Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

DARIPADA NAK JADI PM KALI KETIGA, LEBIH BAIK TUN M TONJOLKAN ANAKNYA MUKHRIZ JADI PM

Minggu lalu, Tun Mahathir Mohamad secara terbuka menyatakan kesediaannya untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi selepas PRU15 akan datang.

Katanya, kali ini beliau hanya mahu memegang jawatan itu selama setahun saja.

Dengan hasrat yang dinyatakannya itu bermakna Tun Mahathir tidak berselindung lagi ingin kembali jadi Perdana Menteri buat kali ketiga dalam hidupnya.

Malangnya, setelah hampir seminggu masa berlalu, hasratnya itu langsung tidak mendapat sambutan yang diharap-harapkan.

Tiada parti politik lain yang menunjukkan kesediaan mahu menyahut hasratnya itu.

Malah di kalangan Pejuang dan GTA sendiri, hanya Khairuddin Abu Hassan seorang saja yang terlihat beria-ia mahu Tun Mahathir kembali jadi Perdana Menteri lagi.

Di kalangan netizen pula, hampir 100 peratus reaksi yang ditunjukkan terhadap berita Tun Mahathir mahu jadi Perdana Menteri lagi itu memperlihatkan mereka tanpa segan silu menolak hasrat tersebut.

Antara komen yang kedapatan ialah “cukup-cukuplah Tun”, “nanti kalau jadi Perdana Menteri, Tun letak jawatan lagi”, “jangankan setahun, seminit pun kami tak sanggup Tun jadi Perdana Menteri” dan pelbagai lagi reaksi yang semuanya bernada negatif belaka.

Dengan yang demikian, ditambah faktor usianya sudah mencecah 97 tahun, ternampak amat susah dan sia-sia saja Tun Mahathir mahu kembali lagi Perdana Menteri.

Zaman Tun Mahathir sebenarnya sudah berlalu, cukuplah dua kali jadi Perdana Menteri dan tiada yang sedia mahu menyokongnya lagi buat kali ketiga ini.

Berdasarkan respon sebegitu, adalah lebih baik Tun Mahathir membatalkan saja hasratnya itu.

Lagi pun, kalau gagal mencapainya, ia akhirnya akan memalukan nama Tun Mahathir juga sebagai negarawan terbilang dalam negara ini.

Maka, selari dengan kehendak semasa yang mahukan pemimpin muda menerajui negara, bersesuaian pula dengan jawatan Mukhriz Mahathir sebagai Presiden Pejuang, adalah lebih baik jika anaknya itu dinamakan sebagai calon Perdana Menteri kali ini.

Kalau tidak ditonjolkan sekarang, bila lagi Mukhriz nak meningkat karier politiknya?

Takkan asyik-asyik sang ayah saja nak jadi Perdana Menteri?

Tambahan lagi, dalam sejarah perjalanan politik Tun Mahathir sendiri, bahkan sering disebutnya sebelum ini bahawa beliau pernah menaikkan dua orang pemimpin UMNO sebagai Perdana Menteri iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak.

Jika orang lain boleh Tun Mahathir naikkan sebagai Perdana Menteri, apa kurangnya dengan anaknya sendiri?

Yang pasti, jika Mukhriz jadi Perdana Menteri, beliau pasti tidak akan mengecewakan Tun Mahathir sebagaimana Tun Abdullah dan Najib mengecewakannya sehingga kedua-duanya kemudian dijatuhkannya.

Hanya Mukhriz sebagai Perdana Menteri mampu memberi jiwa tenang dunia dan akhirat kepada Tun Mahathir. – ShahbudinHusin 30/09/2022.

67 responses to “DARIPADA NAK JADI PM KALI KETIGA, LEBIH BAIK TUN M TONJOLKAN ANAKNYA MUKHRIZ JADI PM”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *