Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

KECUALI JIKA ZAHID HAMIDI DAPAT TUNJUK ADA SURAT LAIN, KENYATAAN MEDIA SAIFUDDIN HANYA MENGESAHKAN BELIAU BERBOHONG

Walaupun setelah dua hari berlalu dan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi masih gagal menunjukkan surat yang didakwa diterimanya daripada Kementerian Dalam Negeri yang kononnya menyebut RoS telah meluluskan usul tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO setelah dicabar oleh Ismail Sabri Yaakob, isu berkenaan terjawab akhirnya dengan kenyataan media Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, pagi ini.

Dalam kenyataan media itu, Saifuddin menyebut, KDN memberi pengecualian daripada segi pematuhan kepada UMNO berhubung usul tiada pertandingan bagi dua jawatan teratas parti berkenaan dalam pemilihan akan datang.

“Kementerian telah meneliti mengenai ketetapan yang telah dibuat oleh Perhimpunan Agung UMNO 2022 daripada Setiausaha Agung UMNO pada 3 Mac 2023.

“Merujuk kepada perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Persidangan UMNO, Kementerian berdasarkan seksyen 70, Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) telah memutuskan untuk memberikan pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta 832 kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan yang telah diluluskan dalam PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang tidak dipertandingkan pada pemilihan parti UMNO akan datang,” kata Saifuddin lagi.

Dalam erti kata lain, dengan memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta 832 itu bererti usul tambahan yang diluluskan UMNO baru-baru ini telah berlaku perlanggaran daripada segi undang-undang serta dianggap tidak sah.

Dengan pengecualian daripada pematuhan melalui kuasa Menteri Dalam Negeri, maka bukan saja usul tambahan itu terlulus akhirnya, malah UMNO turut diselamatkan daripada diharamkan atau dibatalkan pendaftarannya.

Seksyen 13 akta berkenaan adalah berkaitan pembatalan dan penggantungan sesebuah pertubuhan.

Jika tiada perlanggaran, untuk apa Saifuddin memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta 832 itu dan menggunakan Seksyen 70 akta itu iaitu kuasa budi bicara menteri menggunakan bagi mengecualikan mana-mana pertubuhan daripada pematuhannya?

Apakah kriteria budi bicara diberikan dan adakah kerana faktor UMNO sebahagian daripada kerajaan?

Tidak berselang banyak waktu dengan kenyataan media dikeluarkan Saifuddin itu, tular di media sosial sesalinan surat daripada RoS kepada Setiausaha Agung UMNO yang menyebut – “Usul tambahan UMNO yang diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2022 tersebut adalah tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan di bawah Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.

“Justeru itu, dengan kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Pendaftar Pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) maka, keputusan usul tambahan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2022 jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada penggal pemilihan parti yang akan datang adalah TIDAK SAH.

“Sehubungan itu, Parti UMNO hendaklah mengambil tindakan pembetulan (corrective measure) dengan tidak mengenepikan Perlembagaan UMNO di bawah Fasal 9.3 dalam perlaksanaan Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO.”

Surat RoS atau Pendaftar Pertubuhan kepada Setiausaha Agung UMNO itu bertarikh 2 Mac 2023.

Berdasarkan kenyataan media Saifuddin yang merujuk kepada surat Setiausaha Agung UMNO kepadanya bertarikh 3 Mac 2023, adalah jelas bahawa Ahmad Masln menulis surat kepada Saifuddin setelah menerima surat RoS bertarikh 2 Mac yang memutuskan usul tambahan itu sebagai tidak sah.

Dalam hal ini, di mana sebenarnya surat yang didakwa diterima Zahid Hamidi daripada KDN yang mengesahkan usul tambahan itu telah diluluskan oleh RoS?

Bolehkah beliau membuktikannya sekarang?

Jika surat RoS kepada Ahmad Maslan yang menyebut usul tambahan itu sebagai tidak sah adalah asli dan tiada surat lain selain daripadanya serta itulah surat yang dimaksudkan telah diterima oleh Zahid Hamidi, ini bermakna kenyataan beliau sebelum ini yang menyebut UMNO telah menerima surat pengesahan usul berkenaan telah diluluskan adalah suatu pembohongan.

Lebih daripada itu, jika melalui kenyataan media Menteri Dalam Negeri hari ini, 7 Mac 2023 yang memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta 832, sekaligus menjadikan usul tambahan itu terlulus, ia hanya berkuatkuasa bermula 7 Mac 2023.

Jadinya, kenyataan terbuka Zahid Hamidi pada 4 Mac 2023 secara terbuka dan kepada seluruh ahli UMNO, juga merupakan suatu pembohongan.

Bagaimana Zahid Hamidi boleh menyebut pada 4 Mac 2023 bahawa kelulusan telah diperolehi dan ada surat telah diterima, walhal Saifuddin hanya mengeluarkan kenyataan media yang memberi maksud kelulusan usul berkenaan telah diberikan, ia adalah bertarikh pada 7 Mac 2023?

Terlalu cekap nampaknya kerajaan ini berfungsi?

Lebih berbohong lagi, surat RoS yang diterima UMNO sebelum ini bukanlah surat kelulusan, sebaliknya pemberitahuan usul tambahan itu sebagai tidak sah.

Berbohong lagi dan bagaimana seorang Presiden UMNO boleh mentafsirkan surat pemberitahuan usul tambahan itu tidak sah sebagai suatu kelulusan daripada RoS?

Berapa banyak bohong daaa…

Sebagai pemimpin dan kehidupan seharian, tidak kira apa agama sekali pun, perbuatan paling keji dan terkutuk adalah berbohong serta tidak bercakap benar.

Melainkan jika Zahid Hamidi dapat menunjukkan ada surat lain daripada KDN yang didakwa diterimanya bertarikh sebelum 4 Mac 2023 yang memberi maksud memang benar RoS telah meluluskan usul tambahan UMNO, beliau ketika adalah dalam kategori berbohong dan tidak bercakap benar serta disahkan lagi melalui kenyataan media Saifuddin hari ini.

Madanikah jika banyak berbohong? – ShahbudinHusin 07/03/2023.

3.4 5 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

21 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
21
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x