Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

ISMAIL SABRI DAH MULA TUNJUK BERANI, KLUSTER MAHKAMAH SILA DUDUK DIAM2 DIRI!!

Beberapa hari lalu saya telah menulis menyarankan perlunya Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menunjukkan keberanian dengan seberapa segera bagi menghentikan polemik berkaitan tarikh PRU15 daripada terus berpanjangan.

Ini kerana selagi polemik itu tidak dihentikan, selagi itulah ia akan berlarutan dengan pihak mendesak diawalkan dan pihak yang mahu dilewatkan terus mengeluarkan hujah masing-masing.

Keadaan tersebut bukan saja tidak sihat untuk negara di ketika rakyat sedang dibebani kesusahan waktu ini, tetapi juga kerana penentuan tarikh PRU adalah hak Perdana Menteri untuk memilih masa yang sesuai bagi menasihati Yang Dipertuan Agong berkenaan dengannya.

Dengan itu, pihak lain tidak berhak sama sekali untuk campurtangan.

Tambah pelik, puak yang sedang hangat bertelagah mahu PRU awal dan lewat itu adalah sama-sama duduk dalam kerajaan dan menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Tidak bolehkah mereka duduk diam-diam dan menghormati kuasa Perdana Menteri?

Begitu pun, untuk menghentikan polemik itu, yang paling tepat berbuat demikian tentunya tidak lain ialah Perdana Menteri sendiri.

Jika Perdana Menteri memberi isyarat atau kenyataan yang jelas dan konsisten, sudah tentu akhirnya mereka yang bertelagah itu sedar siapa diri mereka yang sebenarnya.

Hakikatnya bukan hak mereka untuk masuk campur dan biarlah Perdana Menteri menentukan waktu yang sesuai untuk membubarkan Parlimen.

Untuk itu, apabila hari ini Ismail Sabri memberi kenyataan berkaitan polemik PRU, ia nampaknya ada sedikit keberanian mula ditunjukkannya.

Menurut beliau, kekerapan pelbagai pihak berbincang soal tarikh PRU15 akan memberi kesan kepada kestabilan politik negara.

“Tidak ada seorang pun Perdana Menteri berbincang mengenai tarikh PRU secara terbuka di khalayak ramai.

“Semua Perdana Menteri tak bincang soal tarikh PRU, sebab ini beri kesan kepada kestabilan politik.

“Kalau kita bincang, akhirnya tumpuan kita lebih kepada soal pilihan raya’” ujarnya lagi.

Apa yang tersirat daripada kenyataannya kali ini, Ismail Sabri tidak saja ingin memberitahu kuasa pembubaran Parlimen adalah haknya sebagai Perdana Menteri dan tidak akan membincangkannya secara terbuka sebagaimana amalan semua Perdana Menteri sebelum ini, bahkan suatu mesej agar pihak lain jangan asyik menekan atau mengasaknya.

Dengan demikian, mulai sekarang, kluster mahkamah khususnya, sila duduk diam-diam dan berhentilah membuat desakan terbuka.

Selain itu, apa yang diharapkan juga selepas ini, Ismail Sabri harus kekal berani dan mesti bercakap dengan nada yang sama tidak kira ketika di pentas UMNO, ketika mesyuarat MT UMNO atau di mana-mana saja.

Jangan lagi hanya di khalayak ramai atau di depan wartawan saja ada macam berani, tetapi apabila di pentas UMNO menampakkan dirinya seolah-olah memberi harapan dan tunduk kepada kehendak kluster mahkamah seperti mengeluarkan ayat “tarikh pilihan raya tidak akan ditangguhkan walau sesaat sekali pun jika BN sudah bersedia.”

Kata-kata di atas tidak lebih merupakan ayat memberi harapan kepada kluster mahkamah, sedangkan hakikatnya bukan begitu yang seharusnya ditunjukkannya dan diingini oleh rakyat.

Rakyat mahu melihat Perdana Menteri seorang yang berani dan tidak tunduk, terutama kepada mereka yang ada kes mahkamah.

Tunduk dan mengalah kepada kluster mahkamah lebih membahayakan masa depan Ismail Sabri sendiri sebagai “poster boy” yang dipertaruhkan sama ada BN mampu menjadi pilihan rakyat atau sebaliknya pada PRU15 akan datang.

Dalam banyak keadaan, pemimpin yang tidak berani bukanlah pilihan pengundi. – ShahbudinHusin 16/06/2022.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

37 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
37
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x