Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

NAJIB BERSALAH DAN PERLU MASUK PENJARA – TIMBALAN PRESIDEN PKR UCAP TAHNIAH KEPADA TIMBALAN PRESIDEN UMNO

Negara dikejutkan dengan laporan-laporan berita hasil satu wawancara di antara Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohamad Hasan dengan dua wartawan Nick Kochan dan Nile Bowie.

Berita yang bertajuk “UMNO’s No 2 thinks Najib should go to jail” atau “Pemimpin No. 2 UMNO berpendapat Najib perlu ke penjara” itu disiarkan oleh laman berita antarabangsa Asia Times.

Pautan berita penuh di

Exclusive: UMNO’s No 2 thinks Najib should go to jail

Dalam temu ramah ini, Tok Mat secara jelas menyatakan pendapatnya bahawa bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak adalah bersalah setelah mahkamah membuktikan Najib menyeleweng dana rakyat melalui 1MDB.

“Mahkamah adalah tempat kamu (Najib) boleh buktikan kamu bersalah atau tidak. Dia tidak buktikan dia tidak bersalah. (Malah) Dia tidak dapat buktikan dia tidak bersalah.”

“Setiap orang perlu menanggung kesan perbuatan mereka. Kalau kita (UMNO) mahu memberi pengampunan, dia (Najib) perlu melalui proses. Dia (Najib) perlu ke penjara dahulu.”

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tok Mat kerana masih ada suara-suara berani di dalam UMNO yang menyanggah kempen Najib yang cuba membodohkan rakyat (terutamanya orang Melayu) bahawa dia tidak bersalah.

Walaupun UMNO adalah saingan KEADILAN, masa depan negara bergantung kepada parti-parti politik (termasuk UMNO) dipimpin oleh mereka yang bersih dari rasuah, cekap mentadbir dan mempunyai wawasan.

Jika pun parti yang menang (pada suatu masa nanti) adalah KEADILAN, negara masih memerlukan barisan pembangkang (seperti UMNO) yang cekap dan bersih untuk membawa isu-isu rakyat serta menyemak tindakan kerajaan.

Oleh sebab itu, kempen berterusan Najib yang ingin menyelewengkan fakta yang telah dibentangkan di mahkamah adalah berbahaya kepada UMNO dan negara. Apatah lagi apabila sebahagian besar dari rakyat Malaysia percaya bahawa Najib adalah bersalah dan telah menyeleweng dana rakyat melalui 1MDB.

Dalam satu kaji selidik dan laporan kepada organisasi korporat dan perbankan yang melantik syarikat saya untuk memberi pandangan mengenai populariti Najib (dan pimpinan politik lain) dalam tahun 2021, dapatan menunjukkan lebih 80% rakyat Malaysia percaya Najib bersalah (termasuklah dari kalangan orang Melayu dan ahli UMNO sendiri).

Negara kita sedang berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya cabaran ekonomi. Rakyat terpaksa berdepan dengan bebanan sara hidup yang lebih tinggi dan kemampuan kerajaan untuk membantu rakyat makin terbatas kerana ruang fiskal yang sempit.

Sebahagian dari punca kebuntuan kewangan kerajaan ini adalah disebabkan bebanan hutang 1MDB yang diwariskan oleh Najib kepada rakyat.

Sebab itu, untuk negara bergerak ke hadapan dan menerima hakikat kita akan terus dibebankan dengan bencana kewangan yang berpunca dari 1MDB, sekurang-kurangnya kita wajar diberi keadilan bermula dengan dalang-dalang utama 1MDB dihukum seadilnya oleh mahkamah.

Walaupun kita tidak akan dapat kembali semua wang yang telah diselewengkan, sekurang-kurangnya rakyat mendapat keadilan apabila dalang-dalang utama 1MDB dihukum.

Dalam konteks itu, keberanian Tok Mat menyuarakan apa yang terbuku di hati rakyat kebanyakan wajar mendapat pujian dan sokongan semua pihak.

RAFIZI RAMLI

Timbalan Presiden (Dipilih)

6 Julai 2022.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

25 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
25
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x