.

Kalau menarik balik kes dikata isu pentadbiran, susahkah melaksanakan isu pentadbiran sekali lagi dengan memasukkan kembali rayuan ke Mahkamah Rayuan? ShahbudinHusin 18/05/2023.

5 1 vote
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

9 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
9
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x