Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

ELOK PM LANTIK DUA TPM – MAHADZIR KHALID DARI UMNO DAN SEORANG LAGI DARI BERSATU

Sama ada wujud atau tidak perjanjian untuk melantik Timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu, beberapa perkembangan yang berlaku akhir-akhir ini nampaknya menjadikan Ismail Sabri Yaakob tidak lagi punya banyak pilihan.

Pilihan paling wajar diambilnya kini ialah mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri itu dengan seberapa segera yang boleh.

Lebih-lebih lagi dengan pengesahan Marzuki Mohamed, bekas Ketua Setiausaha Sulit Mahiaddin Md Yasin ketika Presiden Bersatu itu memegang jawatan Perdana Menteri bahawa perjanjian itu memang wujud dan ditandatangani pada 17 Ogos 2021, membiarkan saja isu itu jadi perbualan tanpa titik penamat langsung tidak membawa sebarang keuntungan.

Menurut Marzuki lagi, perjanjian itu ditandatangani antara Ismail Sabri dengan Mahiaddin serta disaksikan dua orang menteri, seorang daripada UMNO dan seorang lagi daripada Bersatu.

Rasa-rasanya saksi hidup daripada UMNO itu tidak lain dan tidak bukan adalah Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Keperluan untuk Ismail Sabri mengisi jawatan itu sekarang ini sebenarnya lebih untuk meredakan ketegangan antara UMNO dan Bersatu yang timbul sejak kebelakangan ini dan bukan semata-mata untuk memenuhi perjanjian tersebut.

Selain menuntut kerusi menteri yang kini dipegang Zuraida Kamaruddin, Bersatu secara tiba-tiba membangkitkan soal jawatan Timbalan Perdana Menteri yang dikatakan wujud perjanjian mengenainya.

Bagi pihak UMNO pro kluster mahkamah, di samping menentang kerusi menteri Zuraida itu diserahkan kepada Bersatu, mereka juga menolak pemberian jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada mana-mana pemimpin daripada parti pimpinan Mahiaddin itu.

Tujuan UMNO pro kluster mahkamah mendesak kerusi menteri Zuraida itu tidak dikembalikan kepada Bersatu hanyalah kerana ingin melihat Ismail Sabri bergaduh dengan Bersatu.

Dengan itu, harapan mereka akhirnya supaya Ismail Sabri bersetuju dengan kehendak UMNO supaya PRU15 diadakan dengan segera.

Tetapi, sebagaimana kita semua faham, Ismail Sabri tidak bersedia lagi untuk membubarkan Parlimen, antaranya kerana situasi ekonomi belum begitu baik dan mood rakyat juga tidak memihak kepada kerajaan ketika ini.

Begitu pun, melewatkan lagi pembubaran Parlimen dalam situasi wujud masalah antara UMNO dengan Bersatu serta di ketika UMNO sendiri mendesak PRU15 diawalkan, ia mesti disertai dengan langkah-langkah perlu untuk mengharmonikan keadaan.

Berdasarkan situasi semasa sekarang ini, berbanding melantik seorang Timbalan Perdana Menteri sebagai permintaan atau kerana ada perjanjian dengan Mahiaddin, melantik dua Timbalan Perdana Menteri barangkali adalah jalan penyelesaian yang lebih mampu menyejukkan suhu politik negara sehinggalah Parlimen dibubarkan pada tahun depan.

Dalam hal ini, Ismail Sabri perlu melantik seorang Timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu dan seorang lagi daripada UMNO.

Bagi calon daripada Bersatu, boleh dilantik sesiapa saja yang berada dalam kabinet sekarang sama ada Timbalan Presidennya, Ahmad Faizal Azumu atau Peja, Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainuddin atau Azmin Ali yang memegang jawatan Ketua Penerangan PN.

Sebaik-baiknya calon tersebut haruslah juga dipersetujui oleh Mahiaddin dan Bersatu.

Berkenaan calon daripada UMNO pula, calon paling sesuai untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri ialah Mahadzir Khalid, Naib Presiden UMNO yang kini memegang jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Kesesuaian Mahadzir bukan saja kerana kedudukan kanannya dalam hireaki parti, malah juga kerana jawatan menteri yang penting kepada rakyat luar bandar dan orang Melayu yang disandangnya sekarang.

Dengan perlantikan Mahadzir itu, Ismail Sabri dengan sendirinya dapat memperlihatkan sikap menghargai kedudukan hireaki parti pemimpin UMNO dalam urusan kerajaan, sesuai dengan konsep parti menguasai kerajaan.

Yang penting di sini, dengan melantik dua menteri yang memang sedia ada dalam kabinet sebagai Timbalan Perdana Menteri, ia tidaklah melibatkan banyak tambahan kos yang perlu ditanggung kerajaan.

Lagi pun, untuk kestabilan politik dan menambah keberkesanan kerajaan di mana akhirnya rakyat juga yang mendapat faedah daripadanya, mengeluarkan sedikit kos tambahan daripada wang kerajaan barangkali tidaklah menjadi perkara yang harus menjadi isu besar.

Tak kurang pentingnya, dengan adanya Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO itu, sosek-sosek berebut jawatan dan keghairahan sesetengah pemimpin mahu menonjolkan diri sebagai pemimpin nombor dua kiranya pemilihan parti mungkin diadakan dahulu sebelum PRU15, boleh dimatikan dengan serta-merta.

Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri secara automatik adalah bayangan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO 2022. – ShahbudinHusin 09/07/2022.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

7 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
7
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x