Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

BERSATU PATUTNYA CALONKAN HAMZAH, BUKAN AZMIN UNTUK TPM…

Semalam ada laporan berita yang menyebut Azmin Ali adalah calon tunggal yang dikehendaki oleh Mahiaddin Md Yasin untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ini bermakna tiada nama Hamzah Zainuddin atau mungkin nama beliau telah digugurkan daripada pertimbangan hati dan fikiran Mahiaddin sebagaimana yang banyak diperkatakan sebelum ini.

Oleh kerana tiada penafian sehingga ini daripada pihak Bersatu atau Mahiaddin, laporan berkaitan Azmin itu bolehlah dianggap sebagai ada kebenarannya.

Turut dilaporkan ialah Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dikatakan agak keberatan untuk melantik Azmin bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri itu.

Seorang pemimpin Bersatu ketika ditanya tidak menafikan bahawa memang nama Azmin sebagai calon tunggal yang diusulkan oleh Mahiaddin kepada Ismail Sabri untuk dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Beliau bagaimanapun tidak tahu sebab sebenar kenapa hanya nama Azmin menjadi pilihan Mahiaddin, sedangkan sebelum ini nama Hamzah turut sama disenaraikan.

Barangkali ini adalah cubaan Mahiaddin untuk memujuk Azmin agar beliau kekal bersama Bersatu dan tidak menyertai Parti Bangsa Malaysia pimpinan Zuraida Kamaruddin.

Tetapi, sebagaimana semua orang sedar, Azmin lebih tercemar imej dan penonjolannya berbanding Hamzah.

Walaupun kedua-duanya Hamzah dan Azmin adalah termasuk dalam kategori pengkhianat dan pelompat parti, menteri MITI itu lebih hitam lagi imejnya di mata umum kerana terkait dengan isu video yang masih kabur sehingga sekarang.

Dengan imej sedemikian, tentulah amat sukar untuk beliau dinaikkan pangkat berlebih-lebihan sehingga ke peringkat Timbalan Perdana Menteri.

Tambahan lagi UMNO yang mengetuai kerajaan sekarang begitu kuat mengkritik dan menghemtan Azmin berkaitan isu video berkenaan.

Matilah UMNO dalam PRU15 akan datang jika setelah kuat membalunnya, tapi tiba-tiba dilantik pula sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dalam hal ini, mungkin jika nama Hamzah yang dicadangkan, pertimbangan jadi lebih mudah untuk dilakukan.

Saya percaya kalau nama Hamzah yang dicadangkan, hasilnya barangkali lebih positif, kata pemimpin Bersatu tadi yang turut kecewa kerana partinya gagal memperolehi jawatan nombor dua dalam kerajaan itu.

Kini dengan nama Azmin sudah ditolak, tidak munasabah lagi untuk Bersatu membuat cadangan kedua dengan meletakkan nama Hamzah pula sebagai gantinya.

Melepas teruslah nampaknya kedua-dua mereka untuk jawatan tersebut.

Adakah ini suatu kesilapan Mahiaddin? – ShahbudinHusin 08/08/2022.

5 2 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

2 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
2
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x