Walau apa jua hujah dan sandaran yang cuba dikemukakan, usul tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang diluluskan PAU2022 semalam adalah bukti nyata Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan takut dengan pertandingan.
Bukan saja usul berkenaan dibawa secara mengejut sebagai usul tambahan ketika perbahasan dan tanpa notis, ia juga dibentangkan oleh perwakilan daripada UMNO Bahagian Rembau yang diketuai oleh Mohamad Hasan atau Tok Mat.
Kenapa mesti usul berkenaan dibawa oleh UMNO Bahagian Rembau sendiri?
Dengan itu, sembang Zahid Hamidi sebelumnya ketika bertembung dengan Khairy Jamaluddin konon beliau “sedia berlawan” adalah propa dan temberang semata-mata.
Kedua-duanya sedar jika ada pertandingan, pasti mereka akan kalah berikutan prestasi buruk UMNO dan BN pada PRU15 yang lalu.
Alasan bahawa pertandingan perlu dielak untuk mengelak perpecahan dan bagi menghadapi PRN di enam negeri yang bakal berlangsung adalah tidak munasabah sama sekali.
Sekarang PRU sudah selesai, nak takut berpecah jadah apa lagi?
Berkenaan PRN pula, melihat enam negeri terbabit, hujah mengelak perpecahan juga tidak masuk akal kerana semua negeri berkenaan adalah negeri yang dikuasai PH dan Pas selama ini.
Selain sukar untuk UMNO menawan kembali Kelantan, Terengganu dan Kedah, bagi negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pula, ia adalah negeri tadbiran PH yang mungkin UMNO hanya sekadar pasukan pembantu saja dalam memastikan kemenangan PH.
Jadi, di mana pentingnya sangat perpecahan nak dielakkan, melainkan Zahid Hamidi dan Tok Mat takut kepada kekalahan dan kehilangan jawatan?
Untuk mengelak dikalahkan dan seterusnya kehilangan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan menteri, maka itu logik sebenar usul tambahan tiada pertandingan itu secara tiba-tiba dibentangkan.
Berikutan usul itu diluluskan, ertinya Zahid Hamidi dan Tok Mat telah diselamatkan kedudukan mereka oleh hanya 3,000 perwakilan di Dewan Merdeka yang mana semua kita tahu, perwakilan-perwakilan berkenaan adalah orang pilihan Ketua Bahagian UMNO masing-masing.
Mereka bukanlah mewakili akar umbi UMNO, tetapi hanya proksi kepada 191 Ketua-Ketua Bahagian.
Jadi, memang mudahlah untuk menang usul tiada pertandingan berkenaan.
Sebaliknya, jika berlaku pertandingan, mereka yang berhak mengundi adalah sekitar 160,000 orang yang mewakili lebih 20,000 cawangan UMNO di seluruh negara.
Jumlah 160,000 inilah yang betul-betul mewakili akar umbi daripada lebih 3 juta ahli UMNO.
Kenapa Zahid Hamidi dan Tok Mat tidak berani menyerahkan nasib mereka untuk ditentukan oleh 160,000 perwakilan akar umbi itu?
Kalau betul-betul anak jantan, ada pula jawatan dalam kerajaan, patutnya beranilah berhadapan dengan 160,000 perwakilan itu.
Hakikatnya, tiada perkataan lain sebagai jawapannya melainkan mereka takut kalah, takut hilang jawatan dan takut hilang kedudukan dalam kerajaan.
Lebih memalukan lagi, mereka juga berselindung di sebalik semua ketakutan itu dalam keadaan UMNO kalah teruk dan hilang lebih separuh kerusi Parlimen berbanding kemenangan pada PRU tahun 2018 dahulu.
Tak malu ke, sudahlah kurang kerusi Parlimen yang dimenangi daripada 54 kepada 26 saja, sekarang dengan tebal mula pula mahu bertahan dengan jawatan melalui silap mata usul yang dibentangkan itu?
Najib Razak dulu pun letak jawatan apabila BN kalah PRU14, tetapi tidakkah kemerosotan kemenangan daripada 54 kepada hanya 26 kerusi pada PRU15 baru-baru merupakan suatu malapetaka yang lebih buruk lagi buat UMNO?
Percayaalah, UMNO akan ditimpa kekalahan lebih buruk lagi pada PRU16 akan datang nanti lantaran wajah pemimpin yang sama yang langsung tiada tarikan dan menyebabkan prestasi lebih buruk terus dipertaruhkan sekali lagi kepada pengundi.
Tak usahkan pengundi muda, pengundi tua pun awal-awal lagi akan menolak BN jika wajah pemimpin utamanya ialah Zahid Hamidi dan Tok Mat. – ShahbudinHusin 15/01/2023.