Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PULANG WANG SAJA TIDAK CUKUP, JHO LOW SENDIRI MESTI DIBAWA PULANG

Selepas Pejabat Peguam Negara atau AGC memaklumkan mereka menolak semua tawaran Jho Low berhubung cadangan penyelesaiannya dengan Kerajaan Malaysia, bekas Peguam Negara, Apandi Ali dengan pantas tampil mengesahkan dirinya adalah wakil yang diminta berbuat demikian.

Dalam satu kenyataan, Apandi berkata, beliau dihubungi oleh firma Washington DC, Kobre & Kim pada akhir Mei lalu yang meminta bantuannya untuk mengaturkan pertemuan dengan AGC.

Beliau berkata, tujuan pertemuan itu adalah untuk membincangkan pemulangan wang kepada Kerajaan Malaysia yang didakwa diselewengkan Jho Low daripada 1MDB.

“Saya aturkan beberapa pertemuan, di mana wakil dari Kobre & Kim sendiri datang ke Malaysia.

“Dalam pertemuan itu, yang dibuat di Pejabat Peguam Negara, kerajaan diwakili oleh Peguam Negara sendiri dan pegawainya serta pegawai kanan SPRM.

“Selepas pertemuan itu, yang ketika itu nampak positif, ia tiba-tiba dibatalkan oleh AGC atas sebab yang hanya mereka tahu,” kata Apandi lagi.

Dalam hal berkaitan, The Edge melaporkan, Jho Low menawarkan penyelesaian berjumlah RM1.5 bilion bagi membebaskan dirinya daripada sebarang pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB.

Dengan perkembangan terbaru ini, walaupun penyelesaian tidak menjadi kenyataan kerana tawaran Jho Low itu ditolak oleh AGC, beberapa kesimpulan mudah boleh dibuat daripadanya.

Pertama, ia dengan sendirinya mengesahkan Jho Low mengakui kesalahannya mencuri wang melalui 1MDB.

Jika tidak, bagaimana beliau sedia membuat tawaran dengan memulangkan RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia?

Keseluruhan wang yang diselewengkan Jho Low ialah kira-kira AS$4.5 bilion sebelum ianya diagih-agihkan dan dengan itu keputusan AGC menolak tawaran itu adalah wajar sekali.

Jumlah tawarannya jelas tidak memadai dengan keseluruhan wang yang dicurinya melalui 1MDB.

Begitu pun, jika sekarang Jho Low sedia menawarkan RM1.5 bilion, berapa banyak lagi wang curi 1MDB masih ada dalam poketnya?

Tidakkah tawaran RM1.5 bilion itu sebetulnya amat kecil jumlahnya dan beliau mungkin memiliki banyak lagi bakinya?

Kedua, dengan firma Kobre & Kim yang mengaku mewakili Jho Low telah berhubung dengan Apandi untuk menguruskan pertemuan dengan AGC, ini bermakna bilionaire yang gemar berfoya-foya itu masih ada dan boleh dihubungi.

Apa sebenarnya status Apandi dalam hubungannya dengan Kobre & Kim?

Ketiga, jika Jho Low sendiri memperlihatkan kesedian membuat tawaran yang menunjukkan dirinya adalah bersalah, bagaimana dengan Najib Razak?

Masihkah beliau mahu berpropaganda dan memutar fakta seolah-olah dirinya tidak bersalah dan semua wang yang masuk ke akaun peribadinya kononnya adalah sumbangan daripada Raja Arab Saudi?

Ataukah dengan tindakan terbaru Jho Low ini lebih menjadikan Najib semakin berdepan kesukaran dalam perbicaraan kes 1MDB sedang berjalan sekarang?

Apa pun, jika ada lagi tawaran lain seperti itu selepas ini, pihak AGC harus bertegas bahawa yang paling dikehendaki sekali oleh rakyat Malaysia ialah Jho Low itu sendiri.

Beliau mesti diusahakan untuk dibawa pulang bagi menghadapi pertuduhan jenayah yang dilakukannya yang telah menyebabkan negara menanggung hutang berpuluh bilion dan berpuluh tahun tempoh masa untuk membayarnya.

Kalau Apandi boleh menjadi wakil bagi pihak Kobre & Kim untuk bertemu dengan AGC, tidak bolehkah AGC dan Apandi, demi kepentingan negara, sama-sama pula bekerjasama menekan Kobre & Kim untuk memastikan Jho Low dapat dibawa pulang ke Malaysia? ShahbudinHusin 17/07/2022.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

14 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
14
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x