Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

GANDINGAN ISMAIL SABRI MESTI PEMIMPIN LEBIH MUDA, BUKANNYA ANNUAR MUSA

Semalam Annuar Musa menafikan wujud sebarang perbincangan untuk meletakkan beliau bergandingan dengan Ismail Sabri Yaakob dalam pemilihan UMNO yang akan datang ini.

Katanya, tiada perbincangan sedemikian rupa pernah berlaku antara kedua-dua mereka.

“Kami tak pernah bincangkan perkara itu. Saya tahu sesetengah orang menyebarkan barisan (kepimpinan) dan perkara seperti itu.

“Saya tak ada banyak masa untuk memikirkan semua perkara itu, tetapi kami tidak pernah duduk bersama dan membincangkan tentang barisan kepimpinan menjelang pertandingan UMNO akan datang.

“Kami mempunyai masa yang sangat terhad, dengan begitu banyak kerja yang perlu dilakukan.

“Begitu banyak kerja yang perlu dibuat. Jadi, susah nak kata, saya pun tak tahu,” katanya ketika mengulas khabar angin yang tersebar luas di media sosial sejak seminggu lalu.

Khabar angin itu menyebut jika pemilihan UMNO diadakan sebelum PRU15, Annuar akan tampil sebagai calon Timbalan Presiden untuk berganding dengan Ismail Sabri yang akan bertanding sebagai Presiden UMNO.

Gandingan mereka disebut akan berlawan dengan Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan yang memimpin UMNO ketika ini.

Annuar pernah bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan 2018 tapi tewas kepada Mohamad atau Tok Mat.

Walaupun Annuar menafikan ada sebarang perbincangan untuk menggandingkannya dengan Ismail Sabri bagi mengambil alih teraju kepimpinan UMNO, tetapi beliau tidak pula menafikan dirinya tidak berminat untuk bertanding sekali lagi sebagai Timbalan Presiden.

Sepatutnya, selain menafikan tiada sebarang perbincangan untuk menggandingkannya dengan Ismail Sabri, jika benar beliau tidak mahu bertanding sekali lagi jawatan nombor dua dalam parti itu, sebaiknya beliau harus juga membuat penafian mengenainya.

Sekarang ini, Annuar hanya menafikan mengenai perbincangan untuk menggandingkannya dengan Ismail Sabri saja, tetapi tidak berkaitan dirinya sama ada bertanding atau tidak sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Sama ada beliau ada hasrat bertanding sebagai Timbalan Presiden UMNO atau pun tidak, masih tidak diketahui.

Kalau Annuar ikhlas mahu melihat pembaharuan dalam UMNO di mana Ismail Sabri yang telah memegang jawatan Perdana Menteri beroleh laluan pula untuk mengambil alih teraju kepimpinan parti, langkah terbaik untuk dilakukannya ialah mengumumkan tidak bertanding sebagai Timbalan Presiden.

Dalam usaha mengambil alih teraju kepimpinan UMNO dan mempamerkan wajah parti yang baru, Ismail Sabri harus diberi laluan bergadingan dengan pemimpin yang lebih muda atau sebaya dengannya seperti Khairy Jamaluddin atau Hishammuddin Hussein misalnya.

Annuar, meskipun hanya berbeza usia empat atau lima tahun saja dengan Perdana Menteri, namun beliau telah termasuk dalam kategori pemimpin tua yang sudah berada dalam kabinet sezaman dengan Sabbaruddin Chik lagi iaitu boss Ismail Sabri sendiri ketika beliau menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan dan Pelancongan itu.

Dengan itu, agak janggal dan tidak menampakkan UMNO menuju pembaharuan serta peremajaan jika beliau berada dalam kepimpinan utama bersama dengan Ismail Sabri.

Berilah laluan kepada pemimpin muda dan Annuar mesti mula mencari sudut tepi kerana persaraan makin dekat menghampirinya. – ShahbudinHusin 04/07/2022.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

34 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
34
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x