Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

FAHMI DIGESA FIKIR PERKARA LEBIH BESAR, BUKAN TIKET MAHAL COLDPLAY

Seorang pakar komunikasi dan media berkata kebimbangan berlebihan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil terhadap isu jualan semula tiket konsert Coldplay di media sosial tidak perlu dipanjangkan sebaliknya memfokuskan kepada isu-isu yang lebih utama dalam kementerian tersebut.

Ini termasuklah keperluan asas komunikasi dan digital rakyat seperti masalah liputan jalur lebar, perihal data peribadi, perkhidmatan pos, serta pelbagai masalah lain terutamanya keperluan awam yang perlu diberikan keutamaan.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi dan Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Abd Aziz Aizam berkata meskipun kenyataan beliau dilihat sebagai perkara yang ringkas, namun pada masa sama Fahmi sendiri seperti memperlekehkan kedudukannya sebagai menteri yang memikul tanggungjawab lebih besar.

“Beliau kena sedar bahawa beliau bukan lagi ahli politik pembangkang.

“Tetapi beliau adalah seorang menteri, tambahan pula beliau sebagai menteri komunikasi dan digital.

“Beliau kena berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan waima hanya satu perkataan di dalam media sosial kerana kenyataan menteri adalah kenyataan yang boleh difikirkan sebagai satu perkara mustahak secara umumnya,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Fahmi yang meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menjual semula tiket konsert itu di media sosial.

Media melaporkan, terdapat pihak yang menjual semula tiket konsert kumpulan muzik terkemuka British itu dengan harga mencecah RM43,200 sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.

Selain itu, kata Aziz, Fahmi perlu sedar apakah isu mengenai konsert Coldplay yang dibangkitkannya itu merupakan isu keperluan dan kepentingan umum rakyat ataupun sekadar perkara yang meliputi kehendak segelintir pihak.

“Rakyat boleh menilai sejauh mana seseorang pemimpin serius dalam menjalankan tanggungjawabnya dan faham ruang lingkup kerja mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kebimbangan Fahmi terhadap isu-isu yang di luar dari fokus utama kementerian tersebut dikhuatiri akan memberi ruang kepada kritikan tambahan rakyat terhadap kerajaan campuran selain isu terkini melibatkan penarikan balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 yang membenarkan kalimah Allah digunakan dalam penerbitan agama Kristian.

Coldplay dijadualkan mengadakan konsert sulung mereka di Malaysia sempena siri jelajah “Music Of The Spheres World Tour” di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November ini.

Sumber – https://www.malaysianow.com/my/news/2023/05/18/fahmi-perlu-fokus-masalah-rakyat-bukan-tiket-coldplay-kata-pakar

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

15 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
15
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x