Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

WALAU SALING BERSAING MEREBUT KUASA, UMNO DAN PKR MILIKI AGENDA SUCI YANG SAMA

Walaupun UMNO dan PKR melalui laluan nasib yang berbeza pada PRU14 tahun 2018 lalu, kedua-dua parti kini mempunyai satu persamaan yang penting demi masa depan negara ini.

Buat pertama kalinya, UMNO melalui BN telah kalah dan hilang kuasa melalui PRU14, manakala PKR melalui PH pula, juga buat pertama kali, beroleh kuasa dalam pilihan raya yang sama.

Berikutan hilang kuasa itu, sejumlah Ahli Parlimen UMNO telah melompat menjadi “katak” untuk menyertai Bersatu.

Selain ada yang melompat secara individu, yang lain pula melompat secara bergerombolan dengan dketuai Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainuddin.

Tindakan mereka melompat itu adalah kerana dipengaruhi oleh Tun Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu bagi menguatkan Bersatu dan seterusnya untuk memenuhi agenda beliau memungkiri janji penyerahan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Daripada kemasukan gerombolan Hamzah itulah berlakunya pelbagai ketidaktentuan dalam kerajaan, seterusnya Langkah Sheraton dan kemudiannya bermacam perkara lain yang tidak berkesudahan sehingga ke hari ini.

Pokoknya, PRU14 telah menyaksikan UMNO dikhianati oleh pemimpin dan sejumlah Ahli Parlimennya sendiri untuk mereka berada di beranda kuasa setelah BN hilang kuasa, selain bagi menjayakan agenda tamak Tun Mahathir.

Dalam PRU15 akan datang ini, di samping matlamat utama UMNO ialah untuk kembali berkuasa, parti itu juga mahu “membunuh dan menanam” karier politik semua pengkhianat tersebut.

Tidak jauh berbeza dengan UMNO, PKR juga dikhianati oleh sejumlah pemimpinnya selepas PRU14 itu, walaupun PH berjaya merangkul kuasa dan menjadi kerajaan buat pertama kali.

Pengkhianatan yang diketuai oleh Azmin Ali, sama seperti pengkhianatan pemimpin UMNO yang diketuai Hamzah, tujuan utamanya adalah untuk menjayakan agenda mungkir janji Tun Mahathir terhadap Anwar.

Di samping menjayakan agenda tersebut, sebab lain mereka berbuat demikian tentunya ialah kerana tamak kuasa dan mengharapkan laba yang lebih besar jika Anwar berjaya diketepikan.

Tetapi, oleh sebab agenda Tun Mahathir itu tidak menjadi kenyataan, malah beliau sendiri terpelanting daripada jawatannya kerana akhirnya dikhianati oleh kumpulan Hamzah serta Azmin yang memihak kepada Mahiaddin Md Yasin untuk merampas kerusi Perdana Menteri itu, nasib pengkhianat itu kekal tidak menentu sehingga ke hari ini.

Di waktu yang sama, meskipun kumpulan Hamzah dan Azmin terus beroleh kedudukan dalam kerajaan di era Mahiaddin dan Ismail Sabri Yaakob, pengkhianatan mereka tidak pernah diterima dengan baik.

Bukan saja rakyat menolak dan membenci, parti yang mereka khianati juga kekal wujud sehingga sekarang beserta azam yang tidak pernah padam untuk menamatkan karier politik semua yang bercop pengkhianat itu.

PRU15 ini akan menjadi medan untuk UMNO merampas semula semua kerusi yang dibawa lari oleh pengkhianat dan “katak” tersebut.

Begitu juga dengan PKR, PRU15 ini turut menjadi gelanggang untuk mengajar serta mengalahkan “katak”dan pengkhianat yang durjana itu.

Beberapa nama besar PKR sedang disusun untuk berlawan dengan semua pengkhianat tersebut agar mereka itu tidak mampu bernafas lagi dalam politik selepas PRU15 nanti.

Dalam hal ini, di sebalik UMNO dan PKR saling bersaing untuk merebut kuasa dan menjadi kerajaan dengan PKR mempertaruhkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri, manakala UMNO meletakkan Ismail Sabri sebagai “poster boynya”, kedua-dua parti sebenarnya memliki agenda suci untuk menamatkan riwayat pengkhianat yang telah membuatkan politik negara jadi kacau bilau sejak 2018 yang lalu.

Siapa yang pengundi mahu pilih sebagai kerajaan selepas PRU15 ini terserah kepada kebijaksanaan dan penilaian mata hati masing-masing, namun dalam konteks menolak semua pengkhianat tersebut, rakyat mesti bersatu hati dan tidak membenarkan biar seorang pun daripada mereka itu terus kekal sebagai Ahli Parlimen lagi.

Kalau pengkhianat tidak “dimatikan” melalui PRU15, politik negara ini akan terus kotor dan dikotorkan oleh mereka. – ShahbudinHusin 26/10/2022.

5 4 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

33 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
33
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x