Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

JAMAL TAK BERMINAT, BUDIMAN SUDAH BEKERJA DENGAN MENTERI, MAKA WAJARLAH KERUSI SUNGAI BESAR DIBERI KEPADA DR. KHIR

Sejak kebelakangan ini, bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Khir Toyo bukan saja menunjukkan minat untuk kembali ke arena politik, malah seperti menyasarkan kerusi Parlimen Sungai Besar sebagai tapak kembalinya semula.

Ketika menjadi Menteri Besar, Dr. Khir adalah Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar serta Adun Sungai Panjang iaitu satu kawasan dalam Parlimen Sungai Besar.

Pada PRU15 lalu, kerusi Parlimen Sungai Besar dimenangi oleh calon Bersatu mewakili PH, Muslimin Yahaya yang menewaskan calon BN, Budiman Mohd Zohdi serta calon Pas, Salleh Husin.

Dr Khir dilaporkan berminat untuk bertanding di Parlimen Sungai Besar semata-mata kerana ingin mengembalikan kerusi tersebut kepada BN.

“Niat saya (bertanding) kerana hanya mahu memastikan kemenangan parti (UMNO) dan bukannya ada tujuan lain.

“Namun, saya menyerahkan segala keputusan itu kepada pucuk kepimpinan tertinggi parti,” tambahnya lagi.

Kata Dr Khir lagi, dengan sambutan masyarakat Sungai Besar terhadapnya, beliau yakin mampu membawa kemenangan kepada BN jika diberi peluang untuk bertanding.

Berdasarkan situasi semasa, bukan saja tidak salah bagi Dr. Khir menyatakan rasa berminatnya itu, malah tidak salah juga jika Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi memberi peluang kepadanya.

Ini kerana secara umumnya bekas Menteri Besar Selangor itu adalah pemimpin yang baik, malah telah menjalani hukuman atas kesalahan rasuah yang dipertuduhkan kepadanya.

Selebihnya, meskipun BN Selangor tumbang ketika era kepimpinannya pada 2008 lalu, banyak faktor lain turut menyumbang kepada kekalahan itu, terutama tempias penolakan rakyat kepada Perdana Menteri ketika itu,Tun Abdullah Badawi yang terkait dengan isu budak-budak Tingkat 4 sehingga BN di peringkat pusa hilang majoriti dua pertiga buat pertama kalinya.

Tindakannya memberi penyapu kepada seorang Yang Dipertua Majlis Daerah serta wajahnya yang tiba-tiba berubah jadi putih dan bercahaya barangkali hanya penyumbang kecil saja kepada kekalahan BN Selangor pada waktu itu.

Lagi pula, selain telah menjalani hukuman penjara, Dr. Khir juga mengakui pengalamannya di penjara telah mengajarnya agar tidak sesuka hati membazirkan wang rakyat.

Ini bermakna, penjara telah mengubah dirinya menjadi lebih baik dan tidak mustahil beliau mampu menjadi pemimpin yang lebih baik di masa depan berbanding semua pemimpin UMNO yang belum pernah merasa tinggal di penjara.

Jadi, apa salahnya peluang kedua diberikan kepadanya?

Sementelah lagi, siapa dalam dunia ini tak pernah buat silap dan terlanjur langkah dalam mengejar warna-warni kehidupan?

Bak kata pesanan yang selalu didengar di kuliah-kuliah masjid – yang penting dalam hidup ini bukan bagaimana ia bermula, tetapi bagaimana laluan menuju pengakirannya.

Selain itu, kenapa kerusi Parlimen Sungai Besar wajar diberikan kepada Dr. Khir adalah kerana Ketua UMNO Bahagian tersebut, Jamal Md Yunos sendiri seperti tidak berminat untuk menjadi Ahli Parlimen.

Beberapa minggu sebelum ini, beliau membuat tawaran terbuka kepada Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang sedang tercari-cari tempat untuk bertanding agar datang dan bertanding di Sungai Besar.

Kata Jamal, beliau sanggup mengorbankan dirinya jika Tengku Zafrul sedia untuk bertanding di Sungai Besar.

Seperti ramai sedia maklum, Jamal adalah ahli perniagaan yang berjaya dan mungkin beliau lebih selesa dengan dunia perniagaannya berbanding menjadi wakil rakyat.

Daripada diserahkan kepada Tengku Zafrul, tentulah jauh lebih baik diserahkan kepada Dr. Khir, seorang anak tempatan Sungai Besar sendiri.

Penyandang lama kerusi Sungai Besar, Budiman pula, selain telah kalah pada PRU14 lalu, beliau kini sedang berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Annuar Musa, salah seorang menteri UMNO yang tergolong dalam kluster kabinet.

Dalam kenyataan terbaru Zahid Hamidi, beliau mengingatkan tidak semua Ketua UMNO Bahagian akan wajib dicalonkan dalam PRU15 akan datang.

Memahani situasi politik semasa, tambahan Annuar selalu berlaga angin dengan Zahid Hamidi, bahkan bertindak tidak berdiri yang bererti tidak menyokong keputusan pucuk pimpinan UMNO agar PRU15 diadakan segera dalam Konvensyen BN baru-baru ini, adalah dijangkakan beliau adalah antara pemimpin UMNO yang bakal digugurkan.

Kalau Annuar digugurkan, Budiman yang bekerja dengan beliau sebagai Setiausaha Politik, ikut logiknya bakal sekapal jugalah dengan “bossnya” tidak melekat sebagai calon pilihan raya

Dengan itu, siapa lagi yang lebih sesuai dijadikan calon selain daripada Dr Khir?

Tambahan pula, Budiman sebelum ini turut dikenali sebagai “budak Dr. Khir”, jadi apalah salahnya berlapang dada beri laluan kepada “boss lamanya” itu. – ShahbudinHusin 12/06/2022.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

10 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
10
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x