Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

SELEPAS ANWAR DIGELAR DIKTATOR, BERMAKNA MALAYSIA SUDAH BERJAYA LAHIRKAN TIGA DIKTATOR

Untuk pertama kalinya, Anwar Ibrahim sekarang ini digelar sebagai seorang diktator.

Gelaran itu pertama kalinya diberikan oleh Tun Mahathir Mohamad yang sejak sekian lama lebih dulu digelar sebagai diktator.

Tun Mahathir semalam menggelar Anwar sebagai diktator berikutan program Proklamasi Melayu yang sepatutnya menampilkannya tidak menjadi kenyataan berikutan beberapa tempat yang telah ditempah untuk acara itu dibatalkan di saat-saat akhir.

Program itu kemudian hanya berlangsung dengan sebuah sidang media yang diadakan oleh Tun Mahathir saja.

“Ini adalah kerajaan diktator kerana tidak benarkan orang ramai meluahkan rasa tidak puas hati atau mengkritik kerajaan.

“Tetapi ketika mereka menjadi pembangkang, mereka setiap minggu mengadakan demonstrasi,” katanya dalam sidang media itu.

Jika diimbas sejarah, walaupun kali pertama gelaran diktator diberikan kepada Anwar, tapi ini bukanlah kali pertama Tun Mahathir menggelar Perdana Menteri selepasnya sebagai diktator.

Pada Januari 2021, beliau juga menggelar Mahiaddin Md Yasin yang menggantikannya sebagai Perdana Menteri selepas Langkah Sheratan sebagai seorang diktator.

Ia sebagai kritikannya terhadap penguatkuasaan darurat yang dilaksanakan oleh Mahiaddin bagi membolehkannya terus berkuasa sebagai Perdana Menteri.

“Ia sejenis pemerintahan diktator di mana rakyat tidak boleh bantah dan kita tidak mengikut demokrasi dengan menggunakan darurat untuk beri beliau kuasa penuh,” katanya dalam temu bual bersama sebuah stesen radio.

Bermakna, gelaran diktator kepada Anwar itu bukanlah sesuatu yang asing kerana Mahiaddin juga pernah diberi gelaran yang sama sebelum ini.

Berbeza dengan Tun Mahathir, beliau sebaliknya adalah Perdana Menteri pertama negara ini yang digelar sebagai diktator.

Sebelumnya, tidak pernah ada mana-mana Perdana Menteri diberi gelaran sebegitu.

Tun Mahathir mula dihinggapi gelaran diktator ketika berlakunya Ops Lalang pada 1987 dan kemudian selepas Anwar dipecat daripada UMNO dan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998 sehingga bangkitnya gerakan reformasi, gelaran itu lebih bertalu-talu menghinggapi beliau.

Anwar sendiri dan sebahagian besar pejuang reformasi ketika itu sentiasa saja memanggil Tun Mahathir sebagai diktator berikutan tindak balas keras yang diamalkannya terhadap penentang-penentangnya.

Dalam banyak kempen pilihan raya dan ceramah politik, panggilan dan mengaitkan Tun Mahathir dengan gelaran diktator boleh dikata sudah terlalu biasa kedengaran.

Ia sehingga Tun Mahathir sendiri tidak berasa tersinggung langsung dengan gelaran tersebut.

Malah, oleh kerana beliau kemudian meletakkan jawatan secara sukarela, bukan dipaksa atau dihalau daripada pejabatnya, bekas Perdana Menteri itu dengan bangga berkata – saya adalah satu-satunya diktator di dunia yang meletakkan jawatan secara baik.

Dengan putaran masa, seiring dengan beliau merupakan Perdana Menteri paling kerap digelar sebagai diktator, kini beliau pula menggelar Perdana Menteri semasa sebagai diktator.

Lebih daripada itu, sudah dua Perdana Menteri selepasnya digelarnya dengan gelaran yang lebih dulu diterimanya itu.

Sementara Mahiaddin langsung tidak memberi sebarang respon terhadap gelaran yang diberi kepadanya itu, apakah pula tindak balas Anwar dalam hal ini?

Apakah beliau akan berdiam diri juga atau akan bangkit bertindak balas terhadap pemberi gelaran itu?

Relakah Anwar sebagai pejuang reformasi dilabel sebagai diktator?

Apa pun, sementara menunggu sama ada Anwar mahu bertindak balas atau tidak, sedar tak sedar, Malaysia sudah ada tiga diktator yang masih lagi hidup dan bernyawa sekarang ini.

Dalam banyak-banyak pencapaian slogan “Malaysia Boleh”, agaknya ini boleh dianggap kemampuan yang paling terhebat bagi sebuah negara kecil seperti negara kita ini. – ShahbudinHusin 20/03/2023.

5 1 vote
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

25 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
25
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x