Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

ANWAR DIGESA CARI KAEDAH TOLONG GOLONGAN MISKIN DAN TERDESAK

Saya baru menonton video oleh Zaid Ibrahim mengenai perlunya kerajaan mewujudkan satu kaedah khusus untuk membantu golongan miskin dan terdesak negara ini.

Katanya, di New Zealand dan Australia, bahkan China juga, kaedah itu amat berkesan untuk membantu golongan sasar berkenaan di mana mereka akan diberi bantuan kewangan dengan jumlah tertentu.

Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri menambah, disebabkan kerajaan menolak pengeluaran KWSP dan untuk rakyat meminjam daripada bank dengan menggunakan simpanan itu sebagai cagaran juga tidak mudah, maka kerajaan sewajarnya menyediakan satu kaedah untuk membantu golongan miskin dan terdesak itu.

Video berkenaan boleh ditonton di sini – https://www.facebook.com/zaiduntukrakyat/videos/236350148904381/?mibextid=6aamW6

Kata Zaid lagi, mewujudkan kaedah untuk membantu rakyat miskin yang tiada pendapatan tapi sebahagiannya mempunyai keluarga adalah amat perlu pada ketika Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kerana sesuai dengan PKR sebagai parti untuk rakyat marhaen dan juga parti derita.

“Anwar harus memperlihatkan dirinya sebagai pembela golongan miskin dan benar-benar memahami derita rakyat,” tambah beliau.

Beliau juga membangkitkan isu kos penjagaan jet peribadi Perdana Menteri yang menelan ratusan juta, tetapi pembelaan kepada golongan miskin yang tiada makanan masih tidak mampu dilaksanakan dengan sewajarnya.

Sementara tidak melupakan aspek melonjakkan ekonomi dan memberi perhatian kepada projek dan syarikat besar, apa yang dibangkitkan Zaid ini sebenarnya amat wajar diberi perhatian oleh Perdana Menteri dan kerajaan.

Sudah sampai masanya kerajaan menunjukkan keprihatinan yang khusus kepada golongan miskin dan terdesak itu yang sebenarnya masih merupakan kelompok yang ramai di negara ini.

Gembira kelompok ini dan tidak terlalu sukar untuk mereka mendapatkan makanan, maka itulah sebenarnya kemakmuran.

Anwar, sebagai pejuang golongan miskin sejak demonstrasi Baling lagi harus menggunakan kesempatan atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri sekarang ini untuk menunjukkan beliau benar-benar berbeza dengan semua pendahulunya sebelum ini.

Dalam hal ini, Anwar juga boleh bekerjasama dengan pusat zakat bagi tujuan membantu golongan miskin dan terdesak itu di mana selama ini kutipannya di setiap negeri berjumlah puluhan dan ratusan juta setiap tahun.

Adalah lebih baik wang zakat itu dimanfaatkan sepenuhnya daripada tersimpan di dalam bank atau dilaburkan untuk semata-mata mendapatkan keuntungan.

Sebagaimana harapan Zaid agar Anwar dapat membuat keputusan secepat mungkin mengenai perkara tersebut, golongan miskin di negara itu tentunya begitu juga harapan mereka. – ShahbudinHusin 16/04/2023.

5 2 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

3 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
3
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x