Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

BICARA RASUAH ZAHID HAMIDI – ULTRA KIRANA SERLAH JIJIKNYA TAHAP AMALAN ITU DI NEGARA KITA

Hari demi hari, berdasarkan keterangan-keterangan saksi dalam perbicaraan rasuah sistem visa luar negara melibatkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dengan Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), syarikat yang diberi projek tersebut, serlahan paling nyata ialah ia memperlihatkan tahap rasuah di negara kita sudah di tahap yang begitu parah dan jijik sekali.

Pertama, dengan nama-nama yang dicatat dalam buku lejar sebagai telah menerima wang daripada UKSB, syarikat tersebut seolah-olah begitu bebas menabur wang di sana sini kepada orang-orang berpengaruh.

Jika begitu banyak wang telah ditabur kepada sejumlah nama yang dicatatkan dalam buku lejar, selain kepada Zahid Hamidi sendiri yang dilaporkan menerima secara bulanan dalam mata wang Singapura, berapakah pendapatan dan keuntungan UKSB setiap tahun?

Apakah ia bermakna melalui projek visa itu, kemasukan rakyat asing, terutama daripada China ke negara kita begitu bebas dan tanpa kawalan?

Kedua, malah dikira sangat tertonjol jijiknya ialah kerana ahli-ahli politik yang ada kuasa nampaknya begitu mudah disogok dengan wang ringgit oleh UKSB.

Rasanya inilah kes rasuah di mana paling ramai ahli politik dikaitkan telah menerima wang.

Daripada sekian nama ahli politik yang disenaraikan, paling mengejutkan tentunya bila mana nama Tun Mahathir Mohamad pun terkait sama didakwa menerima wang daripada UKSB melalui seorang anak saudaranya.

Jika ahli-ahli politik sudah sedemikian rupa wajahnya, menerima saja wang asal diberi, apakah yang boleh kita harapkan daripada mereka untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara?

Masihkah kita mahu mempercayai ahli-ahli politik mengurus negara dan membela nasib kita?

Walaupun beberapa nama yang disebut menerima wang daripada UKSB sebelum ini dilaporkan telah menafikannya dan mendakwa tidak mengenali syarikat tersebut, penafian semata-mata belum secara automatik membersihkan nama mereka.

Apakah nama mereka saja-saja ditulis dalam buku lejar?

Pihak berkuasa perlu menyiasat semua nama yang disebut di mahkamah itu, khusus tentang akaun bank dan butiran perbelanjaan dalam tempoh selepas mereka didakwa menerima wang daripada UKSB itu.

Janji pihak berkuasa sebagaimana kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tunku Jaafar bahawa SPRM akan memanggil semua nama yang dicatatkan dalam buku lejar UKSB belum memadai selagi mereka tidak disiasat dengan segera.

Malah, jika terbukti pemberian wang itu berunsur rasuah, semua mereka hendaklah juga didakwa di mahkamah bersama-sama dengan Zahid Hamidi.

Cakap-cakap bahawa Zahid Hamidi lebih mudah terlepas kerana ramai ahli politik lain turut menerima wang sepertinya juga bukanlah hujah yang kukuh.

Dengan lebih ramai dikaitkan turut menerima wang daripada UKSB, Zahid Hamidi sebenarnya semakin sukar menuju jalan keluar.

Dalam pada itu, melihat keterangan beberapa pihak yang mewakili UKSB berhubung pemberian wang kepada Zahid Hamidi dan ahli-ahli politik lain yang dinamakan dalam buku lejar itu, tidak memadai sekadar meletakkan mereka sebagai saksi pendakwa saja.

Sebagaimana penerima rasuah didakwa di mahkamah, pemberi rasuah juga harus didakwa sama.

Tanpa pemberi, tidak mungkin ada penerima.

Tidak akan berbunyi apa-apa jika hanya sebelah tangan yang bertepuk.

Hanya dengan mendakwa secara menyeluruh – pemberi dan penerima – kalau pun tidak dapat menghapuskan sama sekali amalan rasuah, sekurang-kurangnya bentuk pencegahan yang dilaksanakan itu lebih ditakuti dan menakutkan semua orang untuk mendekati perbuatan terkutuk itu. – ShahbudinHusin 25/07/2022.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

5 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
5
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x