Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

KERAJAAN PERPADUAN SETUJU BERI PERUNTUKAN KEPADA AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG, TAPI PAS MAHU PEMBERIAN SAMA RATA

Kerajaan Perpaduan secara dasarnya bersetuju menyediakan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang namun ia hanya untuk perbelanjaan pentadbiran, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata perkara itu sedang dimuktamadkan, dengan perbincangan sedang dijalankan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dengan pihak berkaitan, dan pengumuman mengenainya akan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Di peringkat awal ini, kita telah bersetuju untuk perbelanjaan pentadbiran,” katanya kepada pemberita semasa program tinjauan mesra di Desa KEDA Sadek di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian selepas ditanya mengenai sama ada kerajaan bersedia untuk memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Sebelum ini, Fadillah dilaporkan media sebagai berkata bahawa tiada syarat ditetapkan ketika rundingan awal bersama wakil Perikatan Nasional (PN) bagi membincangkan peruntukan kewangan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata proses pembahagian kerusi antara BN dan Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah hampir selesai.
“Kita hampir memuktamadkan pembahagian kerusi itu untuk negeri Kedah. Lain-lain negeri (lima negeri lagi yang akan terlibat dalam PRN) apabila saya berada di negeri berkenaan (untuk umumkan tentang pengagihan kerusi,” katanya. — BERNAMA.

Sementara itu, seorang pemimpin PAS menegaskan peruntukan yang dipersetujui diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang mestilah sama seperti yang diterima Ahli Parlimen kerajaan.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sekiranya kerajaan hanya bersetuju memberikan peruntukan pentadbiran sahaja, ini telah memungkiri janji kerajaan untuk bersikap adil.

“Kami menggesa agar jumlah yang diberi mesti sama dengan Ahli Parlimen kerajaan sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini.

“Ini bukan janji kami tetapi ia ikrar mereka (kerajaan) sebelum ini bagi menyatakan dasar adil yang diperjuangkan,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, sekiranya peruntukan pentadbiran sahaja, sudah tentu tidak menepati asas bagi membantu wakil rakyat menyelesaikan masalah dalam kawasan mereka.

Katanya, contoh masalah dihadapi seperti berlaku bencana, kebakaran, ribut dan peruntukan kecil pembangunan dalam kawasan Parlimen diwakili pembangkang yang perlu diberi segera.

Bagaimanapun, beliau akan menunggu pengumuman rasmi seperti yang dijanjikan Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi mengenai peruntukan Ahli Parlimen pembangkang.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

1 Comment
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
1
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x