Sebagaimana dilaporkan media, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hasan berkata, 10 bekas pemimpin UMNO, termasuk Annuar Musa akan menyertai Pas dalam waktu terdekat ini.
Kata beliau, pengumuman rasmi akan dibuat mengenainya tidak lama lagi.
Di waktu yang sama, Takiyuddin juga membayangkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atau KJ mungkin akan memilih Bersatu untuk disertainya.
Menurutnya, KJ lebih menunjukkan minat terhadap Bersatu berbanding Pas.
Dengan kenyataan Takiyuddin ini bererti ada 11 bekas pemimpin UMNO akan melakukan hijrah perjuangan, beralih sama ada menyertai Pas atau Bersatu.
Adalah dijangka mereka yang berbuat demikian itu ialah mereka yang telah dipecat dan digantung keahlian daripada UMNO serta mereka tidak dipilih sebagai calon BN dalam PRU15 yang lalu.
Melakukan hijrah perjuangan sudah semestinya dengan harapan agar melalui parti baru yang disertai, mereka akan dipilih sebagai calon dalam PRN enam negeri tidak lama lagi.
Selain Annuar Musa dan KJ, siapakah selebihnya mereka yang akan berhijrah itu?
Adakah ia juga antaranya termasuk bekas Pengerusi UMNO Selangor, Noh Omar; bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif dan lain-lain lagi?
Bagaimana pula dengan bekas Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Hussein yang turut dihukum gantung keahlian selama enam tahun daripada UMNO?
Apakah beliau juga akan melakukan hijrah perjuangan dengan turut menyertai Pas atau Bersatu?
Dari segi logiknya, dengan digantung enam tahun, masa depan Hishammuddin sudah boleh dikira telah “padam” dalam UMNO.
Beliau bukan saja tiada peluang lagi untuk mendaki semula bagi memegang jawatan tinggi dalam UMNO, bahkan hampir pasti akan diketepikan oleh Zahid Hamidi dalam PRU16 akan datang nanti.
Pilihannya untuk mencerahkan kembali masa depannya hanyalah dengan bersikap sedikt berani untuk menyertai parti lain dan melupakan terus UMNO daripada hatinya.
Namun demikian, apa yang nyata, dengan penyertaan 11 bekas pemimpin UMNO ke dalam Pas dan Bersatu menjelang PRN enam negeri tidak lama lagi, yang paling terkesan tentunya ialah UMNO itu sendiri.
Pengaruh bekas pemimpin itu akan membuatkan UMNO akan terus kalah di kerusi atau negeri yang mereka tidak menang, malah akan mengancam kedudukan di kawasan yang sebelum ini mereka menang.
Tidak ternampak ada jalan cerah buat UMNO sebenarnya enam enam PRN akan datang ini, meskipun setelah bekerjasama dengan PH atas nama kerajaan perpaduan sekarang ini. – ShahbudinHusin 19/05/2023.