Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

MASUK BERTANDING MESTI SEDIA TERIMA KEKALAHAN

Berbanding UMNO dan Pas yang lebih besar dan lama, bantahan daripada calon-calon yang kalah bertanding dalam PKR ternampak jauh lebih tinggi berbanding kedua-dua parti tersebut.

Bagi pemilihan jawatan utama PKR yang baru berakhir, diberitakan hampir 2,000 aduan atau bantahan diterima oleh pihak JPP daripada calon-calon yang tidak puas hati dengan kekalahan mereka.

Ada yang tidak berpuas hati dengan jumlah undi, mempertikai proses pengundian, mengesyaki berlaku manipulasi undi dalam talian dan macam-macam lagi.

Selain bantahan kepada JPP, ada juga calon yang membuat laporan polis kerana tidak dapat menerima kekalahan yang dialami.

Difahamkan, ketika pemilihan tahun 2018 yang lalu, selain tidak kurang yang membuat bantahan, turut berlaku mereka yang membuat laporan kepada polis dan SPRM selepas selesai proses pemilihan.

Berikutan banyaknya bantahan kali ini, termasuk tuntutan agar dilakukan forensik audit dalam proses pengundian, Kongres Nasional PKR tahun ini yang sepatutnya diadakan pada 24-26 Jun ini telah ditangguhkan kepada 15-17 Julai.

Penangguhan kongres ini adalah sesuatu yang sedikit malang, malah mencalarkan wajah PKR kerana sepatutnya sebaik saja pemilihan berakhir dan kemudian berkongres, tumpuan seterusnya ialah menyatukan seluruh kekuatan untuk menghadapi PRU15 akan datang.

Dengan penangguhan kongres itu, tumpuan kepada memperkukuh parti dan memulakan kerja untuk pilihan raya akan jadi tertangguh buat seketika.

Banyaknya bantahan kepada JPP dan sehingga ada yang membuat laporan polis, punca utamanya tidak lain adalah disebabkan calon-calon yang kalah tidak bersedia menerima kekalahan.

Barangkali sesetengahnya pula menganggap diri terlalu hebat dan popular hingga berasakan kemenangan wajib berpihak kepada mereka jika menyertai pertandingan.

Sementara kalah atau menang adalah adat dalam pertandingan dan semua orang yang masuk bertanding memang inginkan kepada kemenangan, tetapi sikap yang betul yang seharusnya ditanamkan dalam jiwa semua orang setiap kali mereka menyertai pemilihan ialah terlebih dahulu bersedia menerima kekalahan.

Apabila masuk bertanding dengan perasaan sedia kalah ada dalam jiwa, maka jika terbukti kalah sekali pun ia tidak mendatangkan apa-apa masalah.

Kalau menang pula, mereka sekadar bersyukur dan mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan.

Tetapi masalah akan mula timbul bila seseorang itu masuk bertanding semata-mata hanya mahu menang, lebih-lebih lagi jika berasakan diri mereka ada kelebihan tertentu seperti sudah dikenali ramai, kenal dengan pimpinan atasan atau kerana memiliki banyak wang.

Mereka ini sukar menerima kekalahan, walaupun pada hakikatnya telah dikalahkan oleh lawan dengan majoriti undi yang besar, malah lawan tersebut mungkin pemimpin yang lebih baik lagi.

Jika ditanamkan terlebih dahulu perasaan sedia kalah, ia dengan sendirinya dapat mengelakkan perbuatan membantah secara keterlaluan apabila kemenangan tidak diperolehi kerana dalam berpolitik, yang penting akhirnya kedudukan parti itu sendiri, bukan sama ada kita menang atau kalah dalam pertandingan.

Apa guna memegang jawatan jika parti tidak menang dalam pilihan raya atau tiada masa depan di mata rakyat.

Terima sajalah kekalahan itu dengan semangat pertandingan yang sihat dan keutamaan dalam perjuangan adalah menjaga kekuatan, masa depan serta nama baik parti.

Bukankah lebih cantik imej parti jika semua pihak dapat menerima keputusan pemilihan dengan hati yang terbuka, sambil kongres tidak ditangguhkan dan kemudian sama-sama berpadu tenaga untuk memenangi pilihan raya?

Lagi pula, kalah kali ini tidak bererti akan kalah selama-lamanya kerana empat tahun akan datang boleh mencuba lagi dalam pemilihan yang berikutnya. – ShahbudinHusin 11/06/2022.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

35 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
35
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x