Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

KASIHAN TAKIYUDDIN, DIA LUPA MUSUH UMNO BUKAN SAJA PH TAPI JUGA BERSATU

Seperti seorang yang amat takut kehilangan jawatan serta kemewahan dunia, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hasan tampil mengingatkan UMNO bahawa musuh bersama mereka ialah PH.

Selain itu, kata beliau juga, musuh Pas bukanlah BN.

Beliau seterusnya menekankan bahawa hanya gabungan Pas dengan UMNO/BN atas konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional saja yang mampu menjadi formula berkesan untuk mereka menghadapi PH.

Tambahnya lagi, pendekatan itu diterima majoriti pengundi ke arah mewujudkan sebuah “kerajaan prihatin rakyat” dengan langkah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada seluruh rakyat di samping pada masa yang sama memberi perhatian khusus kepada aspek semak dan imbang.

“PAS amat optimis hanya dengan perpaduan dan kerjasama politik di antara parti-parti utama Melayu-Islam sahaja akan dapat mengelakkan pertandingan lebih dari dua penjuru dalam PRU15 nanti,” katanya dalam kenyataan media media hari ini.

Kadang-kadang kasihan pun ada dengan pimpinan Pas yang masih tak henti-henti bermuka tebal mahu bekerjasama dengan UMNO, meskipun UMNO sudah berkali-kali menegaskan pendirian untuk bertanding solo dalam PRU15 akan datang.

Macam-macam usaha, helah dan provokasi cuba dilakukan untuk mengubah pendirian UMNO itu dan kenyataan Takiyuddin ini adalah sambungan daripada beberapa kenyataan pelbagai pimpinan Pas dengan nada yang sama sebelum ini.

Nampak sangat Pas semakin cemas takut ditimpa kekalahan, seterusnya hilang segala nikmat dunia melalui jawatan menteri yang diduduki sekarang.

Mengingatkan bahawa PH adalah musuh bersama yang perlu dikalahkan adalah cubaan terbaru Pas untuk terus memancing perhatian UMNO.

Kasihan…kasihan…kasihan….

Untuk makluman Takiyuddin, UMNO bukanlah tidak sedar bahawa PH merupakan musuh mereka kerana PH jugalah yang mengalahkan UMNO/BN pada pada PRU14 yang lalu.

Tetapi, dalam situasi politik semasa, Pas janganlah terus lurus macam pembaris, sebaliknya hendaklah juga sedar bahawa Bersatu yang sedang mereka peluk erat sekarang ini juga merupakan musuh kepada UMNO.

Bersatu bukan saja sama-sama terlibat dengan PH dalam mengalahkan UMNO/BN pada PRU14 lalu, bahkan mempunyai iltizam berterusan untuk “membunuh” UMNO.

Sementara parti-parti lain dalam PH hanya berlawan dengan UMNO secara politik, Bersatu jauh ke depan dengan menyediakan “papan pengkhianatan” untuk pemimpin-pemimpin UMNO melompat menyertai mereka.

Dengan itu, Bersatu sebenarnya lebih merupakan musuh kepada UMNO berbanding PH.

Mengingatkan UMNO untuk saling bekerjasama menentang PH kerana kononnya PH adalah musuh bersama tidak mungkin mengubah pendirian UMNO selagi Pas kekal berpelukan dengan Bersatu yang merupakan musuh UMNO itu.

Lebih dahsyat, dalam Pas berusaha mahu bekerjasama dengan UMNO itu, bukanlah rahsia lagi bahawa mereka juga mahu membawa Bersatu masuk sama ke dalam kelambu kerjasama itu.

Maka, sudah tentu ia sesuatu yang mustahil kerana UMNO dengan Bersatu ini tidak ubah perbandingannya macam Pas dengan Amanah.

Sebagaimana Pas keras menolak Amanah dan enggan bekerjasamaa dalam apa bentuk sekali pun dengan parti tersebut, itulah juga sikap UMNO terhadap Bersatu.

Kalau Pas benar-benar mahu bekerjasama dengan UMNO, satu saja jalan yang terbuka iaitu mereka mesti segera meninggalkan Bersatu dan keluar daripada PN.

Tapi, sediakan Pas melakukannya dan mampukah Takiyuddin menjadi pendahulu membuka mulut melafazkan talak kepada Bersatu? – ShahbudinHusin 20/09/2022.

5 4 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

52 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
52
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x