Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

BERITA GEMBIRA BUAT PENYOKONG2 NAJIB, BELIAU BOLEH JADI PM LAGI….

Dalam tempoh tidak sampai seminggu, dua kali Speaker Parlimen, Azhar Azizan Harun membuat penegasan bahawa Najib Razak yang kini dipenjarakan di Penjara Kajang, tidak hilang kelayakannya sebagai Ahli Parlimen Pekan.

Katanya, walaupun telah disabitkan bersalah dan kini dipenjarakan, tetapi selagi semakan kehakiman dan pengampunan diraja yang dipohon oleh bekas Perdana Menteri itu tidak dibereskan, kedudukan Najib sebagai Ahli Parlimen adalah kekal.

“Mengambil kira permohonan pengampunan yang telah dibuat sebelum ini dan juga usul semakan kehakiman yang difailkan, maka status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah.

“(Ia) akan hanya dimuktamadkan selepas kedua-dua permohonan pengampunan dan usul tersebut dibereskan,” kata Azhar dalam kenyataan terbarunya semalam.

Azhar seterusnya berkata, Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, jika petisyen pengampunan difailkan dalam masa 14 hari dari tarikh rayuan diputuskan, kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen hanya akan berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen pengampunan diselesaikan.

Pendirian Azhar ini bagaimanapun berbeza dengan kenyataannya pada tahun 2019 dahulu ketika memegang jawatan Pengerusi SPR.

Ketika itu beliau menyebut, mana-mana ADUN atau Ahli Parlimen akan dilucutkan status sebagai wakil rakyat jika mereka sudah disabitkan dan dihukum penjara 12 bulan atau lebih, atau didenda tidak kurang daripada RM2,000 atas sesuatu kesalahan.

Kenyataan beliau itu boleh dibaca di sini – https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2019/10/617948/ahli-parlimen-adun-lucut-kelayakan-selepas-dapati-bersalah

Dengan pendirian Azhar berkenaan perkara tersebut itu, ini secara langsung bermakna, kekalnya status Najib sebagai Ahli Parlimen bermakna beliau akan terus mendapat gaji dan elaun sebagai Ahli Parlimen Pekan selagi semakan kehakiman dan pengampuan diraja yang dipohonnya tidak diselesaikan.

Dalam erti kata lain, kalau setahun lagi pun kedua-dua perkara itu tidak ada penyelesaiannya, selagi itulah gaji dan elaun sebagai Ahli Parlimen terus diterimanya.

Wahhh….indahnya Malaysiaku ini, bukan duta saja terima gaji buta, Ahli Parlimen pun terima gaji buta juga!!

Soalnya, bagaimana pengundi Pekan mahu mendapat khidmat Najib sebagai Ahli Parlimen dalam keadaan statusnya tidak terlucut itu sedangkan beliau sedang dipenjarakan di Penjara Kajang?

Bolehkah mereka mengunjungi beliau di Kajang untuk mendapat tandatangan sokongan daripadanya?

Adakah juga Najib akan diberikan kebenaran khas untuk hadir ke Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat, terutama dalam pengundian yang kritikal melibatkan rang undang-undang atau belanjawan?

Yang menarik juga, dengan terus menerima gaji dan elaun bulanannya, walaupun ditahan di Penjara Kajang, boleh jadi Najib sekarang ini merupakan satu-satunya banduan di negara kita, malah mungkin di dunia, yang menerima pendapatan sedemikian tinggi.

Maka, siapa cakap jadi banduan tiada untungnya?

Di waktu yang sama, oleh kerana berdasarkan pendirian Azhar bahawa kedudukan Najib sebagai Ahli Parlimen tidak terlucut selagi semakan kehakiman dan pengampunan diraja yang dipohonnya tidak diselesaikan, ia juga membawa erti bahawa bekas Perdana Menteri itu masih boleh bertanding dalam PRU15 akan datang sekiranya masih tiada apa-apa perkembangan berkenaan semakan kehakiman dan pengampuan diraja itu pada hari penamaan calon.

Seseorang hanya tidak boleh bertanding lagi jika kelayakannya sebagai Ahli Parlimen telah terlucut.

Tak terlucut atau tidak dilucutkan bermakna masih boleh bertanding kerana hanya seseorang yang telah terlucut kelayakan saja tidak dibenarkan bertanding.

Ini tentunya satu lagi berita gembira buat penyokong-penyokong Najib kerana beliau kini nampaknya masih ada peluang untuk bertanding lagi di Pekan.

Ahmad Zahid Hamidi dan UMNO, terutama jika dikipas dengan kuat oleh Dr Puad Zarkashi, pasti tiada masalah untuk mencalonkan lagi Najib di Pekan.

Tambahan lagi Najib juga tentunya seratus peratus termasuk dalam kategori WALI – winnable, acceptable dan likeable – iaitu ciri-ciri yang dimahukan oleh UMNO terhadap calon-calonnya dalam PRU15 nanti.

Kalau setakat Pekan, dari dalam penjara pun Najib pasti boleh menang punya.

Lebih menarik lagi, apabila tidak hilang kelayakan dan boleh bertanding sebagai Ahli Parlimen, tentulah boleh pula Najib dicalonkan sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang.

Kalau ditakdirkan BN menang, sekali lagi sejarah akan tercipta di negara kita ini – bekas Perdana Menteri yang dipenjarakan kembali semula jadi Perdana Menteri?

Ehhh…nasib baik terjaga awal, kalau tidak, pasti panjang lagi mimpi tidur siang petang tadi. ShahbudinHusin 09/09/2022.

4.5 11 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

16 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
16
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x