Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

BERBANDING AB RAUF, KENAPA TIDAK DITONJOLKAN KETUA PEMUDA UMNO, DR AKMAL SEBAGAI KETUA MENTERI MELAKA?

Isnin lalu, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata, struktur kerajaan negeri Melaka akan berubah dalam waktu terdekat ini menjadi sebuah kerajaan perpaduan.

Menurut beliau, perubahan itu untuk menyesuaikan dengan kerajaan perpaduan yang telah wujud di peringkat pusat.

Semalam pula, di sebalik riuh rendah dengan spekulasi berlakunya pertukaran jawatan Ketua Menteri, tiba-tiba Sulaiman Md Ali pula disahkan telah meletakkan jawatan.

Dengan perletakan jawatan beliau itu, hampir pasti Pengerusi UMNO Melaka, Ab Rauf Yusoh akan mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Dilaporkan beliau akan mengangkat sumpah Jumaat ini.

Makna kata, merubah struktur kerajaan negeri menjadi kerajaan perpaduan bukan saja dengan membawa masuk wakil PH dalam barisan Exco, malah menukar sekali penyandang Ketua Menteri.

Dengan terlantiknya Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka yang baru, hasrat beliau yang diperkatakan ramai inginkan jawatan tersebut sejak PRN Melaka pada November 2021 lalu lagi tercapai jua akhirnya.

Sebaik kemenangan dua pertiga BN pada PRN Melaka, nama Ab Rauf sudah disebut-sebut sebagai bakal Ketua Menteri Melaka, meskipun Sulaiman diletakkan sebagai “poster boy” dalam pilihan raya itu.

Pada malam kemenangan diumumkan, majlis angkat sumpah Sulaiman telah diadakan secara tergesa-gesa pada jam 3.00 pagi di mana ia dikatakan untuk mengelakkan Ab Rauf terus melobi jawatan tersebut.

Ab Rauf malah tidak hadir pada majlis angkat sumpah itu.

Dalam susunan Exco kemudiannya, Ab Rauf diberi peranan memegang portfolio paling kanan dengan tanggungjawab berkaitan Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri.

Namun demikian, sejak itu spekulasi pertukaran jawatan Ketua Menteri tetap tidak sunyi dan beberapa kali timbul dengan nama Ab Rauf sentiasa disebut-sebut sebagai penggganti kepada Sulaiman.

Antara sebab spekulasi itu terus bertiup atau barangkali ditiupkan ialah kerana Ab Rauf terus dikekalkan sebagai Pengerusi UMNO Melaka, meskipun jawatan Ketua Menteri disandang oleh Sulaiman.

Di negeri-negeri lain, biasanya Ketua Menteri atau Menteri Besar akan juga diberi peranan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkenaan.

Gugurnya Sulaiman daripada jawatannya, sedangkan beliau adalah “poster boy” PRN negeri dengan pencapaian kemenangan dua pertiga adalah menyusuli nasib yang menimpa bekas Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad sebelum ini.

Jika Hasni tidak dilantik semula lebih mudah diketahui dan difahami sebabnya, Sulaiman pula semacam diarah untuk meletakkan jawatan semata-mata untuk memberi laluan kepada Ab Rauf mengambil alihnya.

Kenapa perlu Sulaiman ditukar sekarang?

Mengapa tidak daripada dulu lagi iaitu sebaik BN menang pada PRN Melaka, Ab Rauf terus dilantik sebagai Ketua Menteri?

Apakah Sulaiman digantikan dengan Ab Rauf kerana beliau enggan membentuk kerajaan perpaduan?

Kecuali jika benar pertukaran Sulaiman kerana beliau enggan membentuk kerajaan perpaduan dan sudah tentu boleh diterima sebagai tindakan yang munasabah, tetapi menjadikan Ab Rauf sebagai pengganti belum tentu merupakan pertukaran yang benar-benar bermanfaat.

Ini kerana berbanding Ab Rauf yang diselubungi pelbagai isu, Sulaiman sebaliknya adalah pemimpin yang tidak kontroversi yang selama ini telah berjaya meletakkan Melaka kelihatan aman tenteram sejak di bawah pentadbirannya.

Kenapa bukan pemimpin lain yang ditonjolkan sebagai Ketua Menteri yang baru, misalnya Dr. Akmal Saleh, Exco Kerajaan Negeri Melaka yang baru-baru ini menang cemerlang sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia? – ShahbudinHusin 30/03/2023.

5 2 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

35 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
35
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x