Larangan berkait penggunaan kalimah “Allah” di Selangor mengikut enakmen negeri masih berkuatkuasa seperti biasa, menurut Menteri Besar Amirudin Shari.
Menurut kenyataan, pendirian Kementerian Dalam Negeri, yang tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah bagi kes kalimah “Allah” ekoran percanggahan antara arahan pentadbiran kementerian 1986 dan keputusan dasar Jemaah Menteri tahun sama, tidak menjejaskan atau mengancam pendirian kerajaan negeri dan enakmen berkaitan.
Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) menyenaraikan 25 perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan dengan agama bukan Islam, termasuk kalimah “Allah”.
“Kerajaan Selangor mengambil maklum penjelasan KDN dan perakuan berhubung enakmen negeri yang terkait dengan perkara ini,” katanya.
Beliau menyatakan komitmen bahawa hak dan enakmen negeri akan terus dipertahankan, dan pentadbirannya menjunjung titah Sultan Selangor bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’ di negeri ini oleh penganut agama bukan Islam adalah dilarang.
“Kerajaan negeri tegas melindungi kepentingan serta sensitiviti bahawa kepercayaan agama harus dihormati dan tidak menggugat keharmonian dan perpaduan yang telah dibina dan menjadi asas kepada Selangor,” katanya.
Kerajaan baru-baru tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai hak seorang penganut Kristian dari Sarawak menggunakan kalimah “Allah” bagi tujuan pembelajaran agamanya, selepas “memperhalusi dengan teliti” keputusan hakim.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan semua pihak bahawa keputusan mahkamah pada 2021 itu berkaitan bahan penerbitan, bukan dari sudut ketuhanan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, juga mengesahkan bahawa isu ini melibatkan teknikal perundangan, dan meminta semua pihak mengelak daripada terpengaruh dengan sentimen yang tidak berasas.
Sementara itu, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) membidas tindakan Putrajaya kerana menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam bahan penerbitan agama mereka.
Mais berkata kerajaan Persekutuan bertindak secara unilateral tanpa merujuknya sebagai pihak berkepentingan dalam isu yang menjadi pertikaian.
Pengerusi Mais Abdul Aziz Mohd Yusof turut mempertikaikan dakwaan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution keputusan untuk menarik balik rayuan itu hanya berkaitan soal pentadbiran.
“Mais berpendirian bahawa kes tersebut bukan hanya berkaitan dengan isu pentadbiran dan keselamatan, tetapi is juga melibatkan perkara akidah orang Islam dan pentadbiran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa Sultan sebagai ketua agama negeri,” katanya dalam satu kenyataan.