Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

EGO ANNUAR MUSA SEPERTI INI HANYA MENYUSAHKAN LAGI PERDANA MENTERI

Ternampak sombong dan ego benar reaksi Annuar Musa ketika ditanya wartawan berhubung idea pemotongan gaji para menteri di ketika inflasi ini.

Kalau pun tidak setuju, Annuar seharusnya lebih berhemah serta menunjukkan sikap lembut dalam memberi reaksinya.

Memberi reaksi dengan menampakkan sikap sombong dan ego hanya menyusahkan lagi Perdana Menteri dan meletakkan kerajaan terus tersisih daripada hati rakyat.

Sementara Ismail Sabri Yaakob diketahui sentiasa berusaha membuatkan rakyat lebih bersama kerajaan, sikap Annuar ini adalah kontradiksi yang langsung tidak membantu Perdana Menteri.

Atau Annuar memang mahu menyusahkan Ismail Sabri dan agar kerajaan ini tidak beroleh sokongan kukuh daripada rakyat?

Dalam menyanggah idea pemotongan gaji untuk menteri, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia mencabar pihak yang memberi cadangan tersebut agar menamakan negara yang berjaya menurunkan kadar inflasi melalui perlaksanaan langkah itu.

Menurut beliau, walaupun gaji setiap menteri dipotong, jumlah penjimatannya tidak memadai untuk mengubah keadaan inflasi yang dihadapi negara.

“Bolehkah anda namakan satu negara yang berjaya turunkan inflasi dengan memotong gaji menteri?” soalnya.

“Katakan anda potong RM10,000 daripada gaji setiap menteri, gandakan dengan 36 (jumlah menteri dalam kabinet), berapa yang anda dapat?

“Bolehkah anda beri jaminan kepada saya yang inflasi akan selesai (dengan cara ini) dan harga barang tak (akan) naik?

“Tolonglah, jangan main politik,” tempelak Annuar lagi.

Kenapa Annuar perlu bersikap sombong dan ego, malah siap melontarkan cabaran lagi?

Ternampak dalam hal ini, barangkali disebabkan tahap keegoan dan kesombongan dalam dirinya begitu tinggi, Annuar jadi tidak begitu faham berkenaan isu ini dan manfaat di sebaliknya.

Memanglah pemotongan gaji menteri tidak mampu menyelesaikan sepenuhnya masalah inflasi dan menurunkan harga barang, tetapi setidak-tidaknya ia dapat membantu ke arah itu.

Melalui potongan gaji yang dilakukan, wang tersebut boleh digunakan untuk perkara-perkara yang boleh memberi faedah kepada rakyat berbanding jika pemotongan tidak dilakukan, menteri-menteri lebih mungkin membelanjakannya untuk membeli cigar, selipar berjenama, jaket mahal dan seumpamanya.

Lagi pula, adakah menteri jadi miskin dan hilang aura sebagai pemimpin jika gaji dikurangkan?

Lebih daripada itu, yang terpenting sekali melalui pemotongan gaji itu dapat menunjukkan para menteri ada perasaan simpati kepada nasib rakyat yang sedang menderita dan kesusahan ketika ini.

Apabila Annuar menolak mentah-mentah idea pemotongan gaji, bahkan menyelitkan sikap sombong dan ego, gambarannya ialah beliau tidak bersimpati dengan rakyat.

Apakah begitu sikap seorang pemimpin?

Bukankah Khalifah Umar Al-Khatab ada berpesan – seburuk-buruk pemimpin adalah mereka yang berada dalam kekenyangan di ketika rakyat sedang kelaparan.

Pernahkah Annuar berasa lapar sejak jadi menteri? – ShahbudinHusin 26/07/2022.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

21 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
21
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x