Saya faham, ramai yang terfikir “macam mana restoran nak turunkan harga? Logik ke?”
Sebenarnya semalam pada 26 Januari 2023, KPDN telah mengadakan sesi libat urus bersama persatuan-persatuan restoran dan kedai makanan (bermasak) untuk membincangkan soal punca dan faktor yang menyebabkan kenaikan harga makanan bermasak yang dijual di restoran dan kedai makanan.
Kami mencari penyelesaian menang-menang yang boleh membantu mengurangkan kos operasi dan seterusnya tawaran harga munasabah kepada pengguna.
Antara wakil-wakil persatuan restoran yang turut hadir adalah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia, Malaysia Singapore Coffee Shop Proprietors General Association (MCSPGA), Bumiputra Retailers Organization (BRO), Malaysia Retail Chain Association (MRCA), dan Malaysia Retailers Association (MRA).
Pihak industri telah memaklumkan bahawa di samping harga bahan mentah yang meningkat, faktor-faktor lain yang mempengaruhi harga makanan bermasak adalah keberadaan pekerja (termasuk pekerja asing), kadar upah (gaji), sewa bangunan dan syarat-syarat penempatan pekerja yang ditetapkan pihak berkuasa.
KPDN akan meneliti semua isu yang telah dibangkitkan oleh pihak pengusaha restoran/kedai makan untuk ditangani secara bersama dengan kementerian dan agensi yang terlibat.
Semasa sesi libat urus tersebut, saya mencadangkan agar kita wujudkan satu menu mampu milik yang boleh dinikmati oleh semua tanpa rasa terbeban. Menu ini boleh kita namakan sebagai Menu RAHMAH.
Dalam Menu RAHMAH ini sewajarnya ada nasi + protein terpilih (seperti ayam atau ikan) + sayuran terpilih , dan dijual pada harga RM5/set.
Mungkin ada antara kita yang rasa hidangan seperti ini tiada yang istimewa, tetapi percayalah, buat mereka yang kurang kemampuan, menu lengkap seperti ini amatlah bermakna untuk mereka.
Untuk KPDN, dalam kita menjaga kebajikan pengguna, kita juga menjaga kelangsungan mata pencarian peniaga.
Jadi marilah kita sama-sama usahakan Menu RAHMAH ini agar semua orang boleh mendapat manfaatnya.
Butiran lanjut berkenaan Menu RAHMAH, saya akan umumkan kemudian.
SALAHUDDIN AYUB
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup