Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

TIADA RAKYAT MARAH PM, TIADA SEBAB JUGA RAKYAT NAK SALAHKAN PH

UMNO tidak mahu rakyat marah kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib Razak dalam kes rasuah SRC International, kata Setiausaha Agung parti itu, Ahmad Maslan.

Sebaliknya, kata beliau, kemarahan mereka perlu ditujukan kepada Pakatan Harapan (PH) kerana telah melakukan pendakwaan yang bersifat terpilih terhadap Najib.

“Kami tidak mahu rakyat marah kepada Ismail Sabri, tetapi rakyat perlu marah kerana berlaku pendakwaan politik terpilih kepada Najib ketika era pemerintah kerajaan PH sebelum ini,” ujar beliau.

Mat…Oh Mat….mimpi ke?

Sudah hampir dua minggu Najib dipenjarakan, sebenarnya tiada kedengaran rakyat marah kepada Ismail Sabri atas hukuman yang menimpa Najib itu.

Rakyat secara umumnya menerima dengan baik keputusan Mahkamah Persekutuan itu kerana ia dibuat berdasarkan fakta yang jelas bahawa ada kemasukan wang RM42 juta ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Tiada sebab untuk rakyat marah kepada Perdana Menteri atas hukuman kepada Najib itu kerana ia adalah keputusan mahkamah dan bukan hukuman yang diputuskan oleh Ismail Sabri.

Bahkan, rata-rata rakyat gembira kerana Perdana Menteri telah menunjukkan sikap serta pendirian tidak mahu campurtangan dalam urusan mahkamah, sesuai dengan konsep pengasingan kuasa yang menjadi amalan negara.

Yang ada menunjukkan rasa marah hanyalah segelintir pentaksub Najib dalam UMNO yang enggan menerima hakikat kesalahan memang telah dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu yang mana ia telah dibuktikan tanpa keraguan yang munasabah dalam mahkamah.

Jadi, tak perlulah Ahmad Maslan cuba memberi nasihat agar rakyat jangan marah kepada Ismail Sabri.

Hakikatnya, memang tiada rakyat yang marah pun kepada Perdana Menteri, malah majoritinya bersyukur kerana “jerung besar” telah menerima hukuman yang sewajarnya.

Dalam banyak perbualan saya dengan ramai orang dan dapatan di media sosial sendiri, tiada kedapatan sama sekali rasa marah rakyat kepada Ismail Sabri sebagaimana digambarkan Ahmad Maslan itu.

Jika Ahmad Maslan termasuk dalam kalangan pentaksub Najib yang sedang marah kepada Ismail Sabri ketika ini, lebih baik beliau cuba menasihati dirinya sendiri, selain lain kali basuhlah kaki sebelum tidur agar tidak bermimpi yang bukan-bukan.

Begitu juga, tidak perlu sama sekali Ahmad Maslan mengajak rakyat mengalihkan kemarahan mereka kepada PH berikutan pemenjaraan Najib itu.

Tiada apa-apa kesalahan telah dilakukan oleh PH, tetapi pendakwaan yang dilakukan kepada Najib ketika era PH menjadi kerajaan adalah kerana telah terbukti ada kesalahan melanggar undang-undang dibukti dilakukannya.

Kalau tiada wang RM42 juta ditemui dalam akaun bank peribadi Najib, sudah tentu, bukan saja PH, malah siapa pun jadi kerajaan, mereka tiada keupayaan untuk mendakwa Najib di mahkamah.

Dalam kes Najib, tiada pendakwaan terpilih telah berlaku, pokoknya pendakwaan dilakukan adalah kerana ada kesalahan yang dilakukan Najib sendiri.

Dari segi rakyat, mereka sebetulnya amat bersyukur kepada PH lantaran berani membawa seorang bekas Perdana Menteri ke muka pengadilan.

Yang patut kita marah sebenarnya ialah Najib kerana dengan skandal 1MDB yang terkait dengannyalah menyebabkan negara dan rakyat terus menanggung hutang hingga puluhan tahun akan datang.

UMNO malah lebih patut marah kepada Najib kerana beliaulah menjadi punca utama UMNO dan BN hilang kuasa pada 2018 lalu. – ShahbudinHusin 04/09/2022.

4.5 6 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

4 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
4
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x