Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

INGATAN KEPADA SEMUA KELOMPOK DALAM PH – TUN MAHATHIR ADALAH BAPA SEGALA PENGKHIANAT, MESTI DIJAUHI DAN JANGAN SESEKALI DIDEKATI

Meskipun semalam Setiusaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail telah menjelaskan bahawa PH akan mendepani PRU15 akan datang ini tanpa penyertaan Tun Mahathir Mohamad, GTA dan Pejuang, rupa-rupanya masih ada kelompok yang teruja dengan bekas Perdana Menteri itu.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad nampaknya tidak faham bahawa respon Anwar Ibrahim tentang kesediaan PH bertemu GTA itu hanyalah sekadar respon biasa kepada pelawaan Tun Mahathir dan tidak lebih daripada itu.

Sedemikian, kenyataannya yang mengalu-alukan kesediaan Anwar bertemu Tun Mahathir, kononnya inilah langkah terbaik dalam usaha menyekat UMNO dan BN, adalah seumpama lebih sudu daripada kuah.

Jika beliau membaca dan faham kenyataan Saifuddin semalam, sebagai bekas menteri dan pemimpin kanan PH, beliau seharusnya malu dengan kenyataannya itu.

Sebelum ini juga, apabila ditanya wartawan, Anwar turut memberi respon yang sama dan ia lebih memperlihatkan sifat berbudi bahasanya semata-mata.

Dalam kedua-dua respon Anwar itu, ia kemudian segera disusuli dengan jawapan tegas bahawa PH dan PKR tidak mahu, enggan dan menolak sama sekali untuk bekerjasama dengan Tun Mahathir.

Kali pertama, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil yang berbuat demikian, manakala yang terbaru semalam, giliran Saifuddin pula membuat penegasannya.

Dalam kedua-dua kenyataan itu adalah jelas bahawa Tun Mahathir sudah tiada dalam pertimbangan jiwa Anwar bekerjasama dalam PRU15 ini.

Berikutan Tun Mahathir dirasakan akan terus mengeluarkan kenyataan ingin bekerjasama dengan Anwar kerana tahu masa depan gelap bakal menantinya dan ada pula pihak tertentu dalam PH yang masih teruja dengan beliau, maka adalah penting agar PH memuktamadkan pendirian tidak melayan lagi Ahli Parlimen Langkawi itu.

Hendaklah disedari, salah satu matlamat utama PH dalam PRU15 ini, selain mendapat semula mandat rakyat, ialah juga untuk menyingkirkan pengkhianat yang menyebabkan berlakunya Langkah Sheraton dan jatuhnya PH sebagai kerajaan pada 2020 lalu.

Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan kumpulannya yang keluar PKR serta Mahiaddin Md Yasin dan kumpulannya daripada Bersatu adalah mereka yang dikategorikan sebagai pengkhianat oleh PH.

Mereka itu diikrarkan untuk dilawan dan dikalahkan dalam PRU15 pada 19 November ini atas kecurangan politik yang mereka lakukan setelah beroleh kuasa melalui PH dan atas tiket PKR pada PRU tahun 2018.

Malah, keputusan Anwar bertanding di Tambun melawan Ahmad Faizal Azumu atau Peja daripada Bersatu adalah sebahagian daripada agenda untuk menyingkirkan pengkhianat yang sama.

Tetapi, sedarkah kita siapa sebenarnya pengkhianat yang sebenar, malah lebih besar lagi sifat khianatnya dan boleh dianggap sebagai bapa pengkhianat kepada PH?

Tidak lain orang itu ialah Tun Mahathir sendiri – diulang – orang itu ialah Tun Mahathir sendiri.

PH tidak akan berkocak dan tidak mungkin bermasalah jika beliau sejak awal lagi tidak berdolak-dalik berkenaan janji penyerahan kuasa kepada Anwar.

PH tidak akan berkocak dan tidak mungkin bermasalah jika Tun Mahathir tidak membawa Azmin yang sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi serta melantik senarai yang diberi PKR untuk lantikan menteri dalam kabinetnya.

PH juga tidak akan berkocak dan tidak mungkin bermasalah jika Tun Mahathir tidak menarik gerombolan Ahli Parlimen daripada UMNO untuk menyertai Bersatu yang mereka itulah kemudiannya mencetuskan pelbagai ketidaktentuan dalam kerajaan, termasuk menganjurkan Himpunan Maruah Melayu.

Semua perkara diatas tidak akan berlaku tanpa restu Tun Mahathir, bahkan pada petang berlakunya Langkah Sheraton, semua ketua-ketua parti yang menyokongnya agar tidak menunaikan janji peralihan kuasa kepada Anwar telah mengadakan pertemuan di kediamannya di The Mines.

Selepas itu, susulan Bersatu keluar PH dan tanpa berunding serta menolak sebarang rayuan, Tun Mahathir telah menghantar surat perletakan jawatan yang tujuannya ialah supaya beliau dapat dilantik semula sebagai Perdana Menteri dengan sokongan mereka yang datang ke kediamannya itu, sekaligus mengenepikan PH dan janji serah kuasa kepada Anwar.

Jadi, tidak syak lagi Tun Mahathir adalah bapa segala pengkhianat dan kekecamukan politik yang berlaku setelah PH beroleh kuasa adalah hasil perancangan serta restunya, walhal majoriti yang diperolehi PH sebagai kerajaan adalah cukup stabil untuk bertahan sehingga habis penggal.

Dengan itu, kalau semua pengkhianat seperti Azmin, Mahiaddin, Zuraida dan Hamzah ingin dilawan serta dijauhi, kenapa Tun Mahathir yang merupakan bapa segala pengkhianat ingin didekati dan mahu dibuat kawan?

Kalau mahu bekerjasama dengan Tun Mahathir, lebih baik mereka yang tak habis-habis masih teruja dengan bapa pengkhianat itu agar turut mencadangkan PH bekerjasama dengan semua pengkhianat kecil lain yang mana mereka itu sekadar suruhan saja sebenarnya.

Jika tidak, berhentilah mahu tunjuk baik dengan bapa pengkhianat yang keinginannya berkhianat lagi sentiasa membara selagi yang ada di depannya ialah manusia bernama Anwar. – Shahbudin Husin 22/10/2022.

4.6 11 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

100 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
100
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x