Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

TIGA BULAN LAGI, ADAKAH NAJIB MASIH DIINGATI?

Setakat ini, setelah Najib Razak dipenjarakan pada 23 Ogos lalu, hanya ada dua majlis solidariti daripada UMNO terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Pertama, majlis taklimat UMNO di WTCKL pada 27 Ogos yang diadakan atas inisiatif Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dengan dihadiri oleh barisan kepimpinan UMNO bahagian-bahagian daripada seluruh negara.

Kedua, majis solidariti untuk Najib yang diadakan di Dataran Pekan, Pahang pada petang semalam.

Ini bermakna, dalam tempoh dua minggu setelah Najib dipenjarakan, hanya ada dua program untuk membela dan mempertahankan Najib, itu pun kedua-duanya tidak menampakkan impak serta kesan yang jelas ke mana kesudahannya.

Taklimat di WTCKL pada mulanya digembar-gemburkan sebagai medan tekanan terakhir daripada UMNO untuk memaksa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob agar menyegerakan PRU15 secepat yang boleh.

Malangnya, meskipun pada malam berkenaan diadakan mesyuarat khas MT UMNO, tetapi tiada apa-apa yang berlaku akhrinya, bahkan kenyataan media pun tidak dikeluarkan selepas itu.

Yang ternampak kemudiannya hanyalah Azalina Othman Said yang berdegar-degar berucap di majlis di WTCKL terpaksa meletakkan jawatannya sebagai Penasihat Khas Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri.

Begitu juga dengan majlis solidariti di Pekan semalam, walaupun kehadiran Zaid Ibrahim sebagai bekas peguambela Najib ada kewajaran untuk didengar hujah-hujahnya, pemimpin UMNO yang hadir sekadar bertaraf “ lightweight” saja iaitu Lokman Adam dan Isham Jalil.

Lokman, bekas Ahli MT UMNO dan Isham, baru dilantik sebagai Ahli MT, kedua-duanya adalah bekas pegawai Najib Kementerian Kewangan dan PMO sebelum ini.

Mereka itu, selain sudah diketahui memang penyokong kuat Najib, tanpa ada jemputan pun, akan tetap mempertahankan Najib melalui media sosial masing-masing.

Maknanya, tiada apa-apa yang luar biasa dengan kehadiran kedua-duanya di Pekan itu.

Persoalan paling pokok di sini, kenapa tiada pemimpin UMNO Pusat dengan kedudukan yang lebih tinggi sedia hadir di Pekan semalam?

Begitu juga dengan pimpinan utama UMNO Pahang, kenapa tiada yang kelihatan sama?

Adakah mereka sudah lupa kepada Najib dan tidak mengenang lagi budi-budinya?

Dengan hanya dua program solidariti diadakan untuk Najib setelah dua minggu beliau dipenjarakan, jauh benar untuk beliau mendekati bagaimana Anwar Ibrahim dibela dan dipertahankan sebelum ini.

Dengan demikian, tentulah lebih jauh kalau nasib Najib mahu disamakan dengan Nabi Yusof atau Nelson Mandela.

Di mata pemimpin dan ahli UMNO, terutama mereka yang pernah dikayakan, diberi projek dan diberi jawatan, Najib seolah-olah tiada nilai lagi setelah dirinya kini dipenjarakan.

Di mana mereka sekarang dan kenapa tiada kedengaran ada pemimpin UMNO, terutama yang pernah dikayakan oleh Najib, mahu merancang program solidariti yang seterusnya?

Di kalangan 191 Ketua UMNO Bahagian pula, hanya kedengaran Dr Puad Zarkashi dari Batu Pahat yang menyatakan rindu dengan coretan Najib di laman sosial FBnya.

Di mana yang lain-lain?

Begitu juga dengan ahli UMNO yang diketahui merupakan penyokong dan pentaksub Najib sebelum ini, mereka juga kini kelihatan sudah senyap sunyi daripada menulis apa-apa mengenai Bossku di dinding media sosial masing-masing.

Kenapa jadi demikian, sudah mahu melupai Najib atau kerana tiada lagi elaun bulanan?

Apa nasib Najib seterusnya, apakah semua orang dalam UMNO sudah meredai pemenjaraan Najib dan tak kisah berapa lama pun beliau dipenjarakan?

Dengan semua perkembangan suram ini, jika saya jadi Najib, kebimbangan paling besar dalam kepala saya ialah tiga bulan lagi, adakah saya masih diingati? – ShahbudinHusin 05/08/2022.

4.5 11 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

28 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
28
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x