Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

BATALKAN SURAT NIAT KONTRAK MERIAM, KEMBALI KEPADA PROSES TENDER TERHAD – GESA RAFIZI KEPADA HISHAMMUDDIN

Saya berterima kasih kepada Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishamuddin Hussin yang memberi maklum balas positif mengenai pendedahan kontrak pembekalan meriam artileri SPH berjumlah RM834 juta.

Saya telah mendedahkan bagaimana keputusan Kerajaan Persekutuan melantik MA Analytics Sdn Bhd, sebuah syarikat setahun jagung untuk dianugerahkan kontrak ini secara rundingan terus adalah bertentangan dengan kehendak pertahanan negara.

Kementerian Pertahanan secara jelas memohon supaya kontrak ini dibuat secara tender terhad supaya spesifikasi pertahanan dapat dipenuhi pada harga yang terbaik untuk negara.

Kenyataan Hishamuddin itu mengesahkan bahawa keputusan Kerajaan Persekutuan memberi tender secara rundingan terus itu adalah benar.

Jawapan beliau semalam hanyalah menyebut bahawa kontrak itu tidak muktamad kerana masih dirundingkan.

Masalahnya, jika keputusan Kerajaan Persekutuan melalui Surat Niat tidak dibatalkan segera, kontrak itu masih lagi akan diberikan kepada MA Analytics Sdn Bhd. Yang mungkin berubah hanyalah harga akhir yang dibayar oleh rakyat.

Oleh itu, saya menyambut baik kenyataan Hishamuddin dengan menggesa supaya keputusan melantik MA Analytics Sdn Bhd secara rundingan terus dibatalkan dengan segera.

Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan hendaklah kembali kepada proses tender terhad seperti yang disarankan oleh Kementerian Pertahanan mengikut spesifikasi persenjataan yang telah ditetapkan oleh Angkatan Tentera Darat.

Apatah lagi dalam keadaan MA Analytics Sdn Bhd nampaknya didalangi oleh pihak-pihak berkepentingan yang ada kaitan dengan Timbalan Menteri Pertahanan sendiri, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz. Ahli Parlimen Tanah Merah ini menang atas tiket UMNO tetapi melompat menyertai BERSATU selepas PRU14.

Semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan siasatan ke atas individu-individu terbabit dalam MA Analytics Sdn Bhd menunjukkan pemilikan bersama syarikat-syarikat dengan anak Ikmal Hisham iaitu Ikmal Hadzlan bin Ikmal Hisham dan isteri Ikmal Hisham iaitu Datin Seri Norihan Ayob.

Saya akan menunjukkan bukti-bukti pemilikan bersama yang mengesahkan bahawa MA Analytics Sdn Bhd adalah syarikat kroni berkait dengan Timbalan Menteri Pertahanan esok.

Saya pasti Hishamuddin sedia maklum mengenai perkara ini.

Jika dia benar-benar prihatin mengenai kepentingan pertahanan negara, wajarlah dia mengambil tindakan sebagai Menteri Pertahanan membatalkan Surat Niat kepada MA Analytics Sdn Bhd dengan segera.

Saya juga menunggu maklum balas dari Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz mengenai pendedahan ini.

RAFIZI RAMLI

Timbalan Presiden Keadilan.

5 5 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

72 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
72
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x