Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

TERIMA ATAU TOLAK MUDA, PH PERLU BUAT KEPUTUSAN SEGERA

Sekali lagi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersuara mengenai penyertaan Muda ke dalam PH.

Presiden Muda itu menjelaskan, pihaknya perlu menyelesaikan isu penyertaannya bersama PH terlebih dahulu sebelum membicarakan soal agihan kerusi bagi PRN enam negeri tidak lama lagi.

Beliau mengakui sehingga kini Muda tidak dipanggil untuk berbincang dalam soal agihan kerusi

“Isu asasnya adalah penyertaan Muda dalam PH yang telah kita hantar sejak suku keempat tahun lepas, lama sebelum PRU15.

“Isu itu perlu diselesaikan dahulu kerana Muda telah memaklumkan niat kita dan apabila isu diselesaikan lebih mudah rundingan dengan PH kerana kita sudah berada dalam gabungan itu.

“Jadi, mengenai perancangan PRN, khususnya di Selangor, Muda memang telah adakan perbincangan dalam parti dan bila tiba masanya kita akan maklumkan mengenai pendirian kita.

“Tapi kita nak berikan ruang kepada kepimpinan PH dan Majlis Presiden untuk respon supaya kita dapat buat keputusan yang baik secara bersama untuk menjaga keharmonian kerajaan perpaduan,” katanya.

Syed Saddiq menambah, beliau juga telah bertemu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung penyertaan Muda ke dalam PH.

“Saya telah diberikan peluang dua kali berjumpa Anwar dan isu ini ada dibangkitkan dan Perdana Menteri kata bahawa ia perlu dibincangkan dalam Majlis Presiden PH dan kita nantikan keputusan PH,” tambahnya lagi.

Sebenarnya, isu penyertaan Muda ke dalam PH ini sudah begitu lama berlarutan dan Syed Saddiq sendiri telah dua tiga bercakap mengenainya.

Malangnya, masih tiada apa-apa keputusan di pihak PH sehingga kini.

Susah sangatkah PH nak buat keputusan?

Kegagalan membuat keputusan dalam tempoh yang munasabah berhubung penyertaan Muda sedikit sebanyak hendaklah disedari memberi gambaran tidak baik kepada PH sebagai sebuah gabungan yang sedang mengetuai kerajaan.

Dalam hidup ini, yang penting ialah berani membuat keputusan dan setelah keputusan dimuktamadkan, apa jua yang ada di hadapan haruslah dihadapi.

Dalam politik, perniagaan dan malah rumahtangga, yang penting ialah membuat keputusan.

Suami yang menggantung isteri tidak bertali bertahun-tahun misalnya, selain dicela agama, juga dikutuk masyarakat kerana dianggap tidak berperikemanusiaan dan menyeksa batin pasangannya.

Di mata umum, tidak berani membuat keputusan lebih mencerminkan tiada kewibawaan.

Begitu juga dalam kes Muda ini, jangan biarkan permohonan parti itu semacam digantung tidak bertali begitu lama.

Kalau mahu ambil Muda sebagai komponen PH kerana parti itu mewakili suara golongan muda, buatlah keputusan menerimanya, tetapi jika dirasakan Muda tidak banyak manfaat disebabkan hanya ada satu kerusi, malah mungkin masih ada kebimbangan tentang hubungannya dengan Tun Mahathir Mohamad, tolak sajalah permohonan mereka itu.

Simple kan? – ShahbudinHusin 14/04/2023.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

17 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
17
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x