Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

ANWAR BELUM PERLU BERSARA, BIAR TUN M JADI SAKSI HIDUP BELIAU DUDUK KERUSI PM DULU

Perkara lain yang dibangkitkan oleh Tun Daim Zainuddin dalam interbiunya dengan sebuah portal berita ialah menyarankan ahli-ahli politik lama agar berundur daripada kancah politik.

Secara khusus, beliau menyebut Anwar Ibrahim sebagai sosok yang sangat perlu berbuat demikian.

Katanya, dengan ahli politik seperti Anwar berundur, ia akan memberi ruang kepada generasi baharu memimpin negara.

“Selagi mereka masih kekal, generasi baharu tidak boleh naik,” tegasnya lagi.

Tetapi, dalam konteks Anwar secara khusus, perlukah berundur sebagaimana saranan Tun Daim itu?

Benarkah juga selagi Anwar tidak berundur, generasi baharu tidak berpeluang untuk menonjolkan diri?

Sebagaimana kita semua sedia maklum, jika kerajaan PH tidak dikhianati oleh Tun Mahathir Mohamad dan beliau berpegang kepada janjinya, hari ini Anwar sudah pun duduk di kerusi Perdana Menteri.

Namun kerana ada sikap khianat dan janji dimungkiri oleh Tun Mahathir itu yang barangkali Tun Daim sendiri ada peranan tertentu dalam menjayakannya sehingga kerajaan PH tumbang sebelum habis tempoh, maka itulah sebabnya laluan Anwar terhalang di tengah jalan.

Dengan yang demikian, selain Anwar sendiri dilihat masih bertenaga, berstamina dan berkemampuan, saranan berundur mungkin perlu dikecualikan kepada dirinya.

Meski sudah berusia 75 tahun, banyak kelompok Masyarakat dilihat masih menaruh keyakinan terhadap kepimpinannya untuk menerajui negara.

Maka, memberi Anwar peluang memburu pendakian menuju kerusi Perdana Menteri buat kali terakhir dalam PRU15 akan datang tentu saja sesuatu yang wajar.

Lagi pula, untuk mengatakan Anwar tidak menyediakan barisan pelapis atau keberadaannya menyekat generasi baharu naik ke atas, jika dilihat daripada pemilihan PKR yang baru lalu, ternyata ia tidak benar sama sekali.

Pemimpin-pemimpin muda, bermula dengan Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden, barisan Naib-Naib Presiden yang terpilih, Ketua AMK dan Ketua Wanita, semuanya menampakkan generasi baharu sedang ditempatkan di laluan yang betul untuk proses peralihan.

Jadi, Tuan Daim tidak perlu risau mengenainya.

Lebih-lebih lagi, Tun Mahathir yang sudah berusia 97 tahun pun baru-baru mengumumkan mahu terus bertanding lagi di Langkawi yang bermakna beliau juga belum mahu bersara.

Meski mungkin ada tujuan-tujuan lain mengapa Tun Mahathir masih belum mahu bersara, tidak mustahil antaranya ialah kerana beliau sendiri ingin menjadi saksi hidup melihat Anwar sebagai Perdana Menteri sebelum menghembus nafas terakhirnya.

Kalau Anwar bersara dan berundur sekarang sebagaimana disarankan oleh Tun Daim, nanti kempunan pula Tun Mahathir jadinya.

Maka itu, sangat tidak patut sebenarnya Tun Daim meminta Anwar bersara begitu saja. – ShahbudinHusin 11/07/2022.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

9 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
9
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x