Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

BUANG MASA TUNGGU KEPUTUSAN ROS DAN GERAKKAN JENTERA PRU15, UMNO PATUT BERANI ADAKAN PEMILIHAN LEBIH DULU

UMNO dan BN ketika ini sedang rancak menyusun dan memperkemas jentera di beberapa negeri bagi menghadapi PRU15 yang entah bila tarikhnya.

Timbalan Presiden UMNO selaku Pengarah Pilihanraya BN, Mohamad Hasan dalam minggu lalu telah mengadakan perjumpaan dengan jentera pilihanraya di Perlis dan Kedah.

Beberapa pemimpin lain juga turut menyantuni jentera di negeri yang berbeza, selain ada juga UMNO bahagian-bahagian yang mengadakan kursus pilihanraya di Janda Baik dan lain-lain destinasi.

Seolah-olah dengan apa yang dilakukan UMNO ini pilihanraya sudah dekat benar tarikhnya.

Tetapi, harus diingat tarikh PRU15 ditentukan oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan bukan oleh pemimpin UMNO yang berkelompok di Menara Datuk Onn, WTC dan sibuk memperkemaskan jentera itu.

Pemimpin UMNO, terutama kluster mahkamah atau penyokongnya sekadar boleh berangan atau mencadangkan saja sekian-sekian tarikh untuk diadakan PRU15, namun semuanya terpulang kepada Perdana Menteri.

Yang nyata, belum ternampak lagi ada tanda-tanda Ismail Sabri mahu membubarkan Parlimen dalam waktu terdekat ini.

Sibuk buat kursus pilihanraya, lancar jentera di sana sini dan barangkali ada yang tidur pun pakai baju BN, entah-entah tahun depan baru Parlimen dibubarkan.

Maka, tidakkah apa yang dilakukan oleh UMNO sekarang ini adalah kerja sia-sia belaka?

Bakal pengundi tengah susah dan tak cukup makan, adakah ia dipedulikan?

Yang keduanya, UMNO masih menunggu dan berharap cadangan pindaan perlembagaan parti itu akan diluluskan oleh RoS atau Jabatan Pendaftar Pertubuhan.

Tempoh 60 hari sebagaimana sepatutnya sudah pun luput pada 16 Julai lalu dan RoS dilaporkan tidak dapat membuat keputusan kerana masih ada dokumen yang tidak lengkap.

Dilaporkan Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan telah menghantar lapan dokumen tambahan kepada RoS dan dengan itu, beliau berharap dalam tempoh seminggu atau dua minggu akan datang, pindaan itu tiada masalah lagu untuk diluluskan.

Namun, meskipun RoS meminta dokumen tambahan, pindaan perlembagaan itu lebih terdedah kepada kemungkinan tidak diluluskan.

Jika RoS serius dan mahu memberi kelulusan, mereka sepatutnya meminta dokumen tambahan itu lebih awal lagi dan bukan setelah berlalunya tempoh 60 hari.

Mahu tidak tahu, menunggu keputusan RoS ini sebenarnya satu lagi kerja sia-sia oleh UMNO.

Lebih parah nanti kalau tunggu punya tunggu, tapi akhirnya cadangan pindaan itu tidak diluluskan oleh RoS.

Dalam hal ini, UMNO mesti segera berhenti membuang masa dan membuat kerja sia-sia.

Hentikan dulu sebarang persiapan untuk menghadapi PRU15 atau terus menunggu keputusan RoS.

Apa yang UMNO patut dan wajar lakukan sekarang ialah segera memuktamadkan untuk mengadakan pemilihan parti pada tahun ini dan menetapkan tarikh mesyuarat cawangan, bahagian dan Perhimpunan Agung sebelum berakhir kalender 2022.

Laksanakan pemilihan dahulu dan bersedialah untuk menampilkan wajah baru UMNO sebelum berhadapan undi rakyat dalam PRU15 akan datang.

Selepas itu barulah ditumpukan kepada PRU15 dan berkenaan pindaan perlembagaan, sama ada diluluskan atau tidak oleh RoS, UMNO harus menyasarkannya untuk masa depan dan bukan sebelum pemilihan yang terdekat ini.

Ini sekaligus dapat memperlihatkan kepimpinan UMNO ada keberanian dan sedia menghadapi perubahan.

Usah difikir siapa menang, siapa kalah dan sama ada kluster mahkamah akan tersisih atau mampu bertahan berikutan pemilihan itu kerana yang harus difikirkan akhirnya ialah kemenangan parti dalam pilihan raya.

Wajah baru atau wajah lama yang bersalut kluster mahkamah bakal menerajui UMNO, biarlah ianya ditentukan oleh ahli-ahli parti sendiri melalui kata putus akar umbi melalui pemilihan.

Dengan itu, ahli-ahli UMNO akan diberi mandat untuk menentukan wajah pemimpin mana yang mereka harapkan untuk membawa kemenangan atau menempah kekalahan dalam PRU15 akan datang. – ShahbudinHusin 24/07/2022.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

14 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
14
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x